Selasa, 13 April 2010

Iktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah




Dalam bahagian IKTIQAD atau AQIDAH, jumhur ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah mengambilnya daripada :

“ Golongan ulamak yang menyumbangkan khidmat bakti dalam memelihara perkara AQIDAH dan kedudukan iman dengan menyusun asas-asas iman dan kaedah-kaedahnya. Gerakan ini diketuai oleh Imam Al-Asy’ari dan Imam Al-Maturidi beserta dengan rakan-rakan dan para pengikutnya.”

USULUDDIN merupakan suatu cabang terpenting dalam ajaran Islam yang bererti Pokok Agama. Ilmu Usuluddin bermakna Ilmu Pokok-Pokok Agama . Di dalam Ilmu Usuluddin dibicarakan soal-soal IKTIQAD atau AQIDAH yang menjadi pokok bagi Agama Islam, iaitu:

a. Kepercayaan (Iktiqad) yang bertalian dengan Ketuhanan (Illahiyyat).
b. Iktiqad yang bertalian dengan Kenabian (Nubuwaat).
c. Iktiqad yang bertalian dengan soal-soal ghaib (Hari Akhirat, Syurga, Neraka dll.)
d. Dan lain-lain soal kepercayaan.


Selepas kewafatan Rasulullah SAW, ajaran-ajaran agama yang telah termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul adalah dalam keadaan yang terpencar-pencar, belum disusun secara rapi dan teratur. Dengan sebab itu Allah SWT dengan Maha RahimNya telah mewujudkan golongan ulamak salafus soleh khususnya di zaman tabiin dan tabit- tabiin yang mencurahkan sepenuh tenaga dan khidmat mereka untuk menyusun cabang-cabang agama secara rapi dan sistematik bagi kemudahan umat Islam yang bertaburan di merata-merata tempat dan kehausan ilmu-ilmu agama.

Penyusunan cabang-cabang agama secara teliti dan penuh dedikasi ini adalah bagi memelihara kemurniaan dan keaslian ajaran Islam yang pada ketika itu menghadapi bahaya besar daripada ancaman pencemaran oleh puak-puak batil. Puak-puak batil seperti Khawarij, Syiah, Muktazilah, Jabariyyah, Murjiah dan sebagainya termasuklah cabang-cabang mereka telah berjaya mengelirukan ramai dari kalangan umat Islam sehingga pada suatu ketika telah hampir-hampir menjejaskan ajaran Islam yang sebenar.

Bagaimanapun Allah SWT tetap memelihara agamaNya. Ditengah-tengah kecelaruan ummah dan serangan bertubi-tubi dari firqah-firqah yang sesat belaka itu, muncullah kader-kader Allah dalam bentuk golongan salafus soleh yang ditakdirkan hidup semata-mata demi mencurahkan jasa kepada khidmat pemurniaan Agama Islam.

Contohnya dalam tahun 260 Hijrah di Basrah lahirlah seorang ulamak Usuluddin yang agung, iaitu Syeikh Abu Hassan ‘Ali Al- Asya’ari (wafat di Basrah juga tahun 324 Hijrah dalam usia 64 tahun). Pada masa beliau faham Muktazilah yang banyak bertentangan dengan iktiqad dan kepercayaan Rasulullah SAW telah mengalami zaman gilang gemilang. Imam Asy’ari kemudian telah kemuka di garis depan demi menentang fahaman kaum Muktazilah dengan lisan dan tulisan, berdebat dan bertanding dengan mereka di mana-mana, merumuskan dan menulis dalam kitab-kitabnya iktiqad-iktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaa yang sebenar.

Begitulah perjuangan Imam Asy’ari sebagai seorang Ulamak Tauhid yang terunggul kerana berjaya menghancurkan fahaman Muktazilah serta puak-puak ahli bidaah yang lainnya sehingga dapat menghimpun dan menyatu-padukan semula umat Islam di belakangnya.

Seorang lagi pembangun firqah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dalam bahagian Usuluddin ialah Imam Abu Mansur Al-Maturidi yang faham dan iktiqadnya sama atau hampir sama dengan Imam Abu Hassan Al-Asy’ari. Beliau merupakan seorang ketua ahli Sunnah di Negeri Mawara’ Annahari tanah Turkistan (jajahan Russia hari ini) dan wafat pada tahun 333 Hijrah, terkemudian 9 tahun dari Imam Abu Hassan Al Asy’ari.

Maka tersebut dalam sebuah kitab ‘Ittihaf Sadatill Muttaqin’ karangan Imam Muhammad bin Muhammad Al-Husni Az-Zabidi, iaitu kitab syarah dari kitab ‘Ihya Ulumuddin’ karangan Imam Ghazali pada jilid II, halaman 6, begini :

“ Apabila disebut kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah, maka maksudnya ialah orang-orang yang mengikut rumusan (faham) Asy’a ri dan faham Abu Mansur Al-Maturidi.”
Begitulah secara ringkasnya sejarah dua tokoh ulamak besar yang menabur jasa dalam menyusun secara rapi dan sistematik iktiqad-iktiqad Rasulullah SAW serta para sahabat baginda RA anhum. Sumbangan kedua-dua ulamak Usuluddin ini telah dapat dimenafaatkan oleh seluruh umat Islam dimasa-masa kemudian dan dimana-manapun sehingga ke hari ini sebagai panduan dan cahaya penyuluh yang dapat membawa mereka kepada ajaran Allah dan RasulNya yang hakikat.

Semoga Allah SWT mengganjari serta meninggikan darjat kedua-dua Imam yang agung ini. Ameen.

Maka di sini kami senaraikan daftar Ringkas Iktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengikut persepakatan jumhur ulamak Ahlus Sunnah sebagai bersumber daripada ajaran Imam Asy’ari dan Imam Maturidi.

Daftar ringkas ini dipetik daripada buku karangan K. H Sirajuddin Abbas yang bertajuk ‘Iktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah’ dan Ustaz Hj Md Zain Hj Seruddin bertajuk ‘Melayu Islam Beraja; Suatu Pendekatan ’.

Ianya adalah seperti berikut;

1. IMAN ialah mengikrarkan dengan lisan dan membenarkan dengan hati.
Iman yang sempurna ialah mengikrarkan dengan lisan, membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan anggota.

2. Tuhan itu ada, namanya ALLAH.

3. Dan ada 99 nama Allah.

4. Tuhan mempunyai sifat yang banyak sekali yang boleh disimpulkan dengan perkataan : Tuhan mempunyai sifat-sifat JALAL (Kebesaran), JAMAL (Keindahan) dan KAMAL (Kesempurnaan).

5. Sifat yang wajib diketahui oleh sekelian mukmin yang baligh berakal adalah 20 sifat ; 20 sifat yang wajib ada bagiNya dan yang mustahil ada bagiNya. Dan satu lagi sifat yang harus bagiNya, iaitu ;

a. Wujud, ertinya Ada, mustahil Ia tidak ada.
b. Qidam, ertinya tidak berpermulaan adaNya, mustahil adaNya berpermulaan.
c. Baqa’, ertinya tidak berkesudahan adaNya, mustahil adaNya berkesudahan.
d. Mukhalafatuhu ta’ala lilhawadithi, ertinya Ia berlainan dengan sekelian makhluk, mustahil Ia serupa dengan makhlukNya.
e. Qiyamuhu binafsihi, ertinya Ia berdiri sendiri, bukan berdiri atas zat lain, mustahil Ia berdiri di atas zat lain.
f. Wahdaniyah, ertiNya Ia Esa, mustahil Ia banyak.
g. Qudrat, ertinya Kuasa, mustahil Ia tidak Kuasa.
h. Iradat, ertinya menentukan sendiri dengan kehendakNya, mustahil Ia dipaksa-paksa.
i. Ilmu, ertinya Ia tahu, mustahil Ia tidak tahu.
j. Hayat, ertinya Hidup, mustahil Ia mati.
k. Sama’, ertinya mendengar, mustahil Ia tidak mendengar.
l. Bashar, ertinya melihat, mustahil Ia buta.
m. Kalam, ertinya berkata, mustahil Ia bisu.
n. Kaunuhu Qadiran, ertinya Ia dalam keadaan yang berkuasa, mustahil Ia dalam keadaan tidak berkuasa.
o. Kaunuhu Muridan, ertinya Ia dalam keadaan mempunyai Iradat, mustahil Ia dalam keadaan yang tidak mempunyai Iradat.
p. Kaunuhu Aliman, ertinya Ia dalam keadaan yang tahu, mustahil Ia dalam keadaan yang tidak tahu.
q. Kaunuhu Hayan, ertinya Ia dalam keadaan yang hidup, mustahil Ia dalam keadaan yang mati.
r. Kaunuhu Sami’an, ertinya Ia dalam keadaan yang mendengar, mustahil Ia dalam keadaan yang tidak mendengar.
s. Kaunuhu Bashiran, ertinya Ia dalam keadaan yang melihat, mustahil Ia dalam keadaan yang tidak melihat.
t. Kaunuhu Mutakalliman, ertinya Ia dalam keadaan yang berkata, mustahil Ia dalam keadaan yang tidak berkata.

Demikian 20 sifat wajib (mesti ada) bagi Allah dan 20 sifat yang mustahil bagi Allah.

5. Sifat yang harus bagi Allah hanyalah satu, iaitu ; Ia boleh memperbuat dan boleh pula tidak memperbuat.

6. Wajib dipercayai bahawa MALAIKAT ada. Dijadikan daripada nur (cahaya). Bilangan mereka banyak. Tetapi yang wajib dipercayai hanyalah 10 orang, iaitu ;

a. Jibrail, tugasnya pengantar wahyu kepada para Nabi dan Rasul, khususnya kepada Nabi Muhammad SAW.
b. Mikail, tugasnya dalam soal-soal kesejahteraan umat, umpamanya menghantar hujan, menghantar angin, soal-soal tanah dan soal-soal kesuburan yang lain.
c. Israfil, tugasnya dalam soal-soal akhirat, umpamanya meniup trompet (Sangkakala) tanda Kiamat, meniup trompet tanda bangun kembali di Padang Masyar dan sebagainya.
d. Izra’il, tugasnya mencabut nyawa sekelian makhluk dan membawa nyawa itu kemana mestinya.
e. Munkar dan Nakir, tugasnya yang ditugaskan bersoal dengan orang mati di dalam kubur.
f. Raqib dan ‘Atid, tugas mereka menulis amal pekerjaan manusia hari-hari. Raqib mencatat amalan baik (pahala) dan ‘Atid mencatat amalan buruk (dosa).Catatan ini akan ditimbang di Hari Hisab sehingga tak satupun pekerjaan manusia yang hilang.
g. Malik, tugasnya menjaga Neraka.
h. Ridhwan, tugasnya menjaga Syurga.

7. Wajib dipercayai adanya KITAB-KITAB SUCI yang diturunkan Allah kepada para RasulNya.Kitab-kitab suci banyak, tetapi yang wajib diketahui ada 4, iaitu;

a. Kitab Taurat, yang diturunkan kepada Nabi Musa AS.
b. Kitab Zabur, yang diturunkan kepada Nabi Daud AS
c. Kitab Injil, yang diturunkan kepada Nabi Isa AS.
d. Kitab Al-Quran, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

8. Kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah mempercayai sekelian Rasul-Rasul yang diutus Allah kepada manusia. Mereka banyak. Ada yang diterangkan oleh Allah kepada kita dan ada pula yang tidak diterangkan. Tetapi yang wajib diketahui secara terperinci adalah 25 Rasul yang diterangkan dalam Al-Quran.
Baik juga diterangkan secara ringkas perbedaan antara Nabi dan Rasul.
Nabi ialah orang yang dituruni wahyu oleh Tuhan tetapi tidak disuruh untuk menyampaikan kepada manusia, sedang Rasul ialah Nabi yang dituruni wahyu oleh Tuhan dan ia diperintahkan untuk menyampaikan wahyu itu kepada manusia.
Jadi seorang Nabi belum tentu menjadi Rasul, tetapi seorang Rasul mesti menjadi Nabi terlebih dahulu.
Yang 25 orang ini adalah Nabi dan juga Rasul, menurut faham kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

9. Setiap orang Islam wajib mempercayai Hari Akhirat.
Permulaan Hari Akhirat itu bagi setiap manusia adalah sesudah mati, iaitu ;

a. Setiap orang akan mati apabila jangka usianya sudah habis.
b. Setelah mati lalu dikubur. Dalam kubur ditanyai: Siapa Tuhan, siapa Nabi, siapa Imam dan lain-lain pertanyaan oleh Malaikat Munkar dan Nakir.
c. Orang yang jahat akan disiksa kubur.
d. Kemudian pada suatu waktu akan terjadi Kiamat besar, dunia akan hancur lebur dan semua makhluk yang ada di dunia akan mati.
e. Kemudian pada suatu waktu pula akan dibunyikan terompet sehingga semua orang yang mati bangun kembali, berkumpul di Padang Mahsyar.
f. Akan diadakan hisab, yakni perhitungan dosa dan pahala.
g. Di Padang Mahsyar itu akan ada syafa’at (bantuan) dari Nabi Muhammad SAW dengan seizing Tuhan.
h. Akan ada timbangan untuk menimbang dosa dan pahala.
i. Akan ada titian Shirathalmustaqin, yang dibentangkan atas neraka yang akan dilalui oleh sekelian manusia.
j. Akan ada telaga Kauthar kepunyaan Nabi Muhammad SAW di dalam Syurga, dimana orang-orang beriman akan dapat minum.
k. Yang lulus ujian terus langsung selamat meniti dan masuk Syurga Jannatun Na’im, tetapi yang kafir akan jatuh di neraka.
l. Orang yang baik langsung masuk syurga dan kekal selama-lamanya.
m. Orang kafir langsung masuk neraka dan kekal selama-lamanya.
n. Orang mu’min yang berdosa dan mati sebelum taubat akan masuk ke neraka buat sementara dan sehabis hukuman akan dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam syurga buat selama-lamanya.
o. Orang mu’min yang baik-baik akan diberi ni’mat apa sahaja yang ia sukai, dan akan diberi lagi ni’mat tambahan yang paling besar dan lazat, iaitu melihat Allah SWT.

Demikian secara ringkas tentang Hari Akhirat.

10. Kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah mempercayai Qada’ dan Qadar, iaitu takdir Illahi sebagai berikut;

a. Sekelian yang terjadi di dunia ini sudah Qadha’ Tuhan, yakni hukum Tuhan dalam azal bahawa hal itu akan terjadi.
b. Sekelian yang terjadi di dunia ini-baik buruknya semuanya dijadikan Tuhan.
Ringkasnya nasib baik dan nasib buruk semuanya dari Tuhan dan kita umat manusia hanya menjalani takdir sahaja.
c. Yang ada bagi manusia hanya kasab, ikhtiar, usaha . Kita wajib berusaha dan berikhtiar
d. Pahala yang diberikan Tuhan kepada manusia
adalah kerana kurniaNya dan hukuman yang diberikan kepada manusia adalah kerana keadilanNya.

11. Tuhan bersama namaNya dan sifatNya, semuanya qadim, kerana nama dan sifat itu berdiri diatas zat yang qadim.
Maka kerana itu sekelian sifat Tuhan adalah Qadim, tidak berpermulaan adanya.
12. Quranul Karim adalah Kalam Allah yang qadim.
Adapun yang tertulis dalam Mas-haf, yang pakai huruf dan suara adalah gambaran dari Quran yang Qadim itu
Kerana itu Quranul Karim dikatakan Qadim, tidak boleh dikatakan hadits atau ‘makhluk’.

13. Rezeki sekalian manusia sudah ditakdirkan dalam azal, tidak bertambah dan tidak berkurang, tetapi manusia disuruh mencari rezeki, disuruh berusaha, tidak boleh menunggu sahaja.

14. Ajal setiap manusia sudah ada jangkanya oleh Tuhan, tidak terkemudian dan tidak terdahulu walau sedetik sekalipun.
Tetapi manusia disuruh berubat kalau sakit, tidak boleh menunggu ajal sahaja.

15. Anak-anak orang kafir, kalau mati kecil masuk Syurga.

16. Doa orang mu’min memberi menafa’at baginya dan bagi yang dido’akan.

17. Pahala sedeqah waqaf dan pahala bacaan (tahlil, salawat dan bacaan Quran) boleh dihadiahkan kepada orang yang telah mati dan sampai kepada mereka kalau dimintakan kepada Allah untuk menyampaikannnya.

18. Ziarah kubur, khususnya kubur ibubapa, ulamak-ulamak, wali-wali dan orang-orang yang mati syahid, apalagi kubur Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda adalah sunat hukumnya, diberi pahala kalau dikerjakan.

19. Mendo’a kepada Tuhan secara langsung, atau mendo’a kepada Tuhan dengan wasilah (bertawasul) adalah sunat hukumnya, diberi pahala kalau dikerjakan.

20. Masjid di seluruh dunia sama darjatnya, kecuali tiga buah masjid lebih tinggi darjatnya dari yang lain; iaitu Masjid Mekah, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Berziarah untuk bersembahyang ke masjid yang tiga itu adalah ibadat, diberi pahala kalau dikerjakan.

21. Seluruh manusia adalah anak cucu dari Nabi Adam. Adam berasal dari tanah. Iblis dan jinn dijadikan Tuhan dari api, tetapi para Malaikat dijadikan dari cahaya (nur).

22. Bumi dan langit ada. Siapa yang mengatakan langit tidak ada ia terkeluar dari lingkungan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

23. Nama Tuhan tidak boleh dibuat-buat oleh manusia, tetapi harus sebagai yang telah ditetapkan Tuhan dalam Quran dan Hadeeth Nabi yang sahih.

Dalam Hadeeth yang diriwayatkan Imam Tarmidzi dan Imam Bukhari, nama Tuhan itu 99 banyaknya. Siapa yang menghafalnya di luar kepala akan masuk Syurga. Kita umat Islam boleh mendo’a (menyeru) pada salah satu dari nama-nama yang 99 ini, umpamanya Ya Lathif, Ya Lathif atau Ya Rahman Ya Rahim, Ya Wadud dan sebagainya.

24. Kalau terdapat ayat-ayat Quran suci yang seolah-olah menyatakan bahawa Tuhan itu bertubuh serupa manusia, atau bertangan serupa manusia, atau bermuka serupa manusia, atau duduk serupa manusia, atau turun serupa manusia, maka ulamak-ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah mentakwilkan atau mentafsirkan ayat itu secara majazi, yakni bukan menurut asal erti perkataan itu, sesudah itu diserahkan kepada Tuhan apakah yang sebenarnya dimaksudkan dari ayat-ayat itu. Misalnya ayat yang mengatakan Tuhan bermuka, maka maksudnya ialah Zat yang Qadim yang tidak serupa dengan makhlukNya.Kalau terdapat ‘Tuhan bertangan’, maka maksudnya ‘Tuhan berkuasa’ kerana tangan itu biasanya alat kekuasaan.

Kalau berjumpa ayat yang mengatakan ‘Tuhan duduk diatas ‘Arasy’, maka maksudnya ialah ‘Tuhan menguasai ‘Arasy, kalau berjumpa ayat atau hadeeth yang mengatakan ‘Tuhan turun’, maka yang turun adalah rahmatNya, bukan batang tubuhNya. Kalau berjumpa ayat yang mengatakan ‘Tuhan itu cahaya’, maka maksudnya ialah ‘Tuhan itu pemberi cahaya’, begitulah seterusnya.
Hal ini sangat dianggap perlu, agar kita jangan termasuk golongan kaum Musyabbihah atau Mujassimah yang menetapkan keserupaan Tuhan dengan makhluk.
Dalam surat As Syura ayat 11 dinyatakan senyata-nyatanya bahawa tiada suatupun yang menyerupai Tuhan dan Tuhan tidak serupa dengan makhlukNya.
Tetapi dalam mengertikan atau mentakwilkan ayat ini janganlah memakai sembarang takwil, hendaklah diperhatikan kitab-kitab tafsir Ahlus Sunnah yang dipercayai, umpamanya kitab Tafsir At Thabari, Tafsir Qhurtubi, Tafsir Jalalaein, Tafsir Khazen dan sebagainya.

25. Bangkit sesudah mati hanya satu kali. Manusia mulanya tidak ada, kemudian lahir ke dunia, sesudah itu mati, sesudah bangkit kembali berkumpul di Padang Mahsyar sesuai dengan ayat Quran pada surah Al-Baqarah ayat ke 28. Pendeknya manusia kalau sudah mati, ya sudah, tidak hidup lagi walaupun menyerupai binatang atau apa saja.
Hidup nanti pada Hari Kiamat apabila dibunyikan sangkakala oleh Malaikat Israfil.
Hal ini bertentangan dengan kepercayaan sebahagian orang-orang Syiah yang berkeyakinan bahawa Sayyidina Ali akan hidup kembali pada Akhir Zaman dan sesudah itu mati lagi dan sesudah itu hidup lagi di Padang Mahsyar.

26. Upah (pahala) yang diberikan Tuhan kepada orang yang soleh bukanlah kerana Tuhan terpaksa untuk memberikannya dan bukan pula kewajiban untuk membalas jasanya orang itu. Begitu juga hukuman bagi orang yang durhaka tidaklah Tuhan terpaksa menghukumnya atau kewajiban Tuhan untuk menghukumnya, tidak.
Tuhan memberikan pahala kepada manusia dengan KurniaNya dan menghukum dengan keadilanNya.

27. Tuhan Allah dapat dilihat oleh penduduk Syurga dengan mata kepala, bukan dengan mata hati sahaja.
Tetapi ingatlah jangan ada keyakinan bahawa Tuhan itu ada di dalam Syurga. Hanya kita yang melihat, yang bertempat dalam Syurga.

28. Pada waktu di dunia tidak ada manusia yang dapat melihat Tuhan kecuali Nabi Muhammad SAW pada malam mi’raj.

29. Mengutus Rasul-Rasul adalah suatu kurnia Tuhan kepada hambaNya untuk menunjuki jalan yang lurus, bukanlah kewajiban Tuhan untuk mengutus Rasul-Rasul itu.

30. Wajib diketahui dan diyakini oleh seluruh umat Islam bahawa Nabi Muhammad SAW itu lahir di Mekah. Sesudah berusia 40 tahun baginda diangkat menjadi Rasul lalu diturunkan kepad baginda ayat-ayat Quran berturut-turut selama 23 tahun.
Sesudah 13 tahun menjadi Rasul baginda berhijrah ke Madinah, menetap dan wafat di situ.
Baginda wafat sesudah melakukan tugas selama 23 tahun dalam usia 63 tahun. Makam perkuburan baginda Nabi Muhammad SAW di Madinah dalam lingkungan Masjid Madinah sekarang. Setiap orang Islam boleh menziarahi.

31. Nabi Muhammad SAW adalah serupa kita, bukan Malaikat. Baginda makan, minum, tidur, kahwin, mempunyai keluarga serupa manusia biasa.
Akan tetapi kemanusiaan baginda adalah luar biasa, ruhaniyyat dan jasmaniyyat baginda luar biasa kuatnya, kepada baginda diturunkan wahyu Illahi, yang kalau diturunkan kepada bukit nescaya bukit itu akan hancur lebur.
Kalau diumpamakan kepada batu bolehlah dikatakan Nabi Muhammad SAW itu batu akik (batu permata akik), dan manusia yang lain serupa batu kerikil, sama-sama batu, tetapi yang satu lebih tinggi darjatnya, lebih kuat dan mahal harganya.
Kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah menganggap bahawa Nabi Muhammad SAW, walaupun manusia serupa kita, tetapi beliau adalah ‘Sayyidul Khalaik’, makhluk Tuhan yang termulia dibanding yang lain-lain.

32. Salasilah nenek moyang Nabi SAW adalah : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushayy bin Kilab bin Marrah bin Ka’ab bin Luai bin Galib bin Fihir bin Malik bin Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Ma’ad bin Adnan. Dari pihak ibu adalah: Muhammad bin Aminah binti Wahab bin Abdu Manaf bin Zahrah bin Kilab (nenek Nabi yang ke-6 dari pihak bapa).

33. Isteri-isteri Nabi SAW dari mulai kahwin sampai wafat adalah : Ummul Mukminin Khadijah binti Khawailid, ‘Aishah binti Abu Bakar, Hafasah binti Umar, Ummu Salamah binti Abi Umaiyyah, Ummu Habibah binti Abu Sfyan, Saudah binti Zam’ah, Zainab binti Jahasy, Zainab binti Khuzaimah, Maimunah binti Harith, Juwairiyyah binti Harts dan Safiyyah binti Hay RA anhunna.

34. Anak-anak Nabi Muhammad SAW adalah : Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Siti Fatimah, Qasim, Abdullah dan Ibrahim RA anhum.

35. Nabi Muhammad SAW diutus oleh Tuhan kepada seluruh manusia tidak pandang suku, tidak pandang negeri dan tidak pandang agama.

36. Nabi Muhammad SAW mi’raj ke langit melalui Baitul Muqaddas tanggal 27 Rajab dan kembali malam itu juga ke dunia membawa perintah sembahyang 5 kali sehari semalam. Baginda mi’raj dengan tubuh dan ruhnya.

37. Nabi Muhammad SAW terdahulu diangkat menjadi Nabi dibanding Nabi-Nabi yang lain, iaitu pada masa Nabi Adam masih terbaring dalam Syurga sebelum diberi jiwa. Kerana itu baginda adalah Nabi yang paling dahulu diangkat dan yang paling akhir lahir ke dunia.

38. Nabi Muhammad SAW memberi syafa’at (bantuan) nanti di Akhirat kepada seluruh manusia. Syafa’at itu bermacam-macam, diantaranya menyegerakan Hisab di Padang Mahsyar.

39. Sesudah Nabi Muhammad SAW wafat maka pengganti baginda yang sah adalah Sayyidina Abu Bakar sebagai Khalifah yang pertama, Sayyidina Umar bin Khattab sebagai Khalifah yang kedua, Sayyidina Uthman sebagai bin Affan sebagai Khalifah yang ketiga dan Sayyidina Ali bin Abi Thalib sebagai Khalifah yang keempat RA anhum.

40. Wajib diyakini bahawa yang paling mulia diantara makhluk Tuhan ialah Nabi Muhammad SAW, sesudah itu Rasul-Rasul lain, sesudah itu Nabi-Nabi, sesudah itu para Malaikat dan sesudah itu manusia yang lain.

41. Wajib diyakini bahawa sahabat Nabi yang paling mulia adalah Sayyidina Abu Bakar, sesudah itu Sayyidina Umar bin Khattab, sesudah itu Sayyidina Uthman bin Affan, sesudah itu Sayyidina Ali bin Abi Thalib, sesudah itu sahabat-sahabat yang sepuluh yang telah dikhabarkan oleh Nabi akan masuk Syurga, iaitu empat orang Khalifah ditambah dengan Thalhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi Waqash, Said bin Zaid, Abu Ubaidah, Amir bin Jarrah, sesudah itu para sahabat yang ikut perang Badar, sesudah itu para sahabat yang ikut perang Uhud, sesudah itu para sahabat yang ikut Ba’atur Ridhwan, sesudah itu sekelian sahabat Nabi yang lain RA anhum.

42. Dalam soal pertikaian dan peperangan yang terjadi antara para sahabat Nabi, seumpama Perang Jamal antara Siti Aisyah dan Sayyidina Ali, Perang Siffin antara Sayyidina Ali dan Muawiyyah, kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah menanggapi secara positif, tidak banyak dibicara-bicarakan, tetapi dianggap bahawa mereka berperang menurut ijtihad masing-masing. Kalau ijtihad itu benar di sisi Allah mereka dapat dua pahala, akan tetapi kalau ijtihad mereka itu salah pada sisi Allah maka mereka dapat satu pahala, iaitu atas ijtihadnya itu.

43. Kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah yakin bahawa sekelian keluarga Nabi Muhammad SAW khususnya Siti Aisyah Ummul Mukminin yang tertuduh membuat kesalahan adalah bersih dari noda. Fitnah yang dilancarkan kepada keluarga Nabi adalah fitnah yang dibuat-buat. (lihat An-Nur : 11)

44. Kerasulan seorang Rasul adalah kurnia dari Tuhan. Pangkat itu tidak dapat diusaha-usahakan, umpamanya dengan masuk sekolah, bertapa dan lain-lain.

45. Rasul-Rasul Allah dibekali dengan mukjizat, iaitu perbuatan ganjil yang diluar kemampuan manusia biasa, umpamanya Nabi Ibrahim AS tidak terbakar oleh api, Nabi Isa AS menghidupkan orang yang sudah mati, Nabi Musa AS menjadikan tongkatnya menjadi ular, Nabi Muhammad SAW dengan kitab suci Al-Quran yang tidak dapat ditiru oleh orang pandai-pandai, air keluar dari anak jari bagnda, bulan terbelah dua, matahari terhenti berjalan dan sebagainya.

46. Kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah menyakini adanya keramat. Keramat ertinya pekerjaan ganjil-ganjil yang diluar kebiasaan yang dikerjakan oleh wali-wali Allah, ulama-ulama, orang-orang soleh, seumpamanya makanan datang sendiri kepada Siti Maryam, ahli gua tidur selama 309 tahun tanpa rosak dagingnya.
47. Nabi Muhammad SAW adalah Nabi yang penghabisan, tidak ada Nabi sesudah baginda. Begitu juga pangkat ke-Nabian dan ke-Rasulan, begitu juga Nab-Nabi pembantu tida ada lagi sesudah Nabi Muhammad SAW.
Sesiapa yang mendakwakan dirinya Nabi atau Rasul, baik Nabi yang berkendiri atau Nabi untuk menjalankan syariat Nabi Muhammad SAW, maka orang itu pembohong dan wajib ditentang.

48. Wajib dipercayai adanya ‘Arasy, iaitu suatu benda makhluk Tuhan yang dijadikan dari Nur, terletak di tempat yang tinggi dan mulia yang tidak diketahui hakikatnya dan kebesarannya. Hanyalah Allah SWT yang Maha Mengetahui.

49. Wajib diyakini adanya ‘Kursi Tuhan’, iaitu suatu benda makhluk Tuhan yang berdekatan dan bertalian dengan ‘Arasy. Hakikat keadaannya diserahkan kepada Tuhan. Yang wajib bagi kita hanyalah mempercayai adanya.

50. Wajib dipercayai adanya Kalam, iaitu suatu benda yang dijadikan Tuhan untuk menuliskan sesuatu yang akan terjadi di Lauhul Mahfudz. Sekelian yang terjadi di dunia ini sudah dituliskan dengan kalam di Lauhul Mahfudz terlebih dahulu.

51. Syurga dan Neraka bersama penduduknya akan kekal selama-lamanya tidak akan habis. Keduanya dikekalkan Tuhan agar yang berbuat baik merasai selama-lamanya nikmat pekerjaannya dan yang berbuat dosa merasai selama-lamanya siksa atas perbuatannya.

52. Dosa itu menurut faham Ahlus Sunnah Wal Jamaah terbahagi dua, ada dosa besar dan ada pula dosa kecil. Dosa besar itu ialah : Syirik (mempersekutukan Tuhan, ini paling besar), makan riba rente wang, lari dari medan pertempuran perang sabil, menjadi tukang sihir, menderhakai ibu-bapa, berbuat zina, berbuat liwath, berdusta terhadap Nabi dan lain-lain lagi.
Kalau dosa besar tidak dikerjakan maka dosa-dosa kecil akan diampuni oleh Tuhan (dengan berbuat amalan-amalan baik). Dosa besar hanya dapat diampuni kalau si pembuatnya memohon taubat kepada Allah.

53. Raja yang memerintah umat Islam wajib dilantik oleh orang Islam yang berpengaruh yang dinamakan mereka ahlul hilli wal aqdi.

54. Tiada harus dan tiada boleh keluar daripada taat kepada raja-raja kita dan pegawai-pegawai yang memerintah kita (Islam), sekalipun mereka berbuat zalim, tiadalah boleh kita mendoakan diatas mereka dengan kejahatan dan tiadalah boleh kita gugurkan taat setia kepada mereka, dan kita berpendapat bahawa taatkan mereka sebahagian dari taatkan Allah itu adalah wajib dan fardhu, selagi mereka tidak menyuruh berbuat dan melakukan sesuatu maksiat atau dosa, dan didoakan mereka dengan kebaikan dan selamat afiat daripada kerosakan.

55. Mengerjakan haji di Mekah dan jihad dengan mengangkat senjata menentang musuh Islam berjalan terus bersama-sama pemerintah-pemerintah umat Islam, samada mereka baik atau jahat sehingga bangkit Hari Kiamat, maka tiadalah dapat dibatalkan atau ditegah atau disekat oleh sesuatu pun akan kedua-duanya (haji dan jihad).

56. Kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa bersatu padu itu adalah perkara benar dan hak, dan berpecah belah itu adalah menyeleweng dan azab sengsara

57. Orang yang sembahyang menghadap kiblat itu ialah orang Islam dan orang beriman, selagi mereka kekal mengaku dan menerima perkara yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan selagi mereka percaya dan membenarkan apa yang disabdakan dan dikhabarkan baginda.

58. Kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah tiada menghukum kafir keatas seseorang yang sembahyang menghadap kiblat dengan sebab dia melakukan sesuatu dosa, selagi dia tidak menghalalkan sesuatu yang telah disepakati oleh ulamak Islam sebagai haram atau mengharamkan sesuatu yang telah disepakati oleh ulamak Islam sebagai halal.

59. Orang Mukminin bisa menjadi kafir kembali (riddat) dengan melakukan hal-hal yang di bawah ini :

Dalam Iktiqad

a. Syak (ragu) atas adanya Tuhan.
b. Syak (ragu) atas keRasulan Nabi Muhammad SAW
c. Syak (ragu) bahawa Al-Quran itu wahyu Tuhan.
d. Syak (ragu) bahawa akan ada Hari Kiamat, Hari Akhirat, Syurga, Neraka dan sebagainya.
e. Syak (ragu) bahawasanya Nabi Muhammad SAW isra’ dari Masjid Mekah ke Masjid Baitul Muqaddas dengan ruh dan tubuh.
f. Mengiktiqadkan bahawa Tuhan tidak mempunyai sifat seperti ilmu, hayat. Qidam, baqa’ dan sebagainya.
g. Mengiktiqadkan bahawa Tuhan bertubuh seperti manusia.
h. Menghalalkan pekerjaan yang telah sepakat ulamak Islam mengharamkannya, umpama meyakini bahawa zina boleh baginya, berhenti puasa boleh baginya, membunuh orang boleh baginya dan sebagainya.
i. Mengharamkan pekerjaan yang sudah sepakat ulamak-ulamak Islam membolehkannya, umpamanya kahwin haram baginya, jual beli haram baginya, makan minum haram baginya dan sebagainya.
j. Meniadakan suatu amalan ibadat yang telah sepakat ulamak Islam mewajibkannya, umpamanya sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya.
k. Mengengkari persahabatan sahabat-sahabat Nabi yang utama seperti Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan sebagainya.
l. Mengengkari sepotong atau seluruhnya ayat Al-Quran atau menambah sepotong atau seluruh ayat Al-Quran dengan tujuan menjadikannya Al-Quran.
m. Mengengkari salah seorang dari Rasul yang telah sepakat ulamak-ulamak Islam mengatakannya Rasul.
n. Mendustakan Rasul-Rasul Tuhan.
o. Mengiktiqadkan ada Nabi sesudah Nabi Muhammad SAW.
p. Mendakwakan jadi Nabi atau jadi Rasul sesudah Nabi Muhammad SAW.

Dalam Amalan

a. Sujud kepada berhala, matahari, bulan dan lainnya.
b. Sujud kepada manusia secara sukarela.
c. Menghina Nabi-Nabi atau Rasul-Rasul dengan lisan atau perbuatan.
d. Menghina Kitab-Kitab suci dengan lisan atau perbuatan.
e. Mengejek-ejek agama atau Tuhan dengan lisan atau tulisan.
f. Dan sebagainya.

Dalam Perkataan

a. Mengucapkan ‘Hai Kafir’ kepada orang Islam.
b. Mengejek-ejek atau menghina-hina nama Tuhan.
c. Mengejek-ejek Hari Akhirat, Syurga dan Neraka.
d. Mengejek-ejek salah satu syariat umpamanya solat, puasa, zakat, haji, tawaf keliling Ka’abah, wuquf di Arafah dan sebagainya.
e. Mengejek-ejek Malaikat-Malaikat.
f. Mengejek-ejek Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul.
g. Mengejek-ejek keluarga Nabi.
h. Mengejek-ejek Nabi Muhammad SAW.

Oleh Tengku Putih Tippi.

Islam: A Short History (Modern Library Chronicles)What Everyone Needs to Know about IslamUnveiling Islam: An Insider's Look at Muslim Life and Beliefs



2 comments