Hukum Bermain TikTok
Assalamualaikum
Aplikasi _TikTok_ boleh dikategorikan sebagai hiburan. Persoalannya, adakah bermain _TikTok_ termasuk hiburan yang dibenarkan syarak?
Beberapa penetapan hukum dalam hiburan antaranya ialah:
☆ Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik kepada manusia kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
☆ Haram, sekiranya membawa keburukan kepada individu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak.
☆ Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat.
_(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/521-522)_
Merujuk kepada fungsi _TikTok_ mahupun sebarang persamaan aplikasi tersebut yang merakam pelbagai gaya tarian mengikut genre muzik, maka permainan video _TikTok_ hanya sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang faedah dan kategori hiburan yang dihukumkan makruh.
Hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir RA, daripada Nabi SAW:
لَيْسَ مِنَ اللَّهْوِ إِلاَّ ثَلاَثٌ : تَأْدِيبُ الرَّجُلِ فَرَسَهُ وَمُلاَعَبَتُهُ أَهْلَهُ وَرَمْيُهُ بِقَوْسِهِ وَنَبْلِهِ
Maksudnya: "Tidak termasuk perkara yang hiburan sia-sia melainkan tiga perkara: Seseorang yang melatih kudanya, bermesra dengan isterinya dan memanah dengan menggunakan busur anak panahnya." _[HR Abi Daud (2513)]_
Wallahu a'lam
Hukum Memuatnaik Video TikTok
Ada pelbagai jenis video dengan pelbagai genre yang dimuatnaik oleh warga netizen di TikTok. Ada lakonan, nyanyian, politik, filem, konsert dan banyak lagi.
Namun Tiktokers selalunya memuatnaik video TikTok terbahagi kepada dua jenis permainan iaitu video _(lip-sync)_ dan video tarian TikTok.
1. (Lip-sync)
Pengguna aplikasi TikTok boleh merakam _(lip-sync)_ iaitu pergerakan mulut serta menunjukkan aksi-aksi mimik muka mahupun menjelir lidah dan melibatkan sebahagian pergerakan anggota badan dengan iringan muzik yang dimainkan.
Gaya tersebut jelas menghilangkan akhlak sebagai seorang muslim sejati. Walaupun video TikTok yang dimuatnaik hanya melibatkan pergerakan mimik muka namun dikhuatiri video tersebut punca menaikkan syahwat bagi setiap mata yang memandang sekalipun pemain video TikTok wanita yang menutup aurat.
Hal tersebut dibimbangi dengan kadar sangkaan yang kuat _(ghalabah az-zhan)_ menimbulkan fitnah dan kemudaratan pada agama.
Maka ia diharamkan berdasarkan kaedah _sadd al-zarai’_ , iaitu mencegah perkara-perkara yang boleh membawa kepada yang haram. Hal ini bertepatan kaedah _fiqh_ berikut :
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya: "Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram."
Kata-kata Saidina Umar RA:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: "Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
2. Tarian TikTok
Realiti terkini, tarian _Tiktok Suling Sakti Sponge Bob_ sedang menjadi trend ikutan masyarakat rentetan video TikTok mudah tersebar luas di alam maya.
Tarian tersebut melibatkan pergerakan tangan, dada dan punggung yang berlatarbelakan muzik.
Bahkan, segelintir pemain TiKTok bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dalam merakam tarian dengan gaya yang memberahikan tanpa rasa malu.
Hal ini jelas telah menimbulkan fitnah dan syahwat bagi sesiapa yang memandang.
Ini bertentangan dengan syariat Islam yang sangat menitikberatkan batas-batas pergaulan dan penjagaan aurat sesama manusia dalam kehidupan seharian.
Nabi SAW bersabda :
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan lain.” _[HR Muslim (338)]_
Sehubungan itu, permainan video TikTok hanyalah sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang faedah.
Bahkan, trend gaya tarian Tiktok jelas menghilangkan nilai akhlak seorang muslim sejati selain mengundang mudarat kepada agama dan ancaman fitnah.
Rasulullah SAW bersabda:
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا
Maksudnya: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” _[HR al-Tirmizi (11)]_
Wallahu a'lam
#SebarkanDakwah
#TazkirahUntukDiriKu
#JomBersholawat
0 Ulasan