Jumaat, 19 Mac 2010

Topik: Memahami Prinsip dan Rukun Negara Malaysia



HUBUNGAN ETNIK

Istilah etnik berasal daripada perkataan Yunani iaitu ethnos yang bermakna orang. Satu kumpulan etnik ditafsirkan secara sosial atas dasar ciri-ciri budayanya. Etnisiti ialah rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Ini bererti wujudnya satu kebudayaan atau sub-budaya yang jelas di mana anggotanya merasa disatukan dengan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkahlaku yang sama.

Etnik sering berbeza dalam ciri-ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandangan mengenai kecantikan, orientasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Di Malaysia, orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Melanau, dan pelbagai lagi boleh dianggap sebagai etnik. Etnik pada dasarnya bersikap etnosentrik iaitu menganggap ciri-ciri budayanya sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah dan dianggap ganjil, berada ditahap rendah atau tidak bermoral.

Ciri-ciri utama dalam setiap peringkat ke arah penggubalan prinsip Rukun Negara dan kepentingan lima prinsip tersebut bagi menghasilkan individu dan masyarakat yang dihasratkan oleh objektif dan matlamat ideologi itu dalam konteks perpaduan hubungan etnik di Malaysia.

“…Saya menyeru warga Malaysia berusaha bersama saya memperkukuhkan perpaduan nasional. Kita harus mempertahankan dan meningkatkan hubungan harmoni yang terjalin dalam kalangan warga yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Kita harus terus istiqamah dalam membina satu kesamaan identiti yang kukuh berakar dalam persekitaran Negara Malaysia, berlandaskan segala keistimewaan yang terkandung dari pelbagai budaya. Kita hendaklah terus menghargai semangat toleransi dan saling menghormati yang menjadi penentu kepada kedamaian dan perdaduan yang kita capai…”.

Kata-kata ini diungkapkan adalah untuk merealisasikan sebuah ideologi yang bergelar Rukun Negara. Ideologi bermaksud ajaran atau satu bentuk fahaman yang boleh dijadikan pegangan hidup atau cita-cita yang hendak dicapai secara bersungguhsungguh dalam pemerintahan demokrasi yang diagung-agungkan oleh orang-orang yang bertamadun. Dalam konteks Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan, ia merujuk kepada lunas-lunas dalam dasar pemerintahan demokrasi untuk dijadikan panduan am tindakan rakyat di Malaysia.

Rukun Negara adalah satu nilai yang perlu dicapai. Rukun Negara adalah amalan yang perlu dilakukan dan satu visi bagi merealisasikan kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama di Malaya atau Malaysia semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mahupun Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Konsep Rukun Negara

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia adalah satu susunan cara ataupun prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara. Rukun Negara juga adalah satu doktrin untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia.
Ideologi negara ini menggariskan lima prinsip yang lahir daripada aspirasi masyarakat dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Rukun Negara yang menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia jelas merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Negara ini untuk membentuk warga berintegriti.

Prinsip Rukun Negara

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil bagi kemakmuran negara yang akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progesif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

• Kepercayaan kepada Tuhan
• Kesetiaan kepada Raja dan Negara
• Keluhuran perlembagaan
• Kedaulatan undang-undang
• Kesopanan dan kesusilaan

Sejarah Pembentukan Rukun Negara

Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 iaitu semasa negara menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-13. Doktrin Rukun Negara diperkenalkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ketika itu memikul tanggungjawab menjalankan pemerintahan negara apabila sistem kerajaan berparlimen digantung pada 16 Mei 1969 ekoran rusuhan kaum yang lebih dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei 1969. MAGERAN yang diketuai oleh seorang Pengarah, ditubuhkan bagi memulihkan perpaduan yang semakin goyah pada masa itu iaitu perbalahan antara etnik yang pernah berlaku pada 1946, 1956 (di Pulau Pinang), 1960 (di Pangkor), 1966 (di Bukit Mertajam), 1967 (di Pulau Pinang) dan 13 Mei 1969 (di Kuala Lumpur).

Rukun Negara adalah hasil daripada perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN). Bagi melicinkan pemerintahan negara di bawah MAGERAN yang dipimpin oleh Y.A.B Tun Abdul Razak, MAGERAN telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara.



Faktor Penggubalan Prinsip Rukun Negara


Perlaksanaan dasar pecah dan perintah Inggeris telah mengeruhkan perpaduan masyarakat di Tanah Melayu. Pengelasan kaum merujuk pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza mengelakkan interaksi antara penduduk di Tanah Melayu yang terdiri daripada 3 rumpun utama iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Melalui dasar ini orang Melayu kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar (kampung) dan bekerja sebagai nelayan dan petani, orang Cina menetap di kawasan bandar dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong bijih timah, manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh, secara tidak langsung telah mewujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain yang merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969.

Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, didapati bangsa Melayu masih tertinggal jauh dari segi penguasaan ekonomi dan pendidikan di Tanah Melayu memandangkan majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar. Manakala orang Cina pula lebih terkehadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain memandangkan mereka tinggal di kawasan bandar dan menguasai kawasan perlombongan. Lantas timbul kesedaran di kalangan orang Melayu yang dapat merasakan bahawa mereka telah tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Bagi masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syaratsyarat hak kerakyatan walaupun sebahagian daripada mereka telah bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Tanah Melayu.

Semenjak pendudukan Jepun pada perang Dunia Kedua, pihak Jepun mengamalkan dasar yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan kemarahan dan prasangka orang Cina terhadap orang Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah dan sebelum ketibaan Inggeris, orang Cina yang kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Turut memburukkan keadaan adalah kerana, kebanyakan orang Cina menganggotai Parti Komunis Malaya manakala Orang Melayu kebanyakan menganggotai pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948–1960.

Penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 akibat konsep "Malaysia untuk orang Malaysia" yang secara tidak langsung turut mempertikai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu telah diapi-apikan oleh Lee Kuan Yew menyemarakkan perasaan anti-Cina dan anti-Melayu. Kejadian-kejadian tersebut akhirnya menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969. Ia telah mengorbankan banyak nyawa dan harta-benda adalah manifestasi hubungan antara kaum di Tanah Melayu yang sememangnya retak menanti belah. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 1969 diketahui.

Kacau bilau dan pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu telah
memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan perintah darurat. DYMM Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu dan atas nasihat Perdana Menteri dengan serta-merta telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara. berkuat kuasa 16 Mei 1969. Pengisytiharan ini telah menyebabkan sistem kerajaan berparlimen digantung.

Atas perakuan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tun Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertanggungjawab menjalankan kuasa pemerintahan bagi Persekutuan berdasarkan kuasa yang diwakilkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan MAGERAN, Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab untuk membincang
dan meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan menyelesaikan masalah masyarakat berbilang kaum. Majlis ini mendapati satu masalah yang paling ketara yang dikenal pasti ialah struktur masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah didapati masyarakat Malaysia masih terbahagi atas dasar keturunan, agama dan pekerjaan. Perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum sahaja tetapi adalah didapati penyatuan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan. Sehubungan dengan itu Majlis Perundingan Negara telah bersetuju membentuk satu ideologi negara yang kemudiannya dikenali sebagai Rukun Negara yang mempunyai lima prinsip utama.

Objektif dan Matlamat Rukun Negara

Penggubalan Rukun Negara sudah tentu mempunyai objektifnya tersendiri. Objektif Rukun Negara adalah seperti berikut;

(a) Untuk mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran Negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dibahagikan dengan adil dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini pihak pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak lain yang lebih maju. Masyarakat adil yang kita cita-citakan itu bebas daripada penindasan seseorang terhadap yang lain ataupun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

(b) Untuk memelihara cara hidup demokratik
Perlembagaan Negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatankegiatan berpolitik rakyat negara ini asalkan tidak melanggar undang-undang negara. Tetapi hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalahgunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau bagi memusnahkan demokrasi.

Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan. Kepentingan negara hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum atau sesuatu pihak, jika tidak, kestabilan dan keselamatan negara akan terancam.

(c) Untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli-ahli masyarakatnya mengangap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan masing-masing.

Rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai persoalan yang wujud. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidak seimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatu padu di mana semua rakyat tanpa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

(d) Untuk membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak Masyarakat negara ini bebas mengamalkan agama, adat resam dan kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara. Negara kita sesungguhnya mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum. Walaupun ada perbezaan, semua anggota masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat di mana keadaan berlainan kebudayaan itu boleh menguntungkan dan menjadi sumber kekuatan kepada Bangsa dan Negara Malaysia.

(e) Untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden Kita bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.

Masyarakat progresif yang hendak diwujudkan merupakan satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. Tetapi kemajuan tersebut tidak akan menjadikan rakyat negara ini terkeluar daripada batas-batas agama dan nilai-nilai ketuhanan.