G-K566N94YEK RAMADHAN DAN AL QURAN

RAMADHAN DAN AL QURAN

Al Quran


Ramadan disebut sebagai Syahrul Quran iaitu bulan al-Quran. Sejak zaman Rasulullah sehingga zaman sahabat, tabi’in dan tabi’ taabi’in, mereka menghidupkan Ramadan dengan al-Quran.

Ramadan juga satu-satunya bulan disebut oleh Allah sebagai bulan al-Quran kerana di dalam Ramadan, 30 juzuk al-Quran dibawa dari Luh Mahfuz turun ke langit pertama dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Al-Quran yang mempunyai 114 surah itu sudah berada di Luh Mahfuz sebelum Nabi Muhammad lahir.

Allah memerintahkan malaikat Jibril membawa turun al-Quran dari Luh Mahfuz pada bulan Ramadan ke langit pertama dunia.

Al-Quran kemudian turun kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah, secara berperingkat.

Ketika Allah memilih Ramadan untuk dijadikan sebagai bulan turunnya al-Quran, maka kedudukan Ramadan diangkat sebagai penghulu segala bulan.

Begitu juga dalam Ramadan ada Lailatulqadar. Malam penuh keberkatan itu dipilih Allah sebagai malam dibawa turun al-Quran lalu menjadikannya malam terbaik daripada malam lain kerana al-Quran.

Kemudian, al-Quran itu diturunkan pula kepada Nabi Muhammad menjadikan Baginda sebagai penghulu sekalian nabi dan rasul kerana kemuliaan al-Quran.

Seterusnya, kemuliaan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad menjadikan kita terpilih sebagai umat terbaik yang pernah diutuskan Allah kerana kemuliaan al-Quran.

Maka, amat rugi kepada mereka yang sudah meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat menyintai serta memuliakan al-Quran dalam hidupnya.

Orang yang hidup dengan al-Quran, Allah akan sentiasa memuliakannya di dunia, di alam barzakh, di padang mahsyar sehingga seseorang itu dihimpunkan di dalam Syurga kelak.

Ramadhan adalah bulan madrasah/latihan tilawah dan tadabur Al quran secara intensif. Semoga amalan tilawah dan tadabur ini dapat kekal istiqomah dibulan-bulan lain.

Dari Penulis yang Ikhlas

#alquran #Islam #Allah

0 Ulasan