G-K566N94YEK Perdana Menteri garis tujuh amanat kepada Melayu

Perdana Menteri garis tujuh amanat kepada Melayu

Pada penutup majlis itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membaca perisytiharan mandat pemimpin Melayu kepada semua agensi dan badan yang berkaitan supaya melakukan apa sahaja untuk melaksanakan agenda perpaduan dan pembangunan Melayu.

KUALA LUMPUR, 28 Feb – “Selagi ada bulan dan bintang serta selagi darah Melayu mengalir di tubuh kita, amanat ini menjadi wadah dan maslahah umat ini dan kita akan terus perjuangkan sampai bila-bila,” kata Datuk Seri Najib Razak ketika menggariskan tujuh amanat pada Perhimpunan Perpaduan Melayu, malam tadi.
Amanat itu termasuk keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka; memperjuang kepentingan Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja-raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga.
“Jika orang Melayu berpegang kepada amanat ini, ia akan menjamin mereka muncul sebagai bangsa yang dihormati semua kaum dan dunia serta mampu menjadi bangsa berdikari pada abadke-21,” kata Perdana Menteri.
Perhimpunan di Stadium Putra, Bukit Jalil itu dihadiri lebih 20,000 orang Melayu.
“Perhimpunan seperti ini melambangkan bahawa dalam era kontemporari ini, masih wujud kesedaran dalam umat Melayu bahawa anak kunci dan asas kehidupan kita tidak lari daripada prinsip yang unggul yakni perpaduan dan kesatuan umat Melayu yang menjadi komitmen yang tidak berbelah-bahagi,” katanya.
Najib turut mengingatkan bahawa bangsa Melayu adalah orang yang hebat serta telah melakar sejarah yang jauh lebih maju daripada bangsa lain.
“Perhimpunan ini menggambarkan bahawa kita mahu tanya pada diri kita sebagai orang Islam, apa kita boleh buat atas nama orang Melayu, apa yang boleh kita sumbang dan apa yang kita boleh lakukan,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa perhimpunan seperti ini bukanlah ingin menunjukkan bahawa Melayu suatu kaum yang rasis, malah ingin menyatakan bahawa kebangkitan serta perpaduan Melayu masih boleh dibentuk serta disemai di dalam jiwa anak Melayu.
Dalam perhimpunan itu, Najib turut menerima memorandum cadangan penubuhan Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Islam daripada anggota jawatankuasa Majlis Perundingan Melayu, Tan Sri Mohamed Yusof Mohamed Noor.
Oleh Dalila Diyana Mohd Ariffin
#melayu #islam #malaysia #nusantara

0 Ulasan