Golongan Yang Keliru
Jika direnungkan kembali ketika umur aku sudah meningkat ke 18 tahun, aku bebas dan tiada aktiviti atau rutin khusus untuk aku lakukan setiap hari.
Kerja pun banyak main-main. Banyak enjoy dan lepak dengan kawankawan Kepong aku.
Jiwa dan otak aku pun tiada banyak masalah duniawi. Fikiran aku suka melayang-layang berfikir tentang pelbagai perkara terutamanya bila bersendirian dan yang paling berat untuk aku fikirkan ialah mengenai perkara Ketuhanan dan asal usul diri aku.
Oleh kerana itu, dalam jangkamasa tersebut aku sering berjumpa dan selalu bersoal siasat (kononnya kajian peribadi) dengan pelbagai jenis manusia yang suka berkomunikasi dalam pelbagai gaya dalam mempromosikan isu dan perihal-perihal yang menyentuh perkara yang sensitif iaitu Agama dan Ketuhanan.
Mereka bertebaran dan menyelusup di setiap pelusuk akar umbi rakyat dalam pelbagai bentuk dan pelbagai saluran demi menyebarkan kepercayaan mereka dalam menagih sokongan manusia.
Mereka tidak mahu ketinggalan, mereka tidak mahu menjadi minoriti, mereka mencari jalan untuk menjadi majoriti dan mereka sabar dengan visi dan misi mereka yang jelas.
Dalam buku ini aku nak rumuskan antara pengalaman aku bertemu dengan pelbagai jenis golongan manusia yang merasa mereka BENAR tetapi pada jalan yang berbeza dari Ahli Sunnah Wal jamaah (ASWJ).
Berikut antara golongan manusia yang ingin aku kongsikan dengan kalian:
1. Golongan Ahli Ilmu persilatan
Aku dah join dengan mereka dari darjah 6 lagi. Berhenti sekejap kerana tukar sekolah dan kemudian sambung semula di tingkatan 4 sehinggalah aku berkahwin, masih terus bersilaturahim dengan mereka sehingga kini.
Aku agak serius dalam mendalami dunia persilatan ini. Aku pernah mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai pesilat olahraga mereka pada tahun 1992 di SUKMA Johor bertempat di UTM Skudai.
Aku pernah digelar sebagai “Robocop” hanya kerana gaya aku membuka langkah dan bunga silat yang keras ala watak filem Hollywood tersebut.
Aku suka berada di gelanggang tempur silat kerana dapat merasai debaran dan sorakan yang ada disekeliling aku.
Tapi aku ada kelemahan. Kelemahan aku ialah aku cepat ‘pancit’! Maklumlah, aku ni seorang perokok.. mungkin terlebih “oksigen” dalam paru-paru aku...
Aku juga pernah menjadi pesilat iringan kepada artis Sifu M.Nasir pada tahun 1994 dalam Konsert Canggung Mendonan sebagai watak utama.
Bersilat dengan M.Nasir di atas pentas belakang skrin besar pentas utama adalah sesuatu yang besar bagi aku ketika itu. Ia satu pengalaman yang menarik, termasuk ketika aku mengajar langkah-langkah silat kepada Sifu M.Nasir. Aku tak boleh lupa momen ini.
Sebagai seorang yang memerlukan tenaga dan fokus bila bersukan, aku haruslah mempunyai stamina sebagai seorang atlet, tapi masalahnya ialah aku memang seorang yang kuat hisap rokok.
Maknanya memang aku tidak boleh pergi jauh dan sukar untuk meletakkan bidang sukan ini sebagai satu kerjaya.
Aku sebenarnya keliru berada dalam kelompok ahli-ahli persilatan. Ini adalah kerana sentimen adat budaya bangsa Melayu dan fakta agama bercampur baur di atas sempadan yang agak kabur.
Jampi serapah yang berbentuk Islamik dengan gabungan mentera Melayu pada mulanya nampak normal namun bila diamati dan di kaji sebenarnya ada unsur-unsur syirik yang agak jelas di situ.
Dalam masa yang sama, aku bersetuju dengan beberapa pendapat antaranya pendapat Allahyarham Dato’ Bahaman bahawa ilmu batin ini harus digunapakai oleh orang Melayu, seperti mana Nabi Sulaiman saw dan beberapa bangsa besar sebelum kita, dengan syarat TIADA PERJANJIAN dengan pihak bangsa halus dan mereka harus menjadi hamba kepada manusia.
Aku juga bersetuju dengan pendapat mengatakan bahawa bangsa ghaib/halus ini amat licik dan bijak dalam meneliti kelemahan bangsa manusia dengan sabar dan perlahan-lahan, manusia akan tertipu dengan mudah tanpa sedar. Cara mereka halus, mereka melihat dan mempelajari kita setiap saat.
Sebaliknya, jauh sekali bagi manusia untuk melakukan sebegitu kepada bangsa mereka, manusia itu jelas zahirnya tiada keupayaan yang istimewa untuk mempelajari bangsa ghaib seperti mereka.
Dan apabila manusia itu sedar bahawa mereka sudah melakukan kesalahan, usaha untuk membaik pulih atau memutihkan kekotoran yang telah berlaku adalah sesuatu yang amat sukar. Itu yang aku lalui, benci sangat bila merasai diri ini KOTOR.
Adakah kotor ini telah hilang? Bagaimana dosa ini akan terhapus selamanya? Mengapa bodoh sangat aku melakukannya? Dan banyak lagi persoalan yang menghantui aku bila aku melalui DOSA. Mereka jelas adalah MUSUH kita!
2. Golongan Bomoh dan Pengamal Ilmu batin
Pengalaman ini amat mahal bagi aku. ia unik dan menarik. Dengan izin Tuhan aku mendapat peluang menjadi pembantu kepada seorang perawat Melayu yang sering kita panggil sebagai BOMOH.
Bomoh ini adalah saudara kepada kawan aku. Beliau bukan sebarang bomoh. Beliau selalu bertugas dengan pihak berkuasa tempatan di beberapa buah negeri dan kadang-kadang melibatkan negara jiran kita dalam menyelesaikan beberapa kes yang sulit.
Aku difahamkan bomoh ini akan selalu menghilangkan diri dari sanak saudara dan sahabat taulan selama beberapa bulan untuk bertapa di lokasi-lokasi yang ekstrem seperti di hutan, bukit bukau dan gunung-ganang.
Kelebihan yang amat mengkagumkan aku ialah kemampuan bomoh ini menaik sesuatu dari bawah tanah keluar ke permukaan bumi tanpa menyentuh apa-apa pun di sekeliling beliau. Hanya pembantu beliau seperti aku yang membantu bomoh ini menguruskan segala ritual dan peralatan di sesebuah lokasi yang telah dibaca mempunyai sesuatu yang telah di tanam untuk dinaikkan ‘ia’ ke atas permukaan tanah.
Selalunya sesuatu yang ditanam adalah bersifat jahat dan kotor. Perlindungan zahir dan batin haruslah ada untuk aku sebagai pembantu bomoh tersebut. Kalau tidak boleh terkena perkara yang buruk tanpa sedar.
Perkara ini menarik kerana ada sedikit unsur Islam yang dapat aku perhatikan dalam ritual bomoh tersebut dan selebihnya adalah ritual bersifat adat Melayu. Namun masih ada serba sedikit perkara yang jelas keliru dan kabur dimana hukum hakamnya terutamanya apabila melibatkan ritual MENURUN.
Memanggil roh atau semangat seseorang dengan sesuatu nama adalah nampak menarik dan ajaib tetapi ia mengelirukan.
Dan akhirnya aku bersetuju dengan pandangan para majoriti ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengambil ia sebagai rujukan utama bahawa semua ritual bomoh ada sedikit sebanyak berunsurkan syirik ndan syirik itu adalah sesuatu yang jelas sesat dan menyimpang daripada Islam..
Jadinya aku megambil keputusan untuk tidak akan terlibat lagi dengan aktiviti-aktiviti sebegini sehingga sekarang.
3. Golongan Ahli Al-Arqam
Pada zaman aku remaja, aku selalu jumpa mereka di kedai-kedai makan dengan rupa dan gaya mereka tersendiri. Bagi aku mereka yang mempopularkan pakaian berjubah, bercelak di mata, berserban dan berselipar capal.
Mereka pandai mendekati orang ramai dengan menggunakan tiket berniaga, mereka suka tersenyum dan mudah di bawa bersembang.
Aku banyak kali ‘terkena’ dengan beberapa situasi berjumpa dengan mereka.Mereka tidak suka bertengkar, malah tidak gemar berdebat.
Mereka senyum dan lembut dalam menyebarkan dakwah mereka. Selalunya aku pulak yang naik angin bila lepak dengan mereka...
Pada asasnya mereka adalah sebuah Tarekat dan apabila ia diuruskan secara total oleh Pengasas mereka iaitu Tuan Guru Ashaari Muhammad, pertubuhan ini telah terbentuk menjadi lebih aktif dan agresif dengan agak jelas.
Al-Arqam membawa impak yang besar merujuk kepada pengaruhnya sehingga mampu menggugat kedudukan pemerintah.
Mereka mendapatkan dana daripada hasil perniagaan mereka sendiri.
Bidang ekonomi mereka sangat pesat. Sehingga mereka mampu membina kumpulan ekonomi di luar negara atas nama sebuah syarikat.
Fenomena Al Arqam sangat kuat di seluruh negara sehingga mereka mampu membina kekuatan ekonomi mereka masing-masing tanpa mengharapkan pihak kerajaan dan pihak luar. Boleh dikatakan mereka dianggap sebagai sebuah pertubuhan gerakan Islam yang paling kaya.
Aku kagum dengan gerakan Al Arqam kerana gerakan ini berjaya membangkitkan ekonomi umat Islam yang digerakkan oleh mereka sendiri.
Mereka sangat yakin umat Islam mampu mewujudkan hospital sendiri, produk makanan sendiri, bengkel motor sendiri tanpa perlu berharap dengan orang bukan Islam.
Mereka juga mempopularkan imej berserban, berjubah, janggut, celak, dan purdah.
Penampilan mengikut sunnah dibawakan Al Arqam ibarat fenomena yang baru mendiamkan fesyen Barat yang digilai masyarakat ketika itu.
Bermula dengan hanya 10 ahli pada 1968, keahlian mereka meningkat dengan mendadaknya sehingga puluhan ribu ahli pada akhir tahun 1990an.
Al Arqam mula diharamkan apabila memperkenalkan secara pesat ajaran Tarekat Aurad Muhammadiah.
Ajaran ini dikatakan banyak menyimpang antaranya ialah:
1. Mengauli isteri ahli-ahli al arqam oleh kepimpinan tertinggi.
2. Menyamai hukum Syiah iaitu menghalalkan perkahwinan kontrak.
3. Mengaku bahawa Tuan Guru mereka akan kekal hidup tidak akan mati.
4. Mengaku ketua mereka akan menjadi Imam Mahdi dan banyak lagi.
Kalau nak bercerita mengenai Al Arqam ni memang memerlukan beratus helai mukasurat baru boleh habis, jadi kalian bolehlah membuat kajian kalian sendiri di perpustakaan atau carian di internet untuk kerterangan lebih lanjut. Bagi aku, mereka memang lejen!
4. Golongan Ahli Tarekat
Ini adalah golongan manusia yang paling banyak aku berkomunikasi. Sifat utama yang aku perhatikan pada golongan mereka ialah taksub kepada pemimpin mereka. Pemimpin mereka adalah karamah dan istimewa bagi mereka.
Pemimpin mereka adalah pewaris nabi dan ASWJ adalah terkeluar dari Sunnah Nabi. Mereka banyak disekeliling kita sekarang. Malah golongan ini aku masih sering berjumpa dan sebahagiannya aku masih berkawan baik tanpa prejudis. Apa yang menarik sekali ialah mereka ada di dalam famili aku.
Aku paling banyak berkonfrontasi dengan mereka kerana pendekatan mereka yang suka menyoal keimanan kita. Mereka beria-ia mahu kita menjadi jemaah mereka kerana bagi aku mereka sedikit dan mereka sedang mencari kekuatan ahli.
Mereka suka melawan, berdebat di warung-warung kopi. di kedai mamak, tak kira masa dan waktu, sebahagian besar daripada mereka tidak bersolat. Mereka mempunyai rupa paras normal seperti kebanyakan dari kita tapi iktikad mereka tidak sama.
Berzikir bertemu lutut dengan Nabi Muhammad SAW antara perkara yang menarik perhatian aku dan semua rakyat Malaysia apabila ada media cetak telah menerbitkan risalah golongan Tarekat ini secara meluasnya.
Zikir Nafas dan Zikir Jantung adalah terapi zikir paling popular yang telah sampai ke telinga aku dengan hujah bahawa “manusia tidak boleh sedetik pun berhenti mengingati Allah” dan “setiap detik tanpa zikir adalah kafir” menjadikan mereka berlumba-lumba mencari pengaruh dan mempromosikan zikir-zikir kaedah mereka.
Tetapi dalam masa yang sama mereka amat berhati-hati memilih kawan untuk bercerita, khuatir dituduh sebagai ahli golongan ajaran sesat.
Mereka selalu bertanya kepada aku “kenapa golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ada 4 mahzab... kenapa tidak satu?” Jawapan balas aku kepada golongan Tarekat ini ialah kenapa mereka pula mempunyai 70 puluh kumpulan Tarekat yang berjaya di senaraikan oleh kerajaan Malaysia, kenapa tidak satu? Itu belum termasuk dengan Tarekat yang belum berdaftar dan kumpulan Tarekat diluar negara yang sukar untuk dihitung.
Antara salah satu cerita ahli Tarekat yang agak menarik bagi aku juga ialah apabila telinga aku ini telah mendengar satu kalimah yang berbunyi, “Kita sebenarnya adalah penyembah manusia... Manusia dan Tuhan itu adalah sama”. Aku terlalu terkejut semasa mendengar mereka bercakap seperti ini.
Mareka mengaku mereka adalah golongan Tarekat. Sebahagian mereka ada pesilat tegar yang handal dan yang paling unik mereka adalah berjubah dan memakai serban tetapi bagi aku, mereka beriman dengan sesuatu yang keliru sehingga sesat.
Mereka hanya berhujah dan memegang LOGIK bahawa Kaabah itu hanyalah simbol atau pun tanda arah bagi manusia yang beragama Islam untuk sujud ke muka bumi, walhal jika Kaabah itu tidak ada, sebenarnya kita adalah menyembah diri kita sendiri....
Aku tergelak tergolek-golek dalam hati bila aku mendengar kata mereka.
Bila di tanya mana bukti pneghujahan mereka, mereka hanya menggunakan hujah logik akal dalam membuat HUKUM.
Ada juga ahli Tarekat berjumpa dengan aku dengan menyebarkan satu persoalan bahawa Allah itu ada KELEMAHAN, ada perkara yang Allah tidak mampu buat.
Aku betul-betul terkejut dengan kenyataan itu dan aku ingin tahu apakah kelemahan itu dan apa perkara yang Allah tak mampu buat?
Jawapan penuh yakin seorang ahli Tarekat itu bercerita kepadaku mengenai satu peristiwa di mana seorang Tua dan Seorang budak sedang berbicara.
Budak itu bertanya kepada si tua “Boleh tak Allah itu mencipta sebuah batu yang amat besar sehingga Allah sendiri tidak boleh mengangkatnya?”
Aku mula-mula terkesima dengan cerita ini, tetapi seperti ada yang berbisik kepada aku untuk berkata kepada mereka bahawa “Itu bukan kelemahan... itulah kehebatan Allah... mana mungkin Allah itu mencipta sesuatu yang lebih hebat daripada Dia... kerana hanya Allah itu sahaja yang Maha Hebat... tiada lagi hebat selain daripada DIA.. memang Allah tidak mampu mencipta sesuatu yang lebih hebat daripada Dia kerana hanya Dia yang paling hebat... tiada DUA nya....”
Jawapan aku ini menjadikan ahli Tarekat itu mati akal dan dia berulang kali bercakap kepada aku bahawa ada sebabnya dia singgah ‘terjumpa’ dengan aku. Aku harap dia berubah menjadi lebih baik di jalan yang benar selepas perjumpaan tersebut.
Bagi aku, mereka sukar dibendung kerana pergerakan mereka persis ‘Gerila’ bergerak dalam skala yang kecil dan mungkin berseorangan dalam mencari jemaah baru dan menyesatkan golongan ASWJ.
5. Golongan Ahli sufi dan Ahli Tassauf
Ada pandangan mengatakan bahawa Ahli Tarekat dan Ahli Sufi/Ahli Tasauf ini adalah sama. Mereka adalah pecahan dari kelompok golongan Muslim yang tidak bersetuju dengan ASWJ. Namun aku berpendapat bahawa mereka ini berbeza melalui apa yang aku lalui.
Kenyataan popular yang membezakan mereka pada pandangan aku ialah mereka suka mengistiharkan bahawa diri mereka hanya menerima wahyu terus menerus dari Allah dan Nabi Muhammad Rasullulah SAW hanyalah sebuah rujukan, bukan seorang perantara antara mereka dengan Allah.
Nauzubillah, mereka mengangkat kelompok mereka setaraf atau lebih mulia daripada Nabi Muhammad SAW, ini bagi aku satu kenyataan yang melampaui sebuah angan-angan.
Mereka kuat berpegang kepada ‘Falsafah’ mereka iaitu “mengapa kita harus merujuk kepada sesuatu yang hidup lagi mati berbanding merujuk kepada sesuatu yang hidup lagi kekal hidup....”
Golongan mereka juga adalah golongan yang sering tidak menegakkan amalan sembahyang berjemaah malah ada yang langsung tidak sembahyang atas pelbagai alasan. Mereka juga yang memperkenalkan solat ghaib di mana “NIAT” sahaja sudah memadai mendirikan solat.
Bayangkan jika amalan mereka diterima pakai oleh seluruh umat Islam seluruh dunia, sudah pasti seluruh masjid dan surau akan menjadi sunyi sepi tanpa aktiviti keagamaan. Jelas ajaran ini bukan bersifat syariah yang baik.
Sufi selalu dipandang hebat kerana mereka mahir dalam mengubati manusia dengan kaedah yang diluar kotak manusia, mereka seolah-olah tergolong dalam golongan terpilih bagi mereka.
Mereka mengatakan bahawa mereka harus melalui proses ujian Allah yang rumit sehinggalah mereka menjadi seorang yang ZUHUD sebagai satu proses awal di terima sebagai ahli sufi. Mereka akan berzikir beramai-ramai dalam sebuah kelompok manusia di lokasi yang jauh dari orang ramai.
Realitinya asas golongan Sufi dan golongan Tasauf ini adalah sama. Apabila mereka berkelompok, mereka akan memberi nama dan khalayak ramai menggelarkan mereka sebagai sebuah gerakan Tarekat. Syarat wajib seorang ahli sufi yang mengamalkan ajaran tasauf sama seperti syarat wajib sesebuah kumpulan Tarekat iaitu ZUHUD.
Zuhud adalah meninggalkan nikmat dunia demi untuk beribadah kepada ALLAH, tetapi pada pemerhatian aku, kenapa kebanyakan ahli sufi dan ahli Tarekat yang aku temui tidak nampak langsung ZUHUDNYA?
6. Pengikut Ayah Pin
Ini adalah ajaran sesat yang jelas. Walaupun jelas, kekuatan pengikut Ayah Pin boleh di anggap menarik dan mampu mencabar kepercayaan manusia normal. Ramai golongan bijak pandai, kaya raya, selebriti, golongan professional menjadi anak murid Ayah Pin.
Budak CM (Pasar Seni Kuala Lumpur) banyak terjebak menjadi pengikut mereka. Aku nasib baik tidak terpengaruh dengan hujah-hujah mereka yang pelik. Hujah-hujah mereka adalah lebih senang dipatahkan berbanding dengan hujah-hujah ahli golongan Tarekat yang lebih bijak dan mendalam.
Hujah pengikut Ayah Pin ini kadang-kadang boleh membuat kita sedikit ketawa kerana mereka terlalu taksub kepada Ayah Pin, Ayah Pin dikatakan mampu menyembuh pelbagai penyakit, banyak kesaktian yang luar biasa, sehingga mereka mengistiharkan bahawa Ayah Pin itu Tuhan dan mendapat wahyu terus dari langit. Kerana itu mereka gelarkan pergerakan mereka sebagai Kerajaan Langit.
Pelik juga bila aku fikirkan, bagaimana fakta hujah yang terlalu kurang bijak ini mampu menarik ramai pengikut taksub termasuk golongan profesional dan artis?
Namun dari penceritaan mereka, pada pandangan aku, mereka semua ini kemungkinan besar telah terkena dengan ilmu hitam, dipukau dalam senyap. Aku difahamkan dari seorang rakan bahawa mereka sering diberi “makan” setiap kali perjumpaan.
Pernah sekali seorang bakal ahli mereka terlupa untuk memakan “gula” yang diberikan oleh mereka, setibanya di rumah “gula” tersebut busuk dan bertukar menjadi hitam. Tidakkah itu sesuatu yang mistik?
Mereka tidak mengganggu sangat kehidupan aku secara menyeluruh, kerana pengikut mereka duduk sekelompok dan tidak bertebaran secara meluas lagi. Kawan-kawan aku yang selalu lepak di CM dan kawan-kawan muzik aku telah banyak terlibat, namun kini mereka dah okay. Sudah kembali ke pangkal jalan.
Ayah pin pun dah meninggal pada 4 tahun lepas. Lucukan, Tuhan pun boleh meninggal dunia....
7. Golongan Syiah
Golongan ini paling sikit aku jumpa dan kalau jumpa pun tak nak mengaku mereka Syiah, jadi bagaimana aku tahu mereka Syiah?
Ini kerana mereka selalu mempertikaikan kehebatan dan kebaikan sahabat Nabi SAW dan individu yang paling teruk mereka benci ialah isteri Rasullullah yang paling baginda sayang iaitu Saidatina Aisyah RA.
Dari apa yang aku tahu dari mereka, asas pemberontakan mereka terhadap ASWJ ialah bermula pada ketika saat-saat akhirnya nyawa Nabi SAW sebelum baginda wafat.
Dikhabarkan ketika baginda SAW gering, hanya terdapat Saidatina Aisyah, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan 3 sahabat sahaja berada di sisi baginda.
Kononnya Nabi SAW telah mewasiatkan kepada semua yang ada ketika itu bahawa Saidina Ali RA akan menggantikan baginda setelah baginda wafat dan semua yang hadir menjadi saksi.
Tetapi menurut mereka, selepas sahaja Nabi SAW menghembuskan nafas baginda yang terakhir, Saidatina Aisyah dengan perasaan tamak dan cemburu kepada Saidina Ali lantas dengan pantas Saidatina Aisyah segera memaklumkan secara rasmi kepada orang awam yang ada ketika itu bahawa Baginda SAW telah mewasiatkan kepada beliau bahawa ayahnya iaitu Saidina Abu Bakar RA adalah pengganti menjadi Khalifah selepas Nabi Muhammad SAW.
Cerita ini dengan spontan aku kategorikan sebagai sebuah fitnah. Kenapa ia satu fitnah?
1. Kerana tiada bantahan daripada Saidina Abu Bakar terhadap penipuan yang dilakukan oleh anaknya Saidatina Aisyah sedangkan Saidina Abu Bakar adalah seorang yang amat dikenali oleh para muslimin dan orang kafir bahawa beliau sangat patuh kepada arahan dan kata-kata Nabi Muhammad SAW. Malah gelaran As Siddiq itu beliau dapat dari sifat beliau yang sangat percaya akan diri Baginda.
Adakah Saidina Abu Bakar sanggup menanggung dosa besar melanggar wasiat Nabi SAW hanya kerana ingin merebut jawatan Khalifah? Tidak mungkin.
2. Saidatina Aisyah adalah seorang anak yang sangat takut dan patuh kepada ayahnya Saidina Abu Bakar RA. Jadi secara logiknya, beranikah Saidatina Aisyah berkelakuan tidak senonoh sebegitu di hadapan ayahnya dan di khalayak ramai hanya ingin merebut jawatan yang sangat berat itu?
3. Jikalau wasiat ini benar-benar berlaku dan heboh diperkatakan bahawa Saidatina Aisyah berbohong, tidakkah Saidina Ali sendiri akan berjumpa dengan Saidina Abu Bakar bertanya sendiri akan kesahihan wasiat itu?
Adakah berani bahawa Saidina Abu Bakar yang terkenal dengan sifat as-siddiq akan berbohong kepada Saidina Ali?
4. Jadi bagi aku cerita ini cuma fitnah dan bohong kerana ia tidak logik.
Secara umum, Syiah menolak kepemimpinan daripada SEMUA Khulafa Ar-Rasyidin. Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) juga menolak kepimpinan Imam Syiah dalam semua aliran Syiah. Islam Ajaran Syiah berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad dan Ahlul Bait kerana menolak hadis yang bercanggahan dengan kepercayaan mereka atas dasar semua hadis ASWJ adalah palsu dikatakan sebaran 3 Sahabat Utama Nabi iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman.
Mereka memuja Saidina Ali dan mendewakan cucu Rasulullah iaitu Hassan dan Husein.
Aku tolak Syiah apabila mereka telah mengubahsuai dua perkara asas dalam rukun Islam iaitu DUA KALIMAH SYAHADAH dan NIAT SOLAT.
Lafaz dua kalimah syadahah mereka berbeza dengan meletakkan nama Saidina Ali dalam lafaz mereka. Pelik sangat bunyinya bagi aku dan mereka juga mempunyai pelbagai jenis niat pada setiap solat mereka, rojak dan
carca marba. Serabut aku dengar perkara itu daripada mereka, bagaimana lah mereka boleh percaya ajaran sebegini? Dua perkara ini sudah cukup buat aku tolak mereka.
Tambahan pula syiah ini WUJUD setelah Rasullullah SAW wafat. Fakta sahih ini sangat melemahkan golongan mereka yang kononnya golongan yang paling benar dan golongan yang paling mengagungkan Nabi Muhammad SAW.
0 Ulasan