G-K566N94YEK Mengembalikan TAKLID Mazhab Empat Demi Survival Ummah

Mengembalikan TAKLID Mazhab Empat Demi Survival Ummah

 

Dalam bidang Syariat, jumhur ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah mengambilnya daripada :

“ Golongan ulamak yang menyumbangkan dalam menjaga serta mengawal kedudukan SYARIAT Islam, mereka menyusun dan mengemaskan perkara-perkara furuk (cabang-cabang agama) , iaitu dalam bidang Ilmu Fekah. Gerakan ini diketuai oleh imam yang empat, iaitu Hanafi, Maliki, Syafiee dan Hanbali beserta rakan-rakan dan para pengikut masing-masing.”

Dalam bab yang terdahulu kita telahpun mengemukakan definisi Usuluddin yang disebut sebagai Pokok Agama. Maka kalau kita bicarakan tentang usul atau pokok sudah tentu ada furu’ atau cabangnya. 

Dalam istilah keagamaan, furu’ syariat bererti soal-soal ibadat yang dikerjakan setiap hari umpama solat, puasa, zakat, haji nikah, jual beli dan sebagainya. Maka kalau Usuluddin ialah soal Iktiqad, maka furu’s syariat ialah soal ibadat-ibadat yang lahir iaitu dalam bidang Ilmu Feqah.

FEQAH dalam Bahasa Arab ertinya pengertian, kefahaman dan dalam Islam bererti ilmu pengetahuan tentang hukum syariat Islam sesuai dengan dalilnya satu persatu. 

Contohnya solat Hari Raya hukumnya sunat sesuai dengan Hadeeth ini, riba hukumnya haram, sesuai dengan Firman Tuhan mengikut ayat ini, minum arak haram sesuai dengan Al-Quran mengikut ayat ini dan sebagainya. 

Orang yang pakar dalam bidang Ilmu Feqah disebut ULAMAK FEQAH atau FAQIH, jama’nya FUQAHA.

Gerakan ini diketuai oleh imam yang empat, iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali beserta rakan-rakan dan para pengikut masing-masing.

Mereka dikenali sebagai IMAM MUJTAHID, iaitu ulamak-ulamak besar yang tugasnya BERIJTIHAD, iaitu menggeluarkan hukum dengan menggalinya dari sumber Al-Quran dan Al-Hadeeth yang mana isi tersebut tidak dapat dilihat secara langsung oleh orang biasa. 

Hukum-hakam yang didapat sesudah digali itulah yang dinamakan MAZHAB orang yang menggalinya itu.

Maka ini namanya Mazhab Syafiee kerana digali oleh Imam Syafiee. Ini Mazhab Hanbali kerana digali oleh Imam Hanbali dan begitulah seterusnya.

Dalam zaman mutakhir ini yang mana telah lahir banyak puak ANTI-MAZHAB, moleklah jikalau kita dapat menghayati semula sejarah ringkas dan ciri-ciri kepentingan bermazhab.

 Ianya bertujuan memberi keyakinan kembali serta penghargaan yang mendalam kepada pegangan Mazhab Empat sebagai benteng kukuh dari amalan-amalan sesat yang berleluasa pada zaman fitnah hari ini. 

Dengan keyakinan yang teguh, mudah-mudahan dapatlah kita membetulkan atau memantapkan semula amalan bermazhab sebagai jaminan keterikatan kita sebagai pengikut Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.


Keperluan berijtihad sesudah kewafatan Rasulullah SAW

Sesuai dengan perkembangan Islam dan keluasan daerah-daerah yang memeluk Agama Islam, maka para sahabat dan tabiin (orang-orang yang berjumpa dengan sahabat Nabi SAW) telah bertebaran ke seluruh pelosok dunia.

 Dalam khidmat mereka menyebarkan syiar dan syariat Islam kepada berbagai kaum di berbagai tempat dengan masalah dan karenahnya masing-masing, mereka telah dihadapkan dengan berbagai persoalan baru yang belum pernah wujud pada zaman Nabi. 

Maka dalam menangani persoalan-persoalan baru ini, mereka telah meneliti ayat-ayat Quran, adakah hukum hal itu di dalamnya. Kalau ada mereka menghukum dengan Al-Quran, tetapi kalau tidak ada hukum nyata maka mereka mencari dalam pula dalam sumber Al-Hadeeth.

Sumber Al-Hadeeth atau Sunnah Rasul berfungi sebagai menjelaskan maksud-maksud daripada ayat-ayat Quran yang perlu dijelaskan, kerana adakalanya ia berbentuk umum.

 Sumber Al-Hadeeth juga berfungsi untuk menyempurnakan lagi keseluruhan peraturan Islam pada mempraktikannya dalam semua urusan kehidupan .

Kalau persoalan ini tidak diketemukan juga jawapannya daripada sumber Al-Hadeeth dengan ertikata tidak seorang juapun diantara para sahabat yang mengetahui sebuah Hadeeth yang sesuai dengan masalah yang terjadi, maka kemudian barulah mereka berijtihad sendiri. 

Hal ini samalah dengan seorang Hakim pengadilan yang terikat dengan undang-undang dan peraturan-peraturan yang terdahulu, maka jikalau tidak kedapatan lalu mereka menghukum sendiri dengan keinsafan batin mereka dengan pertanggungjawabnya kepada Tuhan .

Ringkasnya dalam menjawab soal-soal agama yang belum ada nashnya di dalam sumber Al-Quran dan Al-Hadeeth, para sahabat telah berijtihad sendiri untuk menetapkan hukum-hakam dalam masalah yang baru itu, kerana ijtihad itu baru dibolehkan kalau nash dari kedua-dua sumber tersebut tidak ada.

Dalam sebuah Hadeeth yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan At-Tarmidzi tersebut begini :

Dari Muadz bin Jabal, bahawasanya Rasulullah SAW pada ketika mengutusnya ke Yaman bertanya kepadanya:

“Bagaimana caranya engkau memutuskan perkara yang dibawa ke hadapanmu?”
“Saya akan memutuskannya menurut yang tersebut dalam Kitabullah.” jawab Muadz.
Nabi bertanya lagi: “Kalau tidak tersebut dalam Kitabullah, bagaimana?”

Muadz menjawab: “Saya akan memutuskannya menurut Sunnah Rasul .”
Nabi bertanya lagi: “Kalau engkau tidak menemui hal itu dalam Sunnah Rasul, bagaimana?”

Muadz menjawab: “Pada ketika itu saya akan berijtihad tanpa sedikitpun.”
Mendengar jawapannya itu Nabi Muhammad SAW meletakkan tangan baginda ke dadanya dan berkata: “ Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq utusan Rasulullah, sehingga menyenangkan hati RasulNya.”
(Sahih Tarmidzi, juzuk II, hlm 68-69, Sunan Abu Dawud, juzuk III, hlm 303)

Dalam suatu surat amanat yang dikirim Sayyidina Umar RA kepada Gabenor Basrah, Abu Musa Al Asy’ari, beliau berkata:

“ Fahamkan, fahamkan benar sekalian soal yang bergolak dalam dadamu, yang tidak terdapat (hukumnya) dalam Kitab dan Sunnah.

 Perhatikanlah yang serupa dan sebanding, ketika itu Qiyaskanlah yang satu kepada yang lain.” (Kitab Syafiee, Muhammad Abu Zarah, hlm 64).

Ringkasnya, memang terdapat dalil kukuh yang menyuruh berijtihad dalam suatu hukum masalah yang tidak terdapat nashnya dalam Kitabullah dan Sunnah Rasul.

Bagaimanapun pada zaman sahabat RA anhum sekalipun, bilangan mereka yang berijtihad tidaklah ramai. 

Walaupun para sahabat yang ditinggalkan Rasulullah SAW beribu-ribu jumlahnya (pada ketika Haji Wida’, atau penghabisan sebelum Rasulullah SAW wafat, disebut sahabat yang bersama baginda naik haji adalah seramai 70, 000 orang), tetapi yang berani berfatwa adalah seramai 130 orang sahaja. Dari jumlah ini hanya 7 sahaja yang banyak tahu, banyak ilmunya dan banyak mengeluarkan fatwa . Mereka ialah;

1. Sayyidina Umar Al-Khattab
2. Sayyidina Ali bin Abi Thalib
3. Abdullah bin Mas’ud
4. Ummul Mukminin Siti Aishah
5. Zaid bin Thabit
6. Abdullah bin Abbas
7. Abdullah bin Umar.

Sedangkan para sahabat lain lebih banyak menghafal Hadeeth-Hadeeth yang mereka dengar sendiri dari Rasulullah SAW serta melihat sendiri Sunnah Rasul yang kemudiannya disampaikan kepada murid-murid mereka dari kalangan tabiin (orang yang berjumpa dengan sahabat Rasulullah SAW). 

Mereka inilah dipanggil PERAWI, iaitu yang merawikan Hadeeth dari seorang kepada seorang yang lain.

Maka para sahabat yang berijtihad inilah menjadi IMAM MUJTAHID, iaitu menggeluarkan hukum dengan menggalinya dari sumber Al-Quran dan Al-Hadeeth yang mana isi tersebut tidak dapat dilihat secara langsung oleh orang biasa. 

Menggali hukum pula disebut sebagai ISTINBATH dan hukum-hakam yang didapat sesudah digali itulah yang dinamakan MAZHAB orang yang menggalinya.

Bagaimanapun para sahabat tidak sempat hidup lebih lama untuk menghadapi sendiri perubahan zaman yang menerbitkan soal-soal yang baru dan lebih kompleks. 

Apatah lagi dengan keadaan ilmu Hadeeth yang masih terpencar-pencar kerana mereka saling tinggal berjauhan di Madinah, Mekah, Kufah, Basrah, Syam dan berbagai tempat lagi. Untuk belajar dari mereka harus bermusafir jauh dari satu tempat ke satu tempat yang menempatkan para sahabat Rasulullah SAW itu

Apa yang paling menggusarkan umat Islam pada waktu itu ialah apabila menghilangnya satu persatu para sahabat, ajaran-ajaran Islam tulen yang tersimpan dalam dada mereka (sumber Kitabullah dan Hadeeth) dan terzahir dalam amal perbuatan mereka (ikutan Sunnah Rasul) adalah juga dalam bahaya kehilangan. 

Kebetulan pula muncul puak-puak batil dengan firqah-firqah palsu mereka serta kelompok ahli-ahli pendusta yang mereka-reka banyak Hadeeth palsu.

Bagaimanapun seperti juga halnya yang berlaku apabila Allah SWT mewujudkan dua tokoh ulamak Usuluddin yang berkhidmat menyusun serta mengemaskan perkara-perkara iktiqad Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, begitulah yang terjadi apabila Allah SWT menakdirkan munculnya golongan tabiin dan tabit tabiin yang bertanggungjawab mengumpul, menyemak, menyaring dan membukukan Hadeeth. 

Ianya dimulakan dalam zaman Khalifah Umar Abdul Aziz yang mengeluarkan perintah untuk mengumpulkan Hadeeth lantaran timbul beberapa perkara yang menghendaki supaya Hadeeth dibukukan.

Pada waktu itu Al-Quran telah cukup berkembang dalam masyarakat sehingga tidak wujud lagi kekhuatiran akan timbulnya keraguan tentang ayat-ayatnya .

Dikesampingkan dengan usaha-usaha yang ikhlas untuk membukukan Hadeeth oleh golongan tabiin dan tabit-tabiin, maka lahirlah pula sebilangan kecil pakar-pakar ulamak yang telah memenuhi semua syarat untuk berijtihad sebagai penyambung kepada tugas murni para sahabat dalam peranan mereka melengkapkan seluruh kehidupan umat Islam dibawah takluk hukum-hakam agama sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW itu.

Dan menurut ajaran baginda, apabila orang yang berkelayakan sebagai Imam Mujtahid melakukan ijtihad didalam sesuatu perkara sambil berusaha bersungguh-sungguh untuk sampai kepada kebenaran, maka dia akan diberikan dua ganjaran pahala iaitu kiranya ijtihadnya itu menepati kebenaran. 

Satu pahala kerana ijtihadnya dan satu pahala kerana hasil ijtihadnya itu menepati kebenaran.

Sekiranya hasil ijtihadnya salah, yakni tidak menepati kebenaran, maka dia akan tetap diberikan satu ganjaran pahala sahaja, iaitu ganjaran kerana ijtihadnya. DIA TIDAK DIBEBANI DENGAN DOSA kerana salah dalam ijtihadnya.

Rasulullah SAW telah bersabda :

“ Apabila seseorang hakim mengadili, lalu dia berijtihad kemudian ijtihadnya betul, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia mengadili, lalu dia berijtihad kemudian ijtihadnya itu salah, maka baginya satu pahala. “
(HR Bukhari & Muslim)

Firman Allah SWT :

“ Allah tidak memberati seseorang melainkan kadar usahanya.” (Al-Baqarah : 286)

Ringkasnya kerana banyak hal-hal baru yang datang silih berganti sehingga Akhir Zaman nanti, maka jumhur ulamak telah bersepakat bahawa Ijtihad dan Qiyas (perbandingan-perbandingan) itu mesti, wajib, tidak boleh tidak supaya setiap sesuatu ada hukumnya. Kalau tidak agama akan mandek, akan terhenti dan tidak sanggup menghadapi zaman

Oleh itu jumhur ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah menetapkan bahawa sumber ajaran dan hukum-hakam Islam itu ada empat perkara, iaitu ;

1. Al-Quran
2. Al-Hadeeth atau Sunnah Rasul
3. Al-Ijmak
4. Al-Qiyas
 


Mengapa Mazhab Imam Mujtahid ada empat sahaja


Hakikatnya seorang Imam Mujtahid berperanan sebagai pengganti Nabi, Khalifah Nabi dalam hal memberikan hukum-hakam sesuatu persoalan. Beliau menggantikan Nabi dalam membina hukum-hukum syariat Islam yang mana fatwanya itu dapat menyelamatkan manusia dunia dan akhirat.

Seperti yang disebutkan tadi, pada zaman para sahabat tidak ada yang berani muncul menjadi Mujtahid kecuali hanya kira-kira 130 orang, sedang yang lain hanya menjadi Perawi dan Muballigh, menyampaikan Hadeeth serta hukum-hukum ijtihad orang lain, tidak berani berijtihad sendiri. Pada zaman tabiin dan tabit tabiin pun, iaitu zaman yang penuh dengan ilmu pengetahuan agama, tidak banyak orang yang sampai ke derajat Imam Mujtahid, paling banyak hanya 10 orang.

Barangkali tidak ada orang yang tidak kagum dengan ilmu Imam Ghazali atau Imam Bukhari, ahli Hadeeth yang terkenal, atau Imam Nawawi, tetapi Imam-Imam ini sekalipun belum berani menyatakan mereka telah sampai ke darjat Mutjahid Mutlak. 

Imam-Imam ini berkata bahawa mereka taklid kepada Mazhab Imam Syafiee Rhl.

Banyak ulamak-ulamak dari abad-abad kemudian yang tinggi-tinggi ilmunya dan dapat menghafal beribu-ribu Hadeeth dan Al-Quran tetapi hampir tidak ada yang mahu menjadi Imam Mujtahid yang berfatwa menurut ijtihad sendiri. 

Mereka lebih aman menjadi orang yang bertaklid dibanding menjadi Imam Mujtahid kerana menjadi Imam Mujtahid besar sekali bahayanya, bisa menyesatkan umat dan akhirnya bisa merosak agama.

Bagaimanapun di kalangan ulamak-ulamak yang mencuba menjadi Imam Mujtahid dan mewujudkan mazhab-mazhab Feqah mereka sendiri disepanjang perjalanan sejarah umat Islam, umpamanya Mazhab Imam Daud Zhahiri, Mazhab Ibnu Hazam, Mazhab Auzai, Mazhab Al Laeits dan sebagainya, mereka kurang bernasib baik. 

Ini berikutan mazhab-mazhab mereka tidak dapat bertahan lama, dan akhirnya hilang sendiri diterbangkan angin zaman. Kemungkinan hal ini berlaku kerana sendi-sendi ijtihadnya tidak kuat.

Ditakdirkan Allah SWT yang tetap berkembang pesat dan memenuhi dunia Islam sehingga hari ini hanyalah Empat Mazhab yang dipeloporkan oleh empat IMAM MUTJAHID MUTLAK (Mutjahid Penuh) seperti berikut, iaitu :

1. Mazhab Hanafi, iaitu fatwa-fatwa Imam Abu Hanifah an Nu’man bin Tsabit, (lahir 81H, wafat 150H) dan para pengikutnya.

Mazhab ini mulanya tumbuh di Iraq (Kufah), kemudian tersiar luas di Syria, Afghanistan, India, Turki, Khurasan, Mesir, Algeria, Tunisia, Tripoli, Kaukasus, Balkan, Brazil dan lain-lain.

2. Mazhab Maliki, iaitu fatwa-fatwa Imam Maliki bin Anas (lahir 83H, wafat 179H) dan para pengikutnya.

Mazhab ini mulanya tumbuh di Madinah, kemudian tersiar luas di Hijaz, Maghribi, Sepanyol, Sudan dan lain-lain.

3. Mazhab Syafiee, iaitu fatwa-fatwa Imam Muhammad bin Idris (lahir 150H, wafat 204H) dan para pengikutnya.

Mazhab ini mulanya tumbuh di Iraq dan Mesir, kemudian tersiar luas di Iraq, Mesir, Khurasan, Afghanistan, India, Indonesia, Tanah Melayu, Thailand, Hijaz, Hadhramaut, Yaman, Oman, Sudan, Somali, Syria, Palestin, Filipina dan lain-lain.

4. Mazhab Hanbali, iaitu fatwa-fawa Imam Ahmad bin Hanbal (lahir 162H, wafat 241H) dan para pengikutnya.

Mazhab ini mula tumbuh di Iraq dan kemudian tersiar luas dan akhirnya penganutnya yang ramai adalah di Najd, negeri Ibnu Saud yang memerintah Saudia Arabia sekarang.

Ulamak-ulamak besar seperti Imam Rafi’i, Imam Ghazali, Imam Ibnu Daqiqili’id, Imam Abu Ishak Sirazi dan sebagainya berselisih pendapat tentang ada ataupun tidak kewujudan Imam Mujtahid Mutlak pada zaman-zaman mereka (iaitu selepas zaman Imam Mutjahid Empat).

 Namun mereka tetap bersepakat bahawa syarat untuk menjadi Mujtahid Mutlak adalah sangat berat, sulit dan ketat sehingga ada yang mengatakan tidak sanggup orang memikul tanggungjawab tersebut ketika itu, apatah lagi di zaman sekarang.

Kepentingan Bertaklid kepada Mazhab Imam Mujtahid


TAKLID dalam syariat Islam ertinya mengikut. Bertaklid kepada Mazhab Imam Mujtahid bererti mengikut fatwa-fatwa agama yang telah digali dan dikeluarkan oleh seorang Imam Mujtahid.

Kalau kita katakan: “Saya bertaklid kepada Mazhab Syafiee”, maka itu ertinya saya mengikuti ajaran Mazhab Syafiee. Kalau dikatakan: “Saya adalah penganut Mazhab Maliki”, bermakna saya mengikut atau bertaklid kepada Mazhab Imam Maliki dalam soal ibadat, begitulah seterusnya.

Manusia ini dalam kenyataannya terbahagi kepada tiga golongan, iaitu :

1. ‘ALIM BESAR, yang ilmunya sudah tinggi, iaitu sudah sampai kepada darjat Imam Mujtahid Mutlak (Imam Penuh), iaitu orang yang sanggup menggali (istinbath) hukum dari dalil-dalil.

2. BERILMU, tetapi ilmunya masih kurang, belum sampai ke darjat Imam Mujtahid. Dalam Islam golongan ini dikenali sebagai ulamak-ulamak, kiyai-kiyai, ustadz-ustadz, guru-guru, mu’alim-mu’alim dan sebagainya.

3. RAKYAT AWAM, iaitu kelompok terbanyak dalam masyarakat yang terdiri dari kaum petani, pedagang, saudagar, buruh, nelayan, tukang batu, tukang kayu, pegawai dan sebagainya. Golongan ini bersekolah juga, tetapi belum sampai ke darjat ulamak, apalagi ke darjat Imam Mujtahid.

Golongan yang pertama, iaitu Imam-Imam Mujtahid yang sudah sampai ilmunya ke darjat Mujtahid menurut ukuran yang umum dalam dunia Islam, maka ia BOLEH BERIJTIHAD dan bahkan wajib berijtihad jikalau dalam negeri itu hanya ia seorang yang serupa ilmunya. 

Ia tidak boleh mengikut Imam Mujtahid yang lain tetapi ijtihadnya itu tidak boleh membatalkan ijtihad Imam Mujtahid yang terdahulu daripadanya.

Golongan yang kedua, WAJIB BERTAKLID kepada salah seorang Imam Mujtahid yang disukainya, tetapi ia diharuskan atau dianjurkan agar menyelidiki dalil-dalil dan alasan-alasan dari fatwa Imamnya itu. Ini sekadar untuk mengetahui dan lebih meyakinkan kebenaran dari fatwa Imamnya itu. 

Ia boleh mengatakan bahawa ia penganut Mazhab Syafiee, Maliki atau Hanafi dan ia juga tahu bahawa fatwa Imamnya itu berdalil Al-Quran dan Al-Hadeeth, berdasarkan Qiyas cara begitu dan begini dan sebagainya.

Golongan yang ketiga iaitu yang terbanyak dalam masyarakat, mereka WAJIB BERTAKLID kepada salah seorang Imam dalam agamanya, kerana mereka tidak akan sanggup menjalankan hukum agamanya dengan baik atau tidak sanggup beragama sama sekali.

Sanggupkah seorang petani berijtihad dengan menyelidiki dalil itu dan ini? Sanggupkah seorang pedagang yang langsung tidak tahu Bahasa Arab mengambil hukum-hakam dari Al-Quran dan Al-Hadeeth? 

Layakkah seorang wartawan akhbar yang tidak belajar kitab-kitab Hadeeth dan bab Asbabun-Nuzul mengeluarkan fatwa agama? Layakkah orang awam menggali hukum??

Jawabannya sudah tentu tidak mungkin dan tidak sanggup.

Maka bagi golongan yang ketiga ini, mereka tidak ada jalan lain selain bertaklid mengikut Imam-Imam atau ulamak-ulamak terdekat yang sudah menjadi murid-murid daripada Imam-Imam Mujtahid.

Firman Allah SWT yang maksudnya :

“ Maka tanyalah ahli ilmu, kalau kamu tidak tahu.”
(An-Nahl:43)

“ Dan orang-orang yang terdahulu, yang mula-mula, iaitu orang-orang Muhajirrin dan Ansar dan orang-orang yang mengikut mereka dengan baik. Allah redho kepada mereka dan mereka redho kepadaNya. Ia sediakan bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir beberapa sungai, kekal dalam syurga itu selama-lamanya.” (At-Taubah : 100)

Sabda Rasulullah SAW pula :

“ Sahabatku seperti bintang, siapa sahaja yang kamu ikuti maka kamu telah mendapat hidayah.” (HR Imam Baihaqi)

“Ulamak-ulamak itu mewarisi Nabi-Nabi .” (HR Abu Dawud)
Rasulullah SAW juga bersabda mengenai golongan tabiin dan tabit tabiin :

“Sebaik-baik umat ialah umat di kurun aku, kemudian umat dikurun selepas kurunku, kemudian umat dikurun selepas kurun itu.”

Dalil-dalil diatas adalah sebagai bukti nyata bahawa umat Islam yang tidak mujtahid adalah disuruh mengikuti para sahabat, para pengikut mereka yang ahli atau pakar dalam bidang agama serta ulama-ulamak yang berperanan sebagai pewaris Nabi.

Maka sebagai mengikut ajaran-ajaran Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam bentuk hukum-hakam Islam yang telah digali, dikumpulkan, disemak, diteliti, ditapis, disusun dengan kemas dan sistematik oleh Imam-Imam Mujtahid yang diakui oleh jumhur ulamak sebagai pakar dalam bidang mereka (selain taqwa yang kuat), INILAH YANG DINAMAKAN TAKLID.

Kalau ada orang mengatakan tidak boleh bertaklid atau haram hukumnya bertaklid, maka orang ini sebenarnya telah menyusahkan berjuta-juta umat Islam dan meletakkan dosa ke pundak mereka. 

Adakah orang-orang ini menuntut supaya semua umat Islam berusaha menjadikan diri mereka pakar sehingga layak menjadi Imam-Imam Mujtahid supaya bolehlah setiap orang menggali hukum dari nash Al-Quran dan Al-Hadeeth supaya mereka bebas melakukan ijtihad sendiri.? 

Cuba fikirkan, apakah semua orang mampu menjadi pakar bedah, ahli undang-undang, pakar geologi, pakar sains dan sebagainya? Dalam hal yang sama, apakah semua orang mampu menjadi Imam Mujtahid?

Jawapannya sudah tentu tidak.

Anjuran ini tidak sesuai dengan logik akal dan termasuk anjuran gila. Hakikatnya bagi mereka yang tidak pernah masuk sekolah agama, yang tidak pernah masuk sekolah tinggi agama, yang tidak belajar mendalami Ilmu Usul Feqah sudah tentulah anjuran yang paling logik ialah menyuruh mereka bertanya kepada guru-guru agama dalam hukum-hakam agama, lalu dipegang dan diamalkan. Kerana guru-guru agama ini telahpun mendalami susur galur dan kaedah-kaedah agama selama bertahun-tahun .

DENGAN JALAN DEMIKIAN MAKA ORANG AWAM SUDAH MENJALANKAN TUNTUTAN AGAMA DAN TERLEPAS DARI DOSA.

Tetapi ini bukanlah bermakna umat Islam dilarang sama sekali untuk menyelidiki dalil-dalil agama yang dikatakan oleh tok guru-tok guru kita. Kita boleh mendalami, membahas, malahan boleh meniru Imam Mujtahid. 

Tetapi dengan bersyarat, iaitu perlu ada kesanggupan zahir batin untuk mempelajari bidang ilmu agama sampai sedalam-dalamnya supaya jangan terdedah kepada risiko menjadi orang yang sesat dan menyesatkan. 

Kalau tidak sanggup memenuhi syarat ini, ikuti atau bertaklid sahajalah kepada ulamak-ulamak hakikat, cuma pastikan dan PASTIKAN IANYA ULAMAK-ULAMAK HAKIKAT!

Mencari Hukum Syarak pada sesuatu kejadian yang berlaku

Apabila berlakunya sesuatu kejadian baru dan kita perlu tahu apa hukumnya dari sudut syariat maka kita cari hukum masalah tersebut daripada kitab-kitab Feqah dalam bab yang difikirkan menasabah, adakah terdapat hukum bagi masalah ini. 

Jika tidak ada maka kita cari hukum masalah yang seakan-akan dan hampir kepada masalah yang berlaku atau kita cari dalam bab-bab lain atau kitab-kitab fatwa .

Perlu diingat dalam usaha mencari dan membandingkan hukum-hukum berkenaan dengan masalah yang baru itu, hendaklah kita melihat kitab-kitab khas yang membicarakan masalah-masalah ijmak supaya jangan kita melanggar ijmak kerana MELANGGAR IJMAK YAQINI ITU BERBAHAYA DAN KUFUR, sebagaimana kata Ibnu Hazm Azhzhaahiri dalam kitabnya ‘Maratibul Ijmak’. 

Beliau telah mengumpulkan masalah ijmak para sahabat RA anhum yang disusunnya menurut aturan Feqah dalam kitabnya yang telah dicetak di Mesir.

Di zaman Khilafah dan Raja-Raja Islam dahulu kala, orang awam dipermudahkan menjalankan tugas fardhu ‘Ain mereka dan terlindung daripada wujudnya perselisihan pendapat tentang hukum-hakam agama kerana telah sedia ada Qadhi, Mufti atau Majlis Fatwa yang mana antara tugas mereka adalah membuat ijtihad dalam perkara-perkara yang belum pernah terjadi sebelumnya. 

Maka apabila fatwa telah dikeluarkan oleh ulamak-ulamak ini atas titah Khalifah atau Sultan, rakyat tidak perlu bersusah payah atau berselisih pendapat kerana terus sahaja mentaatinya berdasarkan
Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Hai orang-orang yang beriman! Turutlah Allah dan turutlah Rasul dan ‘Ulil Amri’ (Khalifah atau Raja) diantara kamu.”
(An-Nisa :59)

Sedangkan perbuatan-perbuatan yang telah berkurun-kurun lamanya menjadi amalan umat Islam sudah sedia ada hukum-hakamnya dalam kitab-kitab Feqah dan kitab-kitab Fatwa karangan ulamak-ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah. 

Maka tidak perlulah berbalah mengenai masalah lafaz ‘usalli’, masalah ‘talkin’, ‘qunut’, tahlil, tarawikh, sambutan maulidur rasul dan masalah-masalah yang lain. 

Buang karan sahaja. Tiada faedah yang diperolehi dengan membahaskan perkara-perkara ini, apatah lagi ianya perkara sunat, siapa yang hendak buat, silakan, siapa tak hendak buat, tak payahlah buat tetapi jangan pula mengkritik orang yang hendak buat. Kerana kedudukan amalan-amalan ini serupa juga seperti sedeqah sunat dan solat sunat . 

Rujuk sahaja kitab-kitab muktabar yang sudah membincangkan hukum-hakam tentang perkara-perkara ini. Tetapi sekali lagi, PASTIKAN KITAB DITULIS OLEH ULAMAK-ULAMAK HAKIKAT.


#Melayu #Islam #Ulamak #Mahzab #Malaysia

0 Ulasan