SALAH TELUR RUPANYA...
Telur sememangnya salah satu bahan ramuan yang paling popular digunakan dalam pelbagai jenis masakan di Malaysia, termasuklah menu pencuci mulut yang menjadi sebutan netizen sejak seminggu dua ini iaitu Puding Buih. Semalam, berita telah melaporkan bahawa penggunaan TELUR TAMAT TEMPOH adalah punca utama 99 orang menghadapi kes keracunan makanan puding buih tempoh hari.
Telur mempunyai selaput protein nipis yang wujud secara semulajadi yang dipanggil sebagai 'cuticle'. Selaput ini bertujuan melindungi kandungan dalam telur daripada dicemari oleh bakteria. Manakala kulit telur pula mempunyai liang-liang halus di seluruh permukaan bagi menahan kemasukan bakteria dan juga udara dari persekitaran.
Menurut satu kajian saintifik, tahap kualiti selaput perlidungan ini mempengaruhi tahap kesegaran telur tersebut. Di mana, telur lama atau telur tamat tempoh akan mempunyai selaput perlindungan yang nipis serta liang-liang halus di permukaan kulit yang semakin terbuka. Keadaan ini menyebabkan telur akan mudah dicemari oleh bakteria!
Jadi sebelum anda memasak menggunakan telur, jangan lupa untuk periksa terlebih dulu tahap kesegaran telur tersebut. Ada empat (4) cara mudah yang anda boleh amalkan untuk kenal pasti tahap kesegaran telur.
#1. RENDAM TELUR DALAM AIR
Ini adalah teknik yang paling popular iaitu dengan merendam telur dalam semangkuk air sejuk dan lihat sama ada telur tadi tenggelam atau terapung. Telur segar akan tenggelam di dasar manakala telur lama akan terapung di permukaan. Kenapa ini berlaku? Ini kerana semakin lama usia telur itu, semakin banyak udara yang memasuki telur melalui liang-liang halus tadi dan menyebabkan telur semakin mudah untuk terapung!
#2. LIHAT KEADAAN KUNING DAN PUTIH TELUR
Teknik ini memerlukan telur dipecahkan terlebih dahulu kerana kita akan melihat keadaan kuning dan putih telur secara visual. Telur segar akan mempunyai kuning telur yang masih kental, elok bentuk bulatnya. Manakala keadaan kuning telur lama pula agak meleper dan agak cair (bentuk bulat tidak elok), malah kadang-kala ada yang melekat pada kulit telur. Perhatikan juga keadaan putih telur, jika warnanya keruh dan keadaannya agak melekit serta tidak cair ianya masih segar. Manakala jika warnanya agak jernih dan keadaannya cair makan ianya sudah lama.
#3. HIDU AROMA TELUR
Telur yang sudah rosak akan mengeluarkan bau busuk átau orang dulu-dulu panggil ‘Telur Tembelang’. Kalau terpecah telur tembelang ni dalam rumah, mahu pengsan seisi keluarga anda dek tak tahan menahan bau busuknya.
#4. LIHAT TARIKH LUPUT TELUR
Kebanyakan telur yang dijual di pasaraya selalunya telah dibungkus dan ditandakan dengan tarikh luput sama ada pada kotak bungkusan atau permukaan kulit telur itu sendiri. Namun, jika anda membeli dari kedai runcit atau pasar borong mungkin telur tidak ada ditandakan dengan tarikh luput tapi anda boleh bertanya bilakah tarikh telur tersebut diterima oleh penjual tersebut. Sekurang-kurang tarikh itu dapat dijadikan rujukan kepada anda.
KESIMPULANNYA, jom kita ambil peduli tahap kesegaran telur sebelum memasak! Kita tidak memerlukan alat analisis yang mahal atau canggih untuk memeriksa tahap kesegaran telur tersebut, malah kita juga tidak perlu menjadi seorang doktor atau saintis untuk mengenal pasti sama ada telur tersebut masih segar ataupun sudah rosak. Semuanya boleh dilakukan sendiri dengan mengamalkan empat cara mudah tadi.
Ingat, keselamatan makanan adalah tanggungjawab kita bersama!
Kredit: Food Safety Malaysia
BAHAGIAN KESELEMATAN MAKANAN, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
0 Ulasan