Perhatikan semula beberapa Hadeeth mengenai Akhir Zaman seperti di bawah ini;
“Ketika menundukkan Qunstantaniyah, Al-Mahdi menancapkan benderanya untuk mengambil wuduk dan mengerjakan solat Subuh. Waktu itu di hadapan Al-Mahdi terbentang lautan luas. Dia lalu mencari jalan untuk melintasi laut tersebut. Akhirnya dia menemukan di sekitar itu juga. Dia lantas menancapkan benderanya. Kemudian ada suara yang menyeru:‘Wahai umat manusia, melintaslah, sesungguhnya Allah azza wa Jalla membelah laut ini sebagaimana Ia telah membelah untuk Bani Israel.’ Lantas mereka melintasinya sehingga sampai di hadapan kota Qunstantaniyah. Mereka lantas bertakbir dan seketika runtuhlah pertahanan Qunstantaniyah. Mereka bertakbir lagi, lantas runtuh lagi, dan bertakbir lagi lantas runtuh sekitar 12 pertahanan.
“Seluruh pertahanan Romawi dan bandar-bandarnya akan ditakluki oleh Al-Mahdi dengan mengumandangkan tahlil dan takbir.”
“Pasukan daripada Iraq (sesetengah riwayat mengatakan daripada Syam) keluar mencari seorang lelaki daripada Madinah, itulah Al-Mahdi. Kemudian Allah menyelamatkan Al-Mahdi daripada kejaran pasukan ini. Ketika mereka melintasi satu padang di Zulhulaifah, maka mereka ditelan bumi, sehingga yang diatas sampai Hari Kiamat.”
“Sesungguhnya ketika zahir Al-Mahdi, berserulah Malaikat dari atas kepalanya:‘Inilah Al-Mahdi, khalifah Allah , maka kamu ikutilah dia.’ Seluruh manusia tunduk dan patuh kepadanya dan merasakan kasih sayangnya. Sesungguhnya Al-Mahdi itu menguasai timur dan barat. Dan adapun yang berbai’ah kepadanya diantara Rukun dan Maqam, yang pertama sejumlah pasukan tentera Badar, kemudian Wali Abdal dari Syam mendatanginya, diikuti oleh Wali Nujabak dari Mesir dan golongan Asoib dari timur. Setelah itu Allah mengutus tentera dari Khurasan dengan panji-panji hitam kepadanya dan mereka menuju ke Syam. Dan Allah mengirimkan kepadanya 3000 malaikat dan ahli Ashabul Kahfi adalah antara pembantu-pembantunya.”
“ Allah menugaskan malaikat seramai 3000 untuk mengawal Al Mahdi, seraya memukul orang yang memusuhi dan menentang Al Mahdi .”
“ Al-Mahdi akan menguasai dunia sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Zulqarnain dan Nabi Sulaiman AS.”
“Al-Masih Dajjal tidak akan masuk ke kota Madinah kerana takut, pada hari itu Kota Madinah mempunyai tujuh pintu yang pada setiap pintu dijaga oleh dua Malaikat.”
“Mereka (golongan beriman di zaman Dajjal) akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Jadi zikir-zikir itu menggantikan makanan.”
“ Dan ketahuilah sesungguhnya tiga tahun sebelum kedatangan Dajjal bumi akan berada dalam keadaan kering kontang sama sekali. Semua manusia dilanda kelaparan yang dahsyat. Ditahun pertama Allah menitahkan agar hujan menahan sepertiga airnya. Pada tahun kedua Allah menitahkan agar hujan menahan dua pertiga airnya; bumi menahan dua pertiga tumbuh-tumbuhannya. Sedang pada tahun ketiga, Allah menitahkan agar hujan menahan semua airnya, sehingga tidak setitis pun air yang turun dari langit. Dan menitahkan bumi agar menahan semua yang ditumbuhkannya sehingga tidak ada sesuatu pun yang ditumbuhkannya, bahkan mana-mana tumbuhan yang tinggal semuanya menjadi kering dan binasa.”
Seorang lagi bertanya: “Lalu apakah manusia akan hidup saat itu?“ Baginda menjawab: “Mereka akan hidup menerusi Tahlil, Tahmid, Takbir dan Tasbih. Dan kesemua itu menjadi pengganti makanan mereka. “ (HR Ibnu Majah, Abu Dawud, Al-Hakim- Hadeeth Sahih dengan syarah Muslim)
“Dajjal diikuti oleh tujuh puluh ribu orang Asfahan daripada Asfahan yang semuanya memakai jubah hijau. Bila melihat Nabi Isa, maka luluh seperti luluhnya garam di dalam air. Dajjal melarikan diri. Nabi Isa kemudian berkata: ‘Saya pasti akan membantai kamu, dan kamu tidak akan dapat memukul diriku.’ Nabi Isa lalu menangkapnya di pintu Ludd, sebuah bandar dekat Baitul Maqdis bahagian timur. Lantas Nabi Isa AS membunuhnya. Berkenaan dengan itu Allah memporak perandakan orang Yahudi dan mereka dibunuh dengan sejadi-jadinya.”
“Dajjal akan keluar pada waktu agama sudah tidak dipedulikan dan ilmu (agama) sudah ditinggalkan orang…Kemudian turunlah Isa ibnu Maryam…..Maka si pembohong (Dajjal) melihat beliau dia meleleh seperti melelehnya garam dalam air lalu beliau menuju kepadanya dan membunuhnya hingga pohon-pohon dan batu-batu berkata : “Wahai Ruh Allah! Ini ada orang Yahudi! Maka tidak ada seorang yang mengikuti Dajjal melainkan dibunuhnya.” (HR Imam Ahmad)
“Dan keluarlah mereka (Yakjuj & Makjuj) kepada manusia dan meminum semua air dan orang-orang pun berlari darinya. Lalu mereka melepaskan anak panah mereka ke langit, kemudian anak-anak panah itu kembali kepada mereka dengan berlumuran darah. Lantas mereka berkata: ‘Kami telah mengalahkan penduduk bumi dan kami mengungguli kekuatan dan ketinggian orang-orang yang ada di langit.’ Lalu Allah menghantar ulat-ulat ke kuduk-kuduk mereka yang membinasakan mereka. Demi Allah yang diri Muhammad di tanganNya, bahawa binatang-binatang di bumi sesudah itu menjadi gemuk-gemuk, penuh lemak dan susu, dan mabuk kerana memakan daging mereka.”
Hadeeth-hadeeth diatas menjadi bukti nyata bahawa di Akhir Zaman nanti, pertolongan Allah SWT akan didatangkan dalam bentuk KARAMAH dan BARAKAH kepada para Auliya’Nya yang dikasihi. Namun hakikatnya, pertolongan sebegini bukan hanya muncul di Akhir Zaman nanti, tetapi telahpun berulangkali berlaku sepanjang sejarah perjalanan Agama Islam semenjak zaman Nabi-Nabi dahulukala.
Hakikat ini telahpun diakui oleh orang-orang Barat yang menyebabkan mereka mengalihkan strategi dengan melakukan perang saraf keatas umat Islam, iaitu dengan merapuhkan teras kekuatan dalaman melalui serangan Orientalis. Maka apabila umat Islam tidak dapat memelihara hatinya dari sifat-sifat tercela dan merosakkan perkara yang menyangkut unsur-unsur kerohanian mereka, ianya akan memudaratkan hubungannya dengan Allah SWT dan memutuskan nusrahNya atas mereka.
Apakah rahsianya pada zaman dahulu kala sehingga umat Islam dapat mengalahkan kuasa-kuasa besar dengan NUSRAH ALLAH yang didatangkan dalam bentuk Karamah dan Barakah itu?
Jawapan sudah tentu terletak pada Tasawuff / Tariqah.
Kerana bidang ini melahirkan golongan umat Islam yang bukan sahaja lengkap dan sempurna pada pegangan Tauhid dan Syariatnya, tetapi mereka juga mempunyai kekuatan dalaman yang utuh, iaitu sentiasa MENYUCIKAN HATI DARIPADA SELAIN ALLAH yang kuncinya adalah merendam hati dengan berzikir kepadaNya dan berpuncak pada peleburan keseluruhan jiwa dalam kebesaran Allah.
Menurut Syeikh Thaha Abdul Baqi Surur dalam bukunya ‘Pengembaraan ke Alam Ruhani’ :
“ Insan kamil akan memandang kehidupan duniawi sebagai kesempatan emas yang tidak boleh disia-siakan. Iaitu suatu kesempatan untuk mengabdi dan beramal soleh kerana Allah SWT. Mereka tebarkan semerbak keharuman dengan cinta kepada Maha Pencipta. Mereka adalah orang-orang yang menjadikan kehidupannya sebagai mimbar dan menara untuk mendapatkan rahmat Allah.
Keinginan menghantar manusia ke pintu langit adalah mimpi di siang hari tanpa iman dan tasawuff. Tasawufflah yang membisikkan ke dalam jiwa manusia bahawa segala sesuatu adalah dari, dan untuk Allah, label kehidupan kita adalah rahmat Allah, tujuannya ibadah , manakala asas penyokongnya adalah cinta, yakni cinta kepada kebesaran Allah, cinta seluruh Nabi dan manusia biasa, cinta segala jenis kebaikan, penyokong kebaikan dengan harta, tenaga mahupun fikiran serta membuang segala jenis penyakit jiwa.
Tasawuff adalah bentuk atau jelmaan perilaku Islam, menjadi saripati keharuman dan tatakrama (adat sopan santun) yang bersifat Islam, merupakan inti ‘Nur Muhammad’. Ia adalah rangkuman kemuliaan hati yang sangat berharga, bahkan pemangkin semua ilmu pengetahuan .”
Kekuatan batiniyyah, jiwa dan kerohanian yang dihasilkan melalui jalan Tasawuff merupakan kunci yang dapat menghapuskan penyakit Al-Wahn (iaitu cinta dunia dan takut mati) mematahkan keinginan materialisme, menghentikan gelombang kekufuran dan fahaman-fahaman sesat. Tasawuff dan Tariqah juga merupakan santapan jiwa yang amat mendalam kesannya sebagai suatu perisai dalaman yang sakti dan pendorong untuk sedia berani berkorban demi agama. Maka kekuatan Tasawuff/Tariqah yang unik tetapi penting inilah yang telah berhasil menyumbangkan saham yang tidak sedikit dalam sejarah perluasan dan pembelaan Islam.
Dengan membawa hikmah, akhlak yang mulia dan berlemah lembut, kaum sufi telah berjaya menempatkan iman di hati sanubari bangsa-bangsa yang selama ini masih belum tersentuh oleh Islam. Antara lainnya mereka telah berjaya menembus jantung Afrika, dataran Asia dan Alam Nusantara. Di tempat-tempat yang telah mendapat Islam, mereka berani menghadapi khalifah-khalifah, raja-raja dan pegawai-pegawai kerajaan demi menegakkan keadilan dan kebenaran Agama Allah supaya umat Islam dapat mengecapi kebahagian, kesentosaan dan kesejahteraan hidup dalam pancaran Nur Islam yang sempurna.
Contohnya Khan Ghazan seorang ahli sufi daripada Tariqah An-Naqsyabandi telah berjaya mengislamkan kerajaan Monggol yang sebelum itu telah menjarah Baghdad dan membunuh beribu-ribu umat Islam dengan kejamnya. Malik bin Dinar juga seorang ahli sufi yang terkenal telah berjasa dalam mengembangkan Islam di Malabar, Gujerat di India, Maldive dan kepulauan-kepulauan yang berdekatan dengan bantuan murid-muridnya. Yusuf Din As-Sindi pula berjasa dalam mengislamkan negeri Multan dan Kashmir. Pemimpin-pemimpin Tariqah Al-Qadiriyyah, As-Syaziliyyah dan lain-lain pula membantu dalam perkembangan Islam di barat, tengah dan selatan Afrika.
Wali Songo yang terkenal dengan bil hikmah wal karamah menjadi tokoh-tokoh pengembang Agama Islam di Alam Nusantara khususnya di kepulauan Indonesia lama. Sayyid Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Maulana Sadar Jahan adalah antara ulamak sufi yang bukan sahaja mengIslamkan Raja Melaka, malahan membantu baginda dalam mengenalkan Islam di Alam Melayu. Malahan banyak lagi contoh lain yang dapat membuktikan sumbangan besar yang ditaburkan oleh ahli-ahli sufi dalam sejarah perkembangan Islam di dunia ini.
Sesetengah penentang Tasawuff pula berpendapat bahawa bagaimana mungkin memegang panji-panji jihad di mukabumi ini jikalau asyik tenggelam dengan berzikir dan beribadah? Sedangkan sejarah Islam jugalah yang mampu membuktikan bahawa tokoh-tokoh sufilah yang sering tampil ke saf paling hadapan dalam perjuangan membela kebenaran Islam.
Khalifah-khalifah di zaman keagungan empayar Othmaniyyah terkenal sebagai Ruhbanun Fillail wa fursanun binnahar, iaitu “beribadat kepada Allah umpama rahib di malam hari dan siangnya berjuang laksana singa”, di Dagestan, Syeikh Syamil An Naqsyabandi dengan Masyaikh yang lain telah menentang kemasukan Russia pada tahun 1813M. Di India, Syeikh Ahmad Syahid, Liyakat Ali dan Syeikh Mahmud Deobandi adalah antara Masyaikh yang telah memainkan peranan menentang Inggeris di India. Syeikh Umar Mukhtar yang merupakan Syeikh Tariqah Sanusiyyah memerangi penjajahan Itali di Libya.
Di Alam Nusantara sendiri sarat dengan kisah-kisah perjuangan jihad fisabilillah yang diketuai oleh Masyaikh dan ulamak-ulamak Tariqah demi menentang penjajahan dan usaha kristianisasi Barat. Contohnya dalam Kesultanan Banten, pengaruh Tariqah Khalwatiyyah yang diketuai oleh Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati telah menggerakkan perang sabil orang-orang Islam menentang Belanda dari tahun 1680-1683M . Dalam Kesultanan Palembang, dibawah pimpinan Sultan Mahmud Badruddin yang mengikuti Tariqah Samaniyyah telah menjadi pendokong utama menentang serangan penjajah Belanda dalam tahun 1811-1822M Di Minangkabau, pengikut Tariqah Naqsyabandiyyah dan Syathariyyah telah membuat perjuangan menentang penjajahan Belanda. Sunan Gunung Jati, salah seorang ahli Wali Songo pula terkenal dengan jihad melawan tentera Portugis di Pasai. Raja Haji Fisabilillah, Haji Abdul Karim, Teuku Chik di Tiro, Tokku Paloh dan ramai lagi adalah pengikut-pengikut Tariqah yang tercatat dalam sejarah Nusantara sebagai para pejuang agama yang terunggul dalam menentang penjajahan kuffar Barat.
Sejarah menunjukkan bahawa penjajah-penjajah Barat amat gerun dengan keberanian serta semangat sakti yang dipamirkan oleh orang-orang Tariqah. Merekalah yang sering menjadi kubu utama bagi masyarakat Islam menahan dari sebarang bentuk cabaran yang cuba mematahkan kekuatan Islam. Tariqah menjadi satu saluran berkesan untuk menggerakkan perjuangan agama kerana para pengikutnya mempunyai hubungan hablumminallah yang mendalam serta hablumminannas yang baik, penuh hikmah dan berkasih sayang, mempunyai sifat taqwa dan tawadhuk yang tinggi, tulus dan tidak mudah dijual-beli . Selain itu ahli-ahli Tariqah selalunya mempunyai semangat perkumpulan yang cukup kental yang dibina atas asas semangat persaudaraan agama serta ikatan istimewa diantara guru (Masyaikh) dan murid.
Apatah lagi jikalau ianya mendapat pengikut dan pendokong yang kuat daripada pihak Khalifah atau Raja sepertimana yang kerap berlaku pada zaman dahulukala. Sesungguhnya gabungan tenaga diantara UMARAK dan ULAMAK, khususnya ULAMAK TARIQAT merupakan kekuatan yang penting dalam khidmat Agama Islam, khususnya yang berkaitan dengan dakwah dan jihad fisabilillah.
Maka perjuangan agama yang berlandaskan IMAN, ISLAM DAN IHSAN yang hakikat inilah yang mampu menghasilkan keikhlasan, kesungguhan, kegigihan, semangat dan daya juang yang tinggi. Dan apabila perjalanan umat Islam sudah betul, lengkap dan sempurna zahir-batin, maka tidak ada keraguan lagi bahawa akan lahirlah para Aulia’ Allah yang zahir dan yang tersembunyi, dan di sinilah Allah SWT akan menghantarkan NusrahNya dalam bentuk KARAMAH dan BARAKAH itu.
Sesungguhnya kehadiran Waliyullah di suatu tempat atau dalam suatu kelompok sangat perlu dan penting. Kehadiran mereka tidak perlu ramai, walau seorang dua sudah cukup untuk menjemput bantuan Allah SWT dalam bentuk Karamah dan Barakah. Bantuan Allah ini bukan sahaja mampu meringankan beban umat Islam dalam segala rintangan yang terpaksa dihadapi seperti kekurangan bekalan makanan, masalah pengangkutan, kedaifan alat peperangan, bilangan tentera yang kecil dan sebagainya, malahan banyak kali pula mereka dapat mengalahkan pihak musuh dengan apa jua kecanggihan teknologi dan ketinggian tamaddun mereka.
Allah SWT berFirman yang maksudnya :
“ Jika penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.” (Al-A’raf :96)
“ Maka kelak Allah mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, yang bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.” (Al-Maidah:54)
Demikian juga Firman Allah dalam Hadeeth Qudsi:
“Sesiapa yang menyakiti WaliKu, Aku isytiharkan kepadanya PEPERANGAN.”
Dalam Hadeeth Qudsi yang lain Allah berFirman;
“ Apabila seseorang hamba mendekatiKu dengan sesuatu amalan fardhu yang lebih Aku sukai yang Aku telah fardhukan ke atasnya dan sentiasa hambaKu mendekatiKu dengan mengerjakan sunnah-sunnah sehingga Aku mencintainya. Maka apabila aku mencintainya, adalah Aku menjadi pendengarannya yang dia dengar, penglihatannya yang ia lihat dan tangannya yang dia tamparkan dan kakinya yang dia berjalan . Dan demi itu jika ia meminta kepadaKu, nescaya Aku berikan kepadanya.” (HR Bukhari)
Sabda Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya diantara hamba-hamba Allah terdapat manusia-manusia yang bukan Nabi, juga bukan syuhada, tetapi Nabi-Nabi dan syuhada-syuhada sendiri menginginkan keadaan seperti mereka. ‘Seorang lelaki bertanya : ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’
Rasulullah SAW menjawab ; “Iaitu kaum yang saling cinta dengan roh Allah azza wajalla. Diantara mereka tidak ada hubungan keluarga dan tidak pula saling memberi harta. Demi Allah! Wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka diatas pentas cahaya. Mereka tidak takut tatkala manusia lainnya merasa takut, dan tidak merasa resah ketika manusia lainnya resah.”
Kita tidak seharusnya menolak hakikat kewujudan bantuan Allah dalam bentuk karamah dan barakah ini, kerana itulah sebenarnya senjata ampuh bagi umat Islam melawan segala kuasa luarbiasa yang mempesona dan memperdayakan seperti sihir di zaman Firaun, teknologi di zaman ini, dan istidraj di zaman Dajjal kelak, yang berupaya melekangkan umat Islam daripada keyakinan penuh pada kekuasaan Allah SWT.
Sesungguhnya perjuangan para Nabi dan Rasul, para sahabat, pejuang-pejuang agama dari dahulu hingga ke hari ini mahupun di zaman-zaman yang akan datang baik dalam bentuk penyebaran Agama Islam, mahupun dalam konteks mempertahankan kedaulatannya, tidak dapat lari daripada pertolongan Allah SWT yang dizahirkan melalui kisah-kisah luarbiasa dan karamah kepada wali-waliNya yang ada dimana-mana, yang diketahui mahupun yang dirahsiakan. Apakah lebih atau istimewanya kita daripada umat-umat terdahulu mahupun dizaman akan datang sehinggakan formula dan metod kejayaan kita menguasai musuh-musuh agama perlu berbeza daripada mereka itu ??
Pada hari ini pun kisah-kisah Karamah, Barakah dan Nusrah Allah masih berlaku kepada pejuang-pejuang agama di seluruh dunia seperti di Maluku, Mindanao, Chechnya, Afghanistan, Palestine, Iraq, Kashmiri dan banyak lagi. Bagaimanapun media-media yang dimonopoli olah kaum Yahudi Zionis sudah tentu menyembunyikan kisah-kisah pertolongan Allah ini. Cuma Nusrah Allah belum lagi bersifat menyeluruh kerana masih ramai lagi umat Islam yang perlu dikejutkan dari igauan mereka yang panjang, untuk kembali berpegang kepada Agama Islam yang kamil, zahir dan batin sepertimana yang terkandung dalam firqah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.
0 Ulasan