Jumaat, 16 April 2010

Mengembalikan TAKLID Mazhab Empat Demi Survival Ummah. Part 2.

 

Bahaya ancaman Anti-Mazhab

Semenjak tertubuhnya negara-negara sekular dalam dunia Islam, muncullah kelompok-kelompok yang lantang menyeru umat Islam supaya melepaskan diri mereka daripada ikatan mazhab. Lazimnya mereka ini adalah pemuja dan pemuji Ibnu Taimiyyah, pengikut Ibnul Qayyim al-Jazi, pemuja Muhammad Abduh dan Rasyid Redha, orang yang fanatik kepada Majalah Al-Manar dan Al-Munir ataupun menjadi pengikut Mazhab Wahhabi.

Kelompok-kelompok Anti-Mazhab ini beralasan bahawa bertaklid kepada mazhab boleh menyebabkan seseorang itu menjadi mundur, mati semangat, jumud, beku, tidak berkemajuan, sudah mati sebelum mati dan sebagainya yang bersifat menghina kepada orang-orang bermazhab.

Adakah benar umat Islam yang bertaklid kepada Mazhab Imam-Imam Mujtahid yang empat itu mundur, jumud, beku dan lain-lain lagi seperti yang dituduh itu? Cuba lihat Imam Bukhari yang taklid kepada Imam Syafiee, adakah beliau beku dan jumud? Adakah orang-orang seperti Imam Ghazali, Imam Nawawi, Syeikh Abdul Kadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya yang taklid kepada Imam Syafiee itu termasuk orang bodoh? Lihatlah Sultan Salahuddin yang bertaklid kepada Imam Syafiee dan Sultan Muhammad Fatih yang bermazhab Hanafi, apakah mereka terjajah dan dipermainkan sahaja? Apakah khalifah-khalifah dan raja-raja Islam zaman pra-sekularisma dahulukala yang semuanya bertaklid kepada Mazhab Empat merupakan Ulil Amri yang jumud dan mundur? Apakah berjuta-juta umat Islam semenjak hampir 1000 tahun dahulu sehingga ke hari ini yang menganuti Mazhab Empat adalah orang-orang yang bodoh belaka?

Golongan Anti Mazhab merasakan bahawa mereka lebih pandai dan maju kerana tidak ‘terbelenggu’ dengan ikutan Mazhab Empat. Adakah mereka yakin akan mampu berhujjah di mahkamah Allah di Hari Akhirat nanti jikalau ditanya bagaimana dan dari mana mereka menggali hukum?

 

Persoalannya siapa yang tertipu, umat Islam yang bertaklid kepada mazhabkah atau penganjur-penganjur serta pengikut-pengikut Anti Mazhab?

Ada pula jenis umat Islam yang mengatakan dia bukan Anti-Mazhab, tetapi mendakwa dia sendiri tidak menganut mana-mana mazhab pun, tidak mazhab Syafiee, tidak Hanafi, tidak Maliki, tidak Hanbali, tidak mazhab sesiapapun. Mazhabnya hanyalah Mazhab Allah dan RasulNya. Katanya ia langsung mengambil terus hukum daripada Al-Quran dan Hadeeth.

Bagaimana halnya dengan keadaan orang-orang ini yang kebanyakannya tidak pernah belajar Bahasa Arab, hanya sekadar membaca Quran terjemahan dan sedikit sebanyak Hadeeth terjemahan, contohnya dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Indonesia? Adakah ia memiliki ciri-ciri kelayakan seorang ulamak, apatah lagi kelayakan seorang Imam Mujtahid? Bagaimana keadaan mereka ini yang kebanyakannya hanya membaca buku-buku karangan kaum Orientalis Barat, iaitu orang-orang yang suka membicarakan tentang Islam, tetapi adalah kafir?

 

Kalau baru dengan membaca buku-buku agama tentang Ilmu Feqah lantas sudah mahu mengatakan tidak mahu bermazhab, maka orang itu sudah membohongi dirinya sendiri. Kerana pada hakikatnya ia tetap seorang penganut mazhab, iaitu mazhab pengarang buku-buku yang dibacanya itu secara tidak diinsafinya kerana bukan dia yang mengistinbath atau mengeluarkan hukum dari nash, hanya sekadar merujuk terus kepada tafsir Quran dan Hadeeth yang dibuat mengikut pendapat pengarang-pengarang buku yang dibacanya itu.

Sedangkan orang yang mendakwa tidak pakai mazhab tetapi dalam fatwa-fatwanya jelas dilihat mengikuti pendapat Imam-Imam Mutjahid yang dulu-dulu, bermakna TIDAK ADA PENDAPATNYA YANG BARU, sesungguhnya ia tenyata sudah bertaklid.

Tetapi jikalau orang itu mengatakan bahawa ia tidak menganut mazhab sama sekali, sedang ia tidak membaca buku-buku agama dan tidak pernah belajar agama dari sesiapapun, orang ini dikatakan sebagai TIDAK BERAGAMA SAMA SEKALI.

Menurut Al-Imam Abu Ishaq Al-Isfiraini, ulamak besar dalam Mazhab Syafiee yang meninggal dalam tahun 418H, dalam perkara tidak pakai mazhab berpendapat bahawa :

“ Mulanya hunar dan akhirnya menjadi zindiq yakni keluar daripada Agama Islam, dan tiada apa-apa agama pun dengan sebab tiada pakai mazhab itu.”

Bermakna orang-orang yang tidak pakai mazhab dikhuatiri akan menjadi seperti lalang, tidak akan mempunyai keyakinan yang teguh dalam iktiqad serta amalan agamanya dan akhirnya boleh menjadi tidak beragama sama sekali.

Ada juga orang yang mengatakan dengan lidahnya bahawa ia tidak menganut sesuatu mazhab, tetapi jika dilihat dalam amalannya, ia penganut yang gigih dalam sesuatu mazhab. Cuma yang kurang baiknya, mazhab yang dianuti dengan tidak diinsafinya itu bukanlah mazhab umum yang dikenali dalam dunia Islam, tetapi adalah mazhab-mazhab jalanan yang direka berdasarkan hawa nafsu dan dibuat oleh tok guru-tok guru yang tidak tahu mengaji pula, atau paling celaka mengikut MAZHAB ORIENTALIS, mazhab orang Barat Yahudi dan Kristian yang banyak membicarakan soal-soal Agama Islam.

Kesimpulannya, orang-orang yang mendakwa bahawa mereka tidak pakai mana-mana daripada Mazhab Empat pada hari ini adalah termasuk dalam mana-mana kategori ini, iaitu :

1. Mereka sekadar mendakwa, tetapi hampir kesemua amalannya memperlihatkan bahawa ia seorang yang berteguh dengan salah satu dari Empat Mazhab. Yang sedikit itu adalah kerana mereka mencari kelonggaran kerana terdesak dengan hawa nafsu.

2. Mereka tetap bertaklid kepada mazhab, cuma mazhab mereka adalah mazhab yang tidak dikenali atau mazhab-mazhab jalanan. Tok guru-tok guru mereka tiada kelayakan sebagai Imam Mujtahid, tetapi membuat mazhab berdasarkan ‘ syok sendiri’.

3. Mereka tetap bertaklid kepada mazhab, tetapi mazhab mereka adalah Mazhab Orientalis yang amat membahayakan kerana disalut dengan imej humanisme dan liberalisme yang menyembunyikan kebatilan mazhab ini. Tok guru-tok guru mereka ramai dari kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mengajar Islam relatif yang amat menyelewengkan. Mazhab Orientalis merupakan pesaing yang paling merbahaya kepada Mazhab Empat pada zaman mutakhir ini.

4. Dari lisan dan amal perbuatan, golongan ini termasuk dalam lingkungan orang-orang yang tidak beragama sama sekali.

Bahaya ancaman tidak bermazhab : ‘Case Study’ di Malaysia

Kesan daripada anjuran penjajah British supaya umat Islam di negara-negara jajahan mereka mengambil pendidikan Barat yang menyembunyikan benih-benih sekularisme dan liberalisme dalam ajaran mereka, maka lahirlah firqah Muktazilah Moden di Malaysia yang dipelopori oleh KAUM MUDA.

 

Firqah Muktazilah yang diasalkan dari zaman Banu Abbassiyyah pada awalnya hanya menyentuh persoalan teologi dan sifat-sifat ketuhanan yang dipengaruhi oleh falsafah-falsafah Yunani .

Bagaimanapun mulai akhir abad ke 19M apabila sebahagian besar daripada umat Islam telah dapat dijajah oleh persekutuan kuasa-kuasa Barat muncullah Muktazilah Moden yang mempelopori aliran pemikiran yang menjangkaui juga persoalan keduniaan dan kehidupan menyeluruh seperti bidang politik, perundangan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Antara pelopor utama kepada MAZHAB MODEN ini ialah Muhammad Abduh (1845-1905M) yang pernah dilantik oleh Lord Cromer, seorang Yahudi yang menjadi Gabenor British di Mesir untuk memegang jawatan Syeikh al-Azhar di Universiti al-Azhar di Mesir. Muhammad Abduh mendapat aliran pemikirannya daripada Jamaluddin Al-Afghani (1839-1897, seorang anggota pertubuhan Freemason (Zionis) yang beragama Syiah ar-Rafidah .

Muhammad Abduh telah mengemukakan pendapat bahawa umat Islam perlu memerdekakan pemikiran dan membebaskan diri daripada belenggu keluarga dan kaum kerabat. Menurutnya, selama seseorang itu dibelenggu, selagi itulah aqalnya buta, jumud dan suka bertaklid.

Muhammad Abduh pernah mencetuskan kontraversi apabila mengeluarkan satu fatwa yang penting mengenai riba. Beliau telah menyatakan bahawa mengambil riba atau faedah dibolehkan bukan haram (Al-Manar, vol. VI, part 18, hlm 717). Berdasarkan kepada fatwa inilah ramai ulamak Muktazilah menghalalkan faedah dari zaman Mohamad Abduh hingga ke zaman ini.

Falsafah firqah Muktalizah Moden ini dapat disimpulkan dengan baik oleh seorang pengarang, Dr Muhammad Muslehuddin dalam bukunya Philosophy of Islamic Law and the Orientalist;

“Modernists, now stand for liberalism in Islam and rational reinterpretation of the Quran. To them the traditions of the Prophet are outdated and they look upon them with scant respects if they run counter to their ideas. What they want is that Divine Law must conform to their wishes.

Terjemahan :
“ Golongan Modenis pada hari ini merujuk kepada kebebasan dalam Islam dan penafsiran semula kitab Al-Quran berdasarkan pegangan rasionalisme . Bagi mereka, pegangan tradisi daripada Rasulullah SAW telah ketinggalan zaman dan mereka melihat kepadanya tanpa rasa hormat jikalau ianya berkonflik dengan idea-idea mereka. Apa yang mereka cita-citakan ialah supaya Peraturan Langit (undang-undang Tuhan) mesti mengikut kehendak-kehendak mereka.”

Golongan ‘Kaum Muda’ yang merupakan suatu gerakan modenisme Melayu telah dipelopori oleh beberapa orang bekas pelajar Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi dan Hj Abbas Mohd Taha. Mereka amat terpengaruh dengan falsafah-falsafah Syeikh Mohammad Abduh (1845-1905M), Syeikh Jamaluddin al-Afghani (1839-1897M) dan Rashid Rida, lalu membentuk gerakan reformasi yang dinamakan Islah atau ‘Gerakan Pembaharuan’ mulai permulaan abad ke 20M.

Kaum Muda telah mengketengahkan gerakan ‘pembebasan’ pemikiran dari ‘belenggu’ ulamak-ulamak tradisi yang dilabel sebagai jumud, kolot dan punca ‘kemunduran’ umat Melayu. Golongan yang mengikuti ulamak-ulamak tradisi ini pula dilabel sebagai taklid buta. Kaum Muda juga menyeru supaya pintu ijtihad dibuka semula bagi disesuaikan dengan kehendak zaman moden selain membidas golongan istana sebagai feudalistik sebagaimana yang dibuat oleh golongan cendikiawan Eropah kepada monarki mereka.

Sebagai contohnya, Syed Syeikh al-Hadi pernah memberikan pendapatnya mengenai wanita-wanita yang bertudung kepala:

“Bahawa berkelumbung yang kita pakai ini satu daripada sekatan yang sangat-sangat menegah sekelian perempuan itu kemajuannya.”

Bagi tokoh pemikir negara yang terkemuka, Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba (1895-1973), beliau berpendapat bahawa setiap orang mestilah melakukan ijtihad sendiri dan membuang sifat taklid yang dianggapnya keji itu. Beliau menegaskan bahawa setiap orang mestilah bergantung kepada diri sendiri dalam segala hal, dan jangan bergantung kepada orang lain .

Seorang tokoh dari Kelantan yang bernama Hj Nik Muhammad Salleh bin Hj Wan Musa (1920-1971M) yang terkesan dengan firqah Muktazilah teleh membuat seruan kepada wanita-wanita Melayu seperti berikut :

“ Wahai puteri Melayu, tirulah kaum puteri Turki, Mesir, Iraq, Iran dan adat istiadat Barat. Tetapi jangan lupa daripada beribadat kepada Allah Azzawajalla pada mana-mana tempat dan apa-apa pakaian.”

Seorang murid Hj Nik Muhammad Salleh yang bernama Rezali Yusuff pula dalam sebuah risalahnya menegaskan bahawa hukum aurat itu tidak pernah disebut dengan jelas kerana tidak ada dalil-dalilnya dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Dan kalaupun ada dalil Quran, hukumnya harus sahaja dan tidak haram. Yang diwajibkan menutupnya ialah aurat mughallazah, iaitu kemaluan (qubul dan dubur), sedangkan aurat mukhaffafah seperti kepala dan dada hanya makruh sahaja, termasuklah di waktu sembahyang sekalipun.

Menurut Dr Chandra Muzaffar, kitab Al-Quran mempunyai nilai-nilai universal yang bersifat abadi, sedangkan hukuman-hukuman hanya merupakan ‘modes of punishment’ yang boleh berubah-ubah mengikut zaman (teori relativisme). Beliau berpendapat bahawa umat Islam sepatutnya mementingkan yang batin daripada yang zahir kerana yang utama dalam Islam ialah nilai-nilai seperti keadilan, kebebasan dan persamaan.Sebab itulah beliau menolak hukum hudud oleh kerana ia tidak membawa keadilan seperti yang difahaminya .

Seorang lagi tokoh pemikir firqah Muktazilah Moden, iaitu Kassim Ahmad langsung menolak Al-Hadeeth sebagai salah satu sumber aqidah dan syariat.

Seorang Menteri wanita yang terkenal di Malaysia pernah menyuarakan suatu pendapat mengenai suami yang mengambil perempuan simpanan:

“If a Minister womanizes frequently and come home late every night, he may succumb to temptation and reveal some secrets. This politician should be exposed. However, if he has steady mistress, and his wife may know about it, it is his own business. If it does not affect his work why penalize him. ”
Terjemahan:
“Jika seorang Menteri selalu bermain perempuan dan balik rumah lambat setiap malam, dia mungkin akan mengalah dengan godaan dan mengeluarkan sedikit rahsianya. Ahli politik yang sebegini patut didedahkan Bagaimanapun jika ia mempunyai perempuan simpanan yang tetap yang mungkin di dalam pengetahuan isterinya, itu adalah urusan peribadinya. Jika keadaan tersebut tidak memberi kesan apa-apa (mudarat) pada kerjayanya, mengapa perlu menghukumnya?”

Professor Syed Hussein Al-Attas pula menyeru kepada penggunaan dasar aqal dan muslihat umum seluas-luasnya dalam mengambil keputusan.

Dengan keterangan-keterangan tersebut, jelaslah bahawa anjuran melarang taklid dari golongan Anti-Mazhab adalah anjuran yang tidak bertanggungjawab kerana ia akan menimbulkan beberapa faktor kerosakan yang besar, iaitu ;

1. Rakyat tidak dapat melaksanakan syariat dengan baik kerana anjuran Anti-Mazhab akan mendidik rakyat untuk sentiasa mencari jalan supaya tidak perlu taat kepada perintah Allah dan melanggar laranganNya dengan melonggarkan hukum-hakam agama.
2. Ajaran Islam menjadi lintang pukang dan porak peranda. Maka mudahlah musuh-musuh Islam menyelinapkan unsur-unsur penyelewengan.
3. Umat akan menjadi berpecah-belah kerana semua orang hendak menjadi ‘Imam-Imam Mujtahid’ yang akan merosakkan sendi-sendi agama

Kesimpulannya adalah lebih baik dan lebih aman bagi orang-orang yang belum sampai kepada darjat ijtihad, agar ia berfatwa sahaja menurut ajaran Imamnya yang ahli. Kalau berdakwah dan bertabligh bolehlah mengemukakan Hadeeth dan Quran, tetapi tafsirnya perlu menurut yang difatwakan oleh Imam-Imam Tafsir. Kalau mengadili sesuatu persoalan Feqah, boleh mengeluarkan Hadeeth dan Quran, tetapi tafsirnya haruslah mengikuti Imamnya, jangan bermain di luar garisan. Inilah yang paling aman!

Sesungguhnya bertaklid kepada mana-mana Mazhab Empat tidak menghambat kemajuan, itu bukan maksudnya. Tetapi DEMI KESELAMATAN AGAMA DAN DEMI KEAGUNGAN ALLAH AZZAWAJALLA, SERAHKANLAH HUKUM-HAKAM AGAMA PADA YANG AHLINYA.

Oleh Tengku Putih Tippi. 

 

1 comments so far