JANGAN JUAL TANAH KALIAN! – PRIBUMI, INI AMARAN KERAS!
Duduk, tarik nafas, dan baca dengan hati yang terbuka. Aku tak menulis untuk suka-suka. Aku menulis sebab aku sayang bangsa aku, aku sayang tanah air ini, dan aku tak mahu lihat generasi kita merempat di tanah sendiri.
TANAH BUKAN SEKADAR ASET – IA KUASA!
Kita sering dengar orang kata tanah itu aset, pelaburan masa depan. Ya, itu betul. Tapi lebih dari itu, tanah adalah kuasa.
Siapa yang pegang tanah, dialah yang menentukan masa depan sesuatu bangsa. Kau nak tengok apa jadi kalau kita terus jual tanah sedikit demi sedikit? Tengok Palestin!
Dulu, orang Palestin ada tanah yang luas. Perlahan-lahan, mereka menjual sedikit kepada orang luar. Kemudian, sistem kapitalis mula masuk.
Harga tanah naik, rakyat terdesak, dan akhirnya, mereka kehilangan segalanya. Sekarang? Mereka jadi pelarian di tanah sendiri! Kau mahu nasib yang sama untuk bangsa kita?
BELI RUMAH BERTINGKAT ITU PERANGKAP!
Orang kaya beli tanah, orang miskin beli rumah atas angin. Kau rasa itu satu kemajuan?
Sebenarnya, itu strategi untuk mengurung kita dalam kotak batu yang mereka panggil ‘apartmen moden’.
Bila kau duduk di rumah bertingkat, kau tak ada tanah untuk bercucuk tanam, kau tak ada kuasa untuk menentukan persekitaran kau.
Semua dikawal pihak lain—dari bayaran penyelenggaraan sampailah peraturan tak masuk akal. Hakikatnya, kau hanya menyewa sepanjang hayat dalam sistem mereka!
Jika beli RUMAH LANDED pun sama..
Cuba fikir logik ni: rumah paling besar pun 30x80 kaki persegi – itu pun kalau kau mampu beli rumah landed. Kalau rumah bertingkat?
Lagi kecil! Tapi kau sanggup jual tanah berekar-ekar hanya untuk dapatkan sekangkang kera ruang bertutup?
Kau rasa berbaloi ke?
Lihat realiti – kau korbankan ekar tanah yang boleh jadi sumber makanan, tempat berlindung, ruang perniagaan sendiri, atau legasi untuk anak cucu… hanya untuk duduk dalam kotak batu yang semakin hari semakin susut nilai kuasanya.
Lebih malang, rumah yang kau beli tu pun bukan betul-betul hak milik kau! Ada loan bank, ada cukai tanah, ada penyelenggaraan. Bila kau tak mampu bayar, rumah boleh dilelong.
Tanah yang kau jual? Dah masuk poket kapitalis. Sekali lepas, takkan kembali!
Jangan jadi generasi yang menyesal di hari tua. Simpan tanahmu, pertahankan hakmu, dan fikirkan masa depan anak cucu.
JUAL TANAH UNTUK BELI KERETA? MEMBUNUH DIRI SENDIRI!
Ini paling bodoh. Jual tanah hanya untuk beli kereta yang susut nilai setiap hari?
Kereta hanya besi bergerak yang makan duit kau dengan petrol, tol, insurans, dan cukai jalan. Bila kau jual tanah, kau jual masa depan anak cucu kau. Kau gadaikan sesuatu yang boleh diwarisi dengan sesuatu yang hanya bertahan beberapa tahun. Jangan jadi hamba kapitalis!
BUKA BISNES? TAPI DI BAWAH SISTEM MEREKA!
Ada yang kata, “Aku jual tanah untuk buka perniagaan.” Ya, tapi perniagaan apa? Kalau kau buka bisnes dalam sistem kapitalis yang mereka kawal, kau masih jadi hamba mereka.
Sewa kedai tinggi, kos operasi melambung, untung sikit, tapi akhirnya kau tetap bergantung pada sistem mereka. Berapa ramai Melayu dah gulung tikar sebab tak mampu lawan kapitalis besar?
JADI, APA SOLUSI?
- Jangan jual tanah, sebaliknya usahakan! Kalau tak mampu bercucuk tanam, sewakan kepada orang yang mahu bercucuk tanam. Kalau tanah kosong, buat homestay atau bina sesuatu yang menjana pendapatan.
- Beli tanah, bukan rumah bertingkat! Kalau ada rezeki lebih, beli tanah. Walaupun sekangkang kera, sekurang-kurangnya kau masih ada tapak di dunia ini.
- Sokong ekonomi sesama pribumi! Kalau kau nak berniaga, buat sesuatu yang menyokong komuniti kita sendiri, bukan yang memperkayakan kapitalis besar.
- Fikirkan anak cucu! Jangan jadi generasi yang dipandang hina oleh keturunan sendiri kerana menjual warisan nenek moyang.
PRIBUMI, BANGKITLAH!
Jangan jadi bodoh ditipu dengan ‘kemajuan’ palsu. Jangan biarkan generasi kita menjadi pelarian di tanah sendiri. Kita tak mahu jadi Palestin kedua!
Simpan tanahmu. Pertahankan hakmu. Bangunkan bangsamu. Jika tidak, bersedialah untuk melihat anak cucumu menangis di hadapan tanah yang dulunya milik mereka, tetapi kini dikuasai orang lain!
1 Ulasan