Gugup dan Gagap
Namun atas prestasi teruk aku yang terlalu gugup dan gagap ketika berhadapan dengan seluruh murid-murid sekolah pada perhimpuan pagi termasuk prestasi aku yang malas dan kurang mengambil berat memikul tanggungjawab sebagai ketua.
Aku gagal mengekalkan jawatan menjadi ketua murid. Jawatan itu disandang oleh kawan perempuan aku bernama Siti Nurilam.
Aku cukuplah sekadar menjadi pengawas biasa. Sejujurnya aku tidak suka menyandang jawatan sebagai ketua murid kerana sejujurnya aku memang ada penyakit gugup yang sangat kuat bila berhadapan dengan orang ramai.
Ya... Aku ada penyakit gugup yang amat ketara sehinggalah sekarang. Tapi kini tidaklah seteruk dahulu.
Aku masih terus diberikan tanggungjawab menjadi pengawas dan terus berbakti seperti yang dijadualkan oleh cikgu.
Aku masih dikekalkan berdiri dihadapan perhimpunan sebagai penaik bendera Malaysia dan bendera
Selangor setiap kali mereka menyanyikan lagu rasmi tersebut di setiap perhimpunan pagi SRKTE bersama rakan sekelas aku bernama Diong Chew Sin.
Bakat dan Malas
Bagi seorang individu yang sezaman dengan aku, sudah pasti kalian tahu terdapat peperiksaan penting pada peringkat Darjah 5 ketika ini iaitu peperiksaan Penilaian Darjah 5 Sekolah Rendah.
Aku agak berjaya dalam peperiksaan penting bagi murid sekolah rendah ketika itu yang menyaksikan aku berjaya mendapat keputusan 3A dan 2B dalam peperiksaaan tersebut.
Aku terlalu gembira kerana aku cuma hanya belajar untuk 2 minggu terakhir dengan bimbingan Makcik Busu aku yang ajar aku kat rumah.
Sekali lagi aku tekankan, Aku sedar aku pemalas, namun bakat menghafal dan bakat memahami sesuatu perkara itu telah banyak menyelamatkan diri aku. Syukur Alhamdulillah.
Kalau tidak aku pasti akan menjadi budak yang jauh ketinggalan dalam pelbagai perkara dan terus menerus menjadi seorang budak yang kurang bijak. Nak bangga pun aku rasa tak layak.
Semuanya dibantu tanpa ada usaha yang bersungguh dari aku sendiri. Hidup aku banyak main-main.
Pada tahun ini juga, ibu, nenek dan atuk aku telah memasukkan aku ke sekolah agama. Kali ini aku belajar lebih fokus apa itu agama yang aku anuti iaitu ISLAM.
Ketika itu sekolah rendah agama di Kepong adalah di Masjid lama kami. Masjid lama itu pun dah tak wujud lagi dek kerana pembangunan yang pesat di kawasan Kepong kini.
Mempelajari secara khusus akan agama yang aku anuti ini adalah sesuatu yang menarik. Aku berjaya menguasai agama peringkat rendah ini dengan kadar yang agak baik. Aku banyak dapat markah A dan B dalam peperiksaan dan kerja sekolah.
Bak kata orang, ilmu dunia dan ilmu akhirat aku seimbang.
Tahun 1987, Bila sudah masuk darjah 6,aku banyak relax dan santai. Banyak bermain kerana tiada peperiksaan yang penting dan besar akan berlaku. Cuma peperiksaan biasa bagi sekolah rendah kebangsaan dan sekolah agama aku berjalan seperti biasa...
Agama Itu Menarik
Aku dididik untuk mempercayai Tuhan. Dalam tertib sebagai seorang lelaki Melayu dan seorang Islam yang menamakan Tuhan itu dengan nama ALLAH SWT.
Aku dilatih mempercayai sepenuhnya kepada 6 Rukun Iman dan mempraktiskan 5 Rukun Islam sebagai bukti jelas aku menganuti Islam.
Menjauhi segala larangan Allah dan mengikuti segala suruhan Allah adalah asas kehidupan aku sebagai Muslim di dunia yang fana ini.
Pada fitrah alami, kebiasaannya seperti budak kecil yang lain, aku menerima segala yang diceritakan. Di sogok bulat-bulat tanpa melalui proses pemikiran yang kritis.
Jiwa aku ketika itu sudah pasti adalah sebuah jiwa yang putih dan kosong.
Aku mempraktiskan Islam mengikut kemampuan yang aku mampu buat.
Tapi dek kerana MALAS, amat berat bagi aku melakukan ibadah SOLAT dan PUASA. Apa tah lagi ibadah ZAKAT dan HAJI.
Hanya mengucap 2 kalimah syahadah sahaja yang paling mudah untuk aku zahirkan selalu dalam kehidupan aku ini. Sedih pula bila dikenang kembali.
Larangan-larangan Tuhan sering aku langgar dan berat untuk aku menegakkan suruhan-suruhan Tuhan dan aku bukan keseorangan rupanya. Majoriti dari semua manusia yang aku nampak depan mata aku pun seperti aku…
Semasa umur aku 12 tahun ini, aku lebih fokus kepada sekolah rendah agama pada sebelah petangnya. Ketika ini ilmu agama terutamanya cerita-cerita silam zaman nabi dan rasul Islam sangatlah amat menarik untuk aku ketahui.
Ia lebih berbentuk seperti cerita-cerita epik seperti Ali Baba, Aladdin dan Sinbad ketika umur aku sebegitu.
Keputusan peperiksaan sekolah agama aku sangat memberansangkan.
Walaupun tak belajar, aku mendapat keputusan nombor 6 dalam peperiksaan akhir tahun daripada seluruh pelajar darjah 6 ketika itu.
Dalam aku memperbaiki ilmu agama aku dan keimanan aku terhadap Allah, aku diuji lagi. Aku ada masalah fizikal yang sangat besar ketika ini. Ia sekaligus mengganggu emosi aku, aku semakin down.
Jerawat dimuka aku kini semakin kronik dan teruk.
Aku diserang oleh penyakit yang paling ditakuti oleh semua remaja iaitu Jerawat Batu. Biasalah sebagai individu yang meningkat dewasa perkara ini akan berlaku. Cuma aku adalah insan yang terpilih kerana melalui saat-saat ini dengan impak yang agak luar biasa.
Jerawat aku kronik sehingga seluruh badan aku terkesan. Ada pada leher, telinga, dada, belakang badan dan sudah tentu banyak di muka....
Muka aku habis diratah oleh sang jerawat. Dah macam muka bulan purnama rupa aku ketika itu.
Aku semakin merasakan perasaan rendah diri semakin kuat dengan sendirinya. Ya aku memang down sangat ketika ini. Malu dengan wajah aku yang selalu mendapat perhatian orang ramai apabila di khalayak ramai.
Aku rasa malu dan sangat mengecewakan...
Aku selalu berusaha untuk memperbaiki penyakit aku ini tetapi tiada siapa fokus untuk membimbing aku melawan penyakit aku ini. Aku keseorangan.
Aku hanya menjaga kebersihan diri aku dengan mencuci muka dengan sabun pencuci muka. Mengurangkan makanan berminyak dan kacang, menjauhi panas dan berpeluh dan memperbanyakkan minum air dari sebelum ini.
Aku sering berdoa dalam dan luar solat agar Allah kembalikan wajah aku yang normal. Aku malu dipandang hina, seolah-olah pembawa penyakit yang berjangkit dan busuk. Ketika itu aku merasa amat malu, sangat-sangat malu....
Semakin hari semakin aku mengharapkan penyembuhan, tapi tiada apaapa perubahan.. muka semakin teruk. Jerawat aku semakin mengganas.
Jerawat aku bernanah dan kemerah-merahan. Macam mana aku nak sorok wajah aku ni?
Setiap hari aku mengalami tekanan, serba serbi aku rasakan tak kena. Adakah aku dihukum oleh Tuhan? Kenapa Tuhan benci aku?
Apakah yang teruknya diri aku ini sehingga aku dihukum begini? Aku benar-benar tidak puas hati dengan qada dan qadar ini.
Namun aku mudah melupakan semua masalah dalam hidup ini dengan menggunakan kaedah berfantasi di alam fantasi ciptaan aku sebagai satu terapi semulajadi ketika itu. Mungkin cara ini juga yang aku gunakan setiap kali ketika aku ada masalah ketika usia aku masih kecil dahulu.
Melupakan sesuatu yang mengganggu fikiran aku adalah satu kelebihan yang baru kini aku sedar. Bayangkan jika kaedah tidak ada dalam diri aku.
Boleh gila aku jadinya.
Seni Mempertahankan Diri
Tanpa dirancang sama sekali, mungkin atas faktor desakan kawan-kawan dan cikgu di sekolah, aku mula berjinak-jinak dengan mempelajari seni mempertahankan diri warisan bangsa Melayu, iaitu Seni Persilatan Gayung Malaysia sebagai satu wadah pembelajaran warisan bangsa yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
Aku mula mengenali cikgu-cikgu silat aku iaitu Abg Khan, Cikgu Mufti dan Cikgu Sofiah yang merupakan orang-orang kuat dalam Persatuan Silat Gayung Malaysia.
Mereka bukan calang-calang orang, mereka adalah individu yang terlatih di dalam bidang persilatan peringkat negara dan antarabangsa.
Ketika itu kami hanya berlatih di padang sekolah SRKTE sahaja. Tiada kawasan khas seperti gelanggang silat wujud ketika itu.
Mempelajari seni silat ini menjadikan aku mempelajari menguasai tubuh badan aku secara jasmani dan seterusnya rohani. Dalam silat banyak mendekat diri aku kepada Dunia Melayu Islam.
Bersilat secara tidak langsung menjadikan aku mendekati apa itu bangsa aku iaitu Melayu. Satu aktiviti yang sangat berfaedah dari segi kesihatan mental dan fizikal. Terlalu banyak perkara menarik untuk aku pelajari.
Dalam mendekati ilmu persilatan Melayu dalam diam aku mengalami perasaan ‘Bangga’ menjadi Melayu.. Aku bangga dengan apa yang telah Tuhan kurniakan kepada bangsa aku.
Aku bangga dan amat bersyukur dilahirkan Islam dan aku juga bersyukur dan bangga dengan apa yang telah Tuhan kurniakan kepada tanahair aku yang penuh rahmat sehingga Malaysia digelar sebagai Bumi Yang Bertuah.
Aku bangga dan rasa itu benar-benar meresap ke dalam jiwa kalbu aku.
Ketika di darjah 6 juga aku banyak habiskan masa bersama 2 sahabat aku ketika iaitu Al-Faizal dan Syed Shahrul melepak di tepi longkang besar di kawasan rumah Faizal.
Kami kawan dah lama tetapi rapat ketika umur kami 11 tahun di darjah 5 dan lebih rapat ketika darjah 6 kerana sudah habis peperiksaan Penilaian darjah 5.
Mereka berdua ni hampir sama dengan aku, naif, speaky dan tidak menonjol sangat di sekolah.
Mereka juga kuat berimaginasi dan suka mencari pelbagai input yang menarik dan diluar kotak untuk dikongsi bersama-sama setiap sessi melepak kami. Agama, politik, misteri, Melayu dan macam-macam lagi. Terlalu banyak cerita-cerita yang gempak!
Pada pendapat aku, input-input itu adalah untuk kami merasai bahawa kehidupan kami sebagai seorang manusia ini adalah hebat dan sempurna.
Mungkin kerana kami ini merasai kami tidaklah sehebat kawan-kawan kami yang lain. Kami jadi ‘low profile’...
MULA BERFIKIR KRITIS
Faizal telah membuka minda aku kepada dunia Islam dari perspektif yang berbeza. Dia memperkenalkan kepada aku apa itu SUFI, tasawuf dan pelbagai perkara pelik dalam dunia Islam hinggakan perkara yang pelik itu tidak lagi menjadi pelik bagi aku ketika itu.
Gabungan kombinasi pembelajaran formal di sekolah dan sedikit pembelajaran di rumah dan television, serta input-input menarik dari Faizal sangat terkesan kepada aku sehingga ke hari ini.
Syed banyak menyokong poin-poin Faizal ini. Bak kata orang, menambah perisa dalam setiap penceritaan Faizal. Mereka ni suka mencari dan membaca perkara-perkara yang baru dan kebanyakan perkara yang mereka bawa adalah pelik dan membuat aku banyak berfikir.
Fikiran aku semakin kritis dalam mentafsir sesuatu subjek dalam kehidupan.
Ketika ini aku semakin JELAS dan baru aku SEDAR bahawa kehidupan dan seluruh alam semesta ini adalah sesuatu yang amat sangat menarik untuk dipelajari dan diamati. Misteri alam amat wangi untuk aku hirup nikmat keharumannya. Ia menjadikan sifat ingin tahu aku membuak-buak dengan pelbagai persoalan.
Bayangkan kami budak berumur 12 tahun yang mempunyai ilmu pemikiran yang amat cetek ini tapi mempunyai pelbagai soalan yang sulit dan sukar.
Pasti ia sesuatu yang rumit.
Aku membaca dan mentafsirkan bahawa saat-saat inilah aku menjadi obses mengenali isipati Islam, siapa itu Tuhan, keperibadian Nabi Muhammad SAW, kewujudan manusia dan alam semesta secara lebih serius.
Minda aku mula mencabar diri aku dengan pelbagai persoalan....
Kenapa aku diwujudkan... bagaimana aku diwujudkan... di mana aku diwujudkan... bila aku diwujudkan dan siapa mewujudkan aku.
Baru berumur 12 tahun dengan mendukung pemikiran dan perasaan yang penuh dengan persoalan-persoalan orang dewasa sebenarnya bagi aku adalah amat merbahaya. Tetapi itulah aku, aku bersyukur Tuhan lindungi aku.
Dan untuk pengetahuam kalian semua. Faizal juga adalah cikgu gitar aku.
Dia adalah cikgu pertama yang mengajarkan aku bermain gitar. Skill gitar aku hari ini adalah dari tunjuk ajar beliau pada aku walaupun aku memang TANGAN BANGKU.
Selain Al-Faizal, kawan aku Joe Rodzi dan Azlan Alias banyak mempengaruhi aku bagaimana untuk bermain secara asas, tetapi yang paling lejen ialah abang kepada Azlan Alias iaitu Aznan Alias yang merupakan gitaris hebat dan selalu mengiringi Sifu M.Nasir dalam setiap persembahan dan pembikinan muzik di dalam studio di Luncai Emas, Sg. Buloh, Selangor.
Mereka berempat banyak membantu aku mengerti apa itu gitar dan muzik walaupun aku sampai sekarang masih jauh tidak sehebat mereka.
Dari sebuah gitar itu maka aku pun bermula berjinak-jinak mendalami bakat semulajadi yang ada dalam diri aku di dalam bidang seni muzik yang sehingga kini menjadi salah satu sumber rezeki aku iaitu mencipta lagu dan menulis lirik.
Umur 13 tahun – 17 tahun
Walaupun aku mempunyai pelbagai persoalan dalam otak aku untuk aku mencari jawapannya. Sejujurnya aku masih tidak serabut lagi.
Jiwa aku masih tenang, masih beriman secara telus mengikut acuan Islam di Malaysia.
Masuk ke tingkatan 1 di Sekolah Menengah Taman Ehsan (SMTE), aku masih baik dengan Faizal dan Syed... Cuma aku dimasukan ke kelas paling pandai ketika iaitu 1 Perdagangan 1 (1P1) dan aku tak pasti Faizal dan Syed di kelas mana.
Perasaaan semakin remaja tu semakin tebal. .Namun aku masih macam aku seperti sebelum ini. Tinggi, besar, speaky, berjerawat dan masih naif lagi...
Aku selalunya low profile tetapi faktor-faktor semulajadi yang ada pada aku menjadikan aku agak tertonjol berbanding kawan-kawan aku yang lain yang juga low profile.
Aku akui, memang aku agak janggal bergaul dan bersosial kerana sifat malu ku yang tebal. Apatah jika ada perempuan di sebelah aku, memang aku gugup langsung.
Di SMTE ini pergaulan semakin meluas kerana kami bercampur dengan ramai murid dari pelbagai kawasan kejiranan berhampiran iaitu antaranya Selayang, Kepong (KL), Manjalara dan Sungai Buloh (Sg. Buloh).
Ia sekaligus menjadikan ruang KOMUNIKASI dan pergaulan aku semakin besar. Info dan ilmu semakin banyak dari pelbagai sumber dan pelbagai corak.
Tambahan pula ketika di tingkatan 1 ini, silibus mata pelajaran terutamanya mata pelajaran sains semakin mencabar. Banyak perkara baru dan maklumat di luar kotak fikiran menerjah ke otak aku yang masih hijau dan segar.
Ia sesuatu yang menyeronokan bagi aku.
Namun aku tak lama bersekolah di sini. Ini kerana ibu aku telah membuat keputusan untuk memasukkan aku ke sekolah asrama bagi menaikkan potensi pembelajaran aku.
Maklumlah aku sangat malas belajar semasa di Kepong.
Aku juga seorang pemalas buat kerja rumah sehingga pernah ‘kantoi’ dan mendapat amaran dari cikgu kerana pernah meniru kerja rumah kawan aku dari Sg. Buloh bernama Ganeshram.
Potensi aku jelas lagi terang bahawa bakat aku menghafal pelajaran yang cikgu ajar di kelas agak baik. Tidak perlu mengulangkaji di rumah.
Tu memang bakat aku. Tetapi mungkin kini sudah tiada lagi. Seingat aku setelah aku masuk tingkatan 4, daya hafalan aku menjadi normal sehingga kini, mungkin nikmat dan kelebihan itu telah hilang begitu sahaja.
Bila masuk ke tingkatan 2 iaitu pada tahun 1989, aku bersekolah di Sekolah Menengah Tinggi Kajang (SMTK) pula.
Sekolah ini merupakan sekolah yang sangat dekat dengan sejarah famili Kepong aku sebelah ibu kerana mereka berasal daripada Beranang, selatan Selangor bersempadanan dengan Mantin, Negeri Sembilan. Pakngah aku juga pernah bersekolah di sini.
Ibu dan makcik aku pula pernah bersekolah di Sekolah Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Kajang yang merupakan sekolah dalam kejiranan berhampiran dengan SMTK. Beranang, Mantin, Semenyih, Bangi, Kajang dan Serdang amat sinonim dengan famili belah ibu aku.
Aku tak keseorangan sebenarnya. Sepupu aku bernama Amzari pun ada dengan aku di sini cuma kami selalu buat hal masing-masing, tetapi kami sangat baik sebagai sepupu.
Apa yang boleh menarik mengenai SMTK ialah sejarah sekolah itu yang menjadi salah sebuah markas Jepun ketika zaman Perang Dunia Kedua sebelum merdeka.
Masih terdapat Landasan Rel Kereta Api, lubang tikus dan peluru-peluru lama di padang sekolah kami sebagai bukti kehadiran tentera Jepun.
SMTK juga merupakan sebuah sekolah yang ber’aura jantan’. Kerana semua pelajar di sana hanyalah murid-murid lelaki dan mereka kebanyakannya memang kasar, kuat dan berani.
SMTK juga terkenal dengan aktiviti sukan terutamanya permainan hoki, bola dan ragbi...
Dan oleh kerana itu. Aku suka tak suka memang dipaksa memasuki pasukan ragbi sekolah walaupun sebenarnya aku memang penakut.
Sekali lagi, bakat dengan sedikit usaha aku menbuahkan hasil dalam prestasi aku bersukan.
Aku berjaya meletakan nama aku dikenali di seluruh Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) sebagai pemain ragbi yang digeruni. Walhal aku cuma memainkan watak sebagai Penggembur Kubu Lawan dengan pendekatan merempuh dan melanggar pemain pihak lawan sehingga membawa kejayaan kepada SMTK.
Aku juga berjaya dalam sukan olahraga peringkat MSSS. Aku setiap tahun berjaya mewakili sekolah dan daerah dalam acara sukan melontar peluru, merejam lembing dan melempar cakera. Pencapaian tertinggi aku ialah mendapat pingat gangsa di dalam acara melontar peluru peringkat Negeri Selangor.
0 Ulasan