WUJUD DAN LOGIK
Setelah kalian sudah jelas dan memahami mengenai ketiga-tiga Teras Teori ini... aku akan melangkah ke peringkat seterusnya.
Aku mahu bermula dengan Mendefinisikan Semula Dua Nama yang menjadikan aku keliru dan serabut dan dalam masa yang sama juga DUA perkataan ini juga menjadikan aku semakin matang iaitu Sifat WUJUD dan LOGIK!
DEFINISI WUJUD
SILA PERHATIKAN gambarajah di atas. Rajah di atas adalah gambaran logik akan Sifat bernama WUJUD yang merupakan perkara pertama dan paling utama untuk di bincangkan di dalam teori ini. Lakaran ringkas ini adalah gambaran dari sebuah kewujudan yang tercipta sehinggalah kembali tidak wujud dari tiada kepada ada dan kembali semula kepada tiada.
Kita sangat percaya bahawa pada mulanya kita adalah tidak wujud dan kita juga sangat percaya bahawa alam semesta ini juga dahulu tidak wujud. Tanpa meletakkan apa-apa agama dan fahaman, perkara ini sangat masuk akal.
Jika merujuk kepada ilmu sains yang berpaksikan logik. Gambaran rajah di atas juga adalah jelas logiknya.
Secara asasnya, lakaran ini aku namakan ia sebagai Lingkaran Asas Kehidupan bagi setiap entiti atau subjek yang wujud.
Kalian juga pasti pernah mendengar ‘’Dari Tanah kita datang, kepada Tanah kita kembali...’’ atau pun ia juga berbunyi seperti ‘’Dari ALAM kita datang... kepada ALAM kita kembali...’’
Uniknya dua kata-kata di atas ini kalau nak di bahaskan memang panjang lebar. Tapi tidak mengapa, jika kalian faham teori monolog ini, jawapannya akan datang secara semulajadi. Tak janji tapi pasti.
Setiap yang wujud pasti akan mati. Kebanyakan jasad manusia selepas mati akan lenyap di telan bumi mengikut kadar waktu tertentu dan ia aku anggap sebagai lupus atau pun tidak wujud lagi. Yang dijumpai hanya segelintir kecil sahaja daripada kehidupan masa lampau iaitu fosil purba dimana kebanyakkannya telah pun LENYAP dan GHAIB!
Begitu juga kepada kewujudan yang lain seperti flora dan fauna, mikro organisma dan serangga, bintang dan galaksi. Semuanya tidak bersifat kekal dan abadi melalui konteks ilmu sains.
Sains tidak pernah membuktikan dan aku percaya tidak akan dapat membuktikan wujudnya kewujudan yang kekal dan abadi. Semuanya mampu terhapus, lenyap dan mati. Dan secara logiknya setiap perkara yang mampu mati pasti ada proses permulaan dan akhirnya.
Oleh kerana itu, sebagai sebuah kewujudan yang bernama manusia, antara misi penting teori ini adalah membantu kita mencari kebenaran yang PALING ASAS iaitu:
1. Dari manakah asal usul manusia dan seluruh alam semesta?
2. Apakah bahan asas dalam setiap penciptaan setiap kewujudan?
3. Apakah atau siapakah yang mencipta semua kewujudan yang ada?
DEFINISI WUJUD ialah sesuatu yang ADA atau SEDIA ADA.
Secara fitrahnya, perkara yang paling asas untuk diperkatakan dan difikirkan di dalam seluruh kehidupan kita ini adalah perkara yang wujud atau pun yang pernah wujud sahaja (sesuatu yang wujud dan kemudiannya mati).
Sesuatu yang tidak wujud adalah sesuatu perkara yang tidak boleh kita huraikan langsung akan sifat – sifatnya: rupanya, bentuknya, perangainya, habitnya dan sebagainya. Tidak wujud bermakna ia KOSONG / ZERO. Tiada satu pun pancaindera manusia mampu merungkai apa-apa perkara jika sesuatu tidak pernah wujud.
Namun ia berbeza pula dengan IMAGINASI. Akal fikiran manusia mempunyai kelebihan untuk membayangkan pelbagai isu atau perkara yang kadang kala ia diluar kotak fikiran logik manusia.
Ada imaginasi yang menjadi kenyataan dan ada imaginasi hanya kekal sebagai sebuah khayalan atau angan-angan. Semua ini adalah benar-benar wujud dalam akal fikiran kita.
Manakala pula jika imaginasi dan wujud itu digabungkan, maka lahirlah pula perkara separa wujud atau boleh kita namakan ia sebagai dongeng atau khabar angin, gosip atau mungkin juga cerita-cerita hebat lagenda yang mewarnai kehidupan kita selama ini.
FAMILI SIFAT WUJUD: (desktop view)
Tidak wujud | Imaginasi | Separa wujud | Wujud (tak nyata) | Wujud (nyata) |
Tidak wujud.
| Wujud. Nyata Tidak nyata Separa wujud Imaginasi/Khayalan |
Jika merujuk kolum diatas, di manakah letaknya sesuatu itu yang bernama Sang Pencipta @Tuhan? Di manakah letaknya sesuatu itu yang bernama ROH atau nyawa kehidupan? Di manakah letaknya sesuatu itu yang bernama akal fikiran?Di manakah letaknya sesuatu itu yang bernama ghaib dan batin?
Adakah TUHAN dan semua yang di atas terletak di kolum yang dinamakan TIDAK WUJUD, atau di kolum imaginasi atau separa wujud?
Persoalan ini boleh di huraikan pada bab MENCARI KEWUJUDAN TERUNGGUL nanti.
Kesan misi dan matlamat di atas ini MAMPU menjadikan kita semua sebagai manusia BERBAHASA dalam satu rasa, satu fikiran dan satu tujuan. Kerana jika kalian fahami naskhah ini, kita akan sedar kita hanya datang dari SATU SUMBER!
TEPUK DADA TANYA OTAK, adakah ini logik dan boleh diterima akal? Atau adakah wujud hujahan lain yang mampu menerangkan secara keseluruhan kewujudan kehidupan ini selain dari huraian aku mengenai Lingkaran Asas Kehidupan ini?
DEFINISI LOGIK
SEBELUM kita pergi jauh, aku nak rumuskan sekali lagi Teori Monolog ini secara ringkas kepada kalian bahawa teori ini hanyalah:
a. Berkomunikasi pada titik tengah sfera – bersifat dasar dan adil seadilnya yang terikat kepada sifat asas kita sebagai MANUSIA.
b. Mendefinisikan setiap NAMA.
c. Mencari dan mengenal SIFAT iaitu:
i. Sifat keseluruhan dan sifat asas. ( Menggunakan kaedah bertanya kenapa, apa, di mana, bagaimana dan bila.)
ii. Membahagikan setiap perkara kepada 2 bahagian untuk perbezaan dan mencari FAMILI Sifat.
Teori Monolog ini boleh digunakan untuk semua isu berbangkit yang berlingkar di fikiran kalian kerana akal fikiranlah segala urusan hidup ini bermula. Kerana akal fikiranlah teori ini ditulis. Kerana akal fikiran inilah lahirnya definisi LOGIK dan kerana akal fikiranlah yang membentuk RASA.
Namun di dalam naskhah sulung aku ini, aku lebih memfokuskan teori ini dalam membantu aku mencari jawapan kepada persoalan MENGENAL DIRI dan MENCARI KEBENARAN HAKIKI.
DEFINISI LOGIK ialah satu proses asas akal fikiran manusia untuk menerima sesuatu input data sebagai sesuatu yang benar atau pun sesuatu yang salah.
Famili Sifat LOGIK
Tak Tercapai Akal | Imaginasi | Was - was | Logik | Hukum |
Realitinya, ada sesuatu yang tidak logik boleh dilogikkan dengan hanya menggunakan hujah-hujah yang bernas dengan bukti yang benar walaupun bukti itu adalah bukti yang tidak tercapai oleh akal dan pancaindera kita. Logik bukan?
Dan di dalam teori ini, AKU INGIN CUBA MELOGIKKAN setiap perkara yang penting tetapi tidak logik bagi menjawap pelbagai persoalan yang sukar dijawab dalam kehidupan kita seharian.
Kita lebih mudah untuk percaya akan Teori Sains bahawa Segala - Segalanya Wujud Secara Semulajad. Ia terjadi dengan sendirinya tanpa ada satu kuasa atau kuasa-kuasa lain yang menciptanya dan menyusunnya sebegini rupa. Kenyataan ini diterima oleh majoriti manusia kerana ia logik dan mudah untuk difahami tetapi adakah ia BENAR dan SAHIH?
LOGIK itu WUJUD kerana ianya ada pada AKAL. Logik itu adalah satu perkataan yang menggambarkan atau simbol penerimaan sesuatu isu oleh otak dan akal manusia secara asas dan lazimnya.
LOGIK tetapi TIDAK WUJUD pula adalah satu imaginasi, khayalan atau pun satu pembohongan. Antara perkara yang termasuk dalam kategori ini ialah fahaman-fahaman ektremis dan agama-agama yang sesat.
Logik itu sering menjadikan sesuatu kewujudan itu dipandang NORMAL. Sesuatu yang wujud tetapi diluar fakta logik pula adalah dipandang sebagai sesuatu yang AJAIB. Sedar atau tidak, dua nama BERBEZA ini adalah sangat saling berkait.
Dunia Sains dan ahli saintis sebenarnya telah berusaha bersungguh-sungguh dengan bukti-bukti yang “mampu” dipercayai oleh spesis manusia untuk menerima bahawa seluruh alam semesta ini adalah sesuatu yang NORMAL dengan memperkenalkan terma LOGIK walhal realitinya alam semesta ini adalah sesuatu yang AJAIB dan MAGIK!
Ini semuanya adalah permainan akal oleh golongan bijak pandai sekular yang mendominasi pentadbiran dunia pada masa kini kerana manusia secara fitrahnya tidak boleh hidup dan sukar menerima kehidupan ini dengan pemikiran yang tidak bersandarkan LOGIK.
Dan kesan akhirnya, menyebabkan manusia itu melihat bumi dan seluruh alam semesta adalah sesuatu yang biasa-biasa sahaja. Manusia tertipu hanya dengan akal fikiran mereka sendiri. Isu ini adalah unik dan sangat mengkagumkan aku.
Ilmu Sains telah pun membuktikan bahawa ada kewujudan yang lebih awal daripada kita. Sudah jelas bahawa manusia bukan pencipta alam semesta. Dan sudah pasti, manusia itu terlalu banyak kelemahan walaupun manusia dominan di atas muka bumi buat masa sekarang.
Habis itu, kenapa kita terlalu bongkak dan bangga dalam memberi pelbagai definisi mengenai kehidupan dan memaksa manusia yang lain untuk mempercayainya?
Dan siapa yang mengesahkan bahawa PENDAPAT dan PANDANGAN kita yang lemah ini adalah benar dan nyata kebenarannya? Atau kita hanya berangan dan berimaginasi sahaja bahawa segala yang logik itu adalah benar?
Antara persoalan kecil yang manusia lupa bahawa kita sebenarnya hidup penuh dikelilingi dengan faktor-faktor keajaiban ialah bagaimana semua kewujudan ini tercipta dan bermula?
Bagaimana semua planet itu terapung sangat kemas tanpa berlanggar sesama sendiri?? Mana siling, lantai dan dinding alam semesta? Mana MULA dan mana AKHIR kehidupan kita sebagai manusia? Dan banyak lagi persoalan-persoalan dahsyat yang mampu menjadikan manusia tersipu malu tanpa jawapan.
DEFINISI SIFAT WUJUD DAN LOGIK DARI PANDANGAN AKU:
Ringkasannya perkaitan antara kedua-dua Sifat Wujud dan Logik ini ialah:
1. Apabila sesuatu itu Wujud dan ia dapat diterima akal sebagai sesuatu yang Logik maka ia dipanggil sebagai REALITI.
2. Apabila sesuatu itu Wujud tetapi ia adalah sukar untuk diterima akal (Tidak Logik) maka ia dipanggil sesuatu yang AJAIB/MAGIK.
3. Apabila sesuatu yang Logik dan kemudiannya ditemui sebagai sesuatu yang Wujud maka ia dipanggil sebagai KEBENARAN.
4. Dan apabila sesuatu yang Logik itu kemudian realitinya adalah sesuatu yang Tidak Wujud maka ia dipanggil sebagai IMAGINASI atau PEMBOHONGAN.
Selagi manusia itu wujud maka wujudlah LOGIK kerana perkataan logik itu sendiri adalah merujuk kepada manusia yang terikat dengan pelbagai kelemahan dan hukum. Ia sangat bergantung kepada akal fikiran manusia yang juga terdapat pelbagai perkara lain seperti khayalan, impian, cita-cita dan imaginasi.
Seperti yang aku sudah nyatakan, realitinya banyak perkara yang TIDAK LOGIK boleh dilogikkan dengan membuka akal fikiran ini untuk menerima bahawa kehidupan kita dan semua kewujudan yang ada di sekeliling kita ini. Jika difikirkan semula, ia memang tidak masuk akal kerana Alam Semesta itu sendiri adalah sesuatu yang berada diluar KOTAK FIKIRAN MANUSIA.
Maka aku mahu kalian semua melihat kembali secara lebih halus dan lebih luas dua perkataan ini yang aku gabungkan sebagai asas permulaan kepada kekeliruan aku dan mungkin ramai lagi di luar sana.
Namun pernahkah kalian terfikir, secara logiknya, pasti ada sesuatu objek/subjek yang sebenarnya adalah wujud tetapi ia tidak pernah terlintas atau terfikir dalam otak dan akal fikiran atas faktor terhadnya PANCAINDERA kita; dan kita terus menerus menganggap bahawa ia adalah sesuatu yang TIDAK WUJUD selagi kita tidak nampak objek/subjek itu melalui pancaindera yang sedia ada.
Pernahkah kalian fikir apa itu LOGIK pada entiti kehidupan yang lain seperti yang ada pada akal fikiran kewujudan bernama haiwan dan serangga? Kepada yang beriman kepada kehidupan yang ghaib, apakah ada logik pada akal fikiran para Malaikat atau pun pada akal fikiran Jin dan Syaitan. Apatah lagi pada kehendak Sang Pencipta?
Percaya atau tidak, sebenarnya ada perkara yang logik tetapi ia tidak wujud; manakala ada yang tidak logik tetapi sebenarnya ia wujud. Unik bukan?
Definisi yang selama ini kita guna pakai dan berdaftar dalam setiap kamus peradaban manusia sebenarnya adalah satu pandang sudut dari perspekstif pandangan manusia sahaja. Pernah kalian fikir apakah definisi yang ada pada kewujudan yang lain? Terutamanya kewujudan yang hidup bersama kita seperti haiwan melata di muka bumi ini.
Mungkin ada yang kita tak tahu apa yang mereka tahu. Atau kita tak tahu apa yang mereka nampak dan dengar. Realitinya terdapat banyak haiwan yang mempunyai PANCAINDERA yang lebih dahsyat hebatnya daripada manusia.
Oleh kerana itu, aku berpandangan bahawa Sifat Wujud dan Sifat Logik ini harus diberi nafas baru dengan memberi mereka definisi yang lebih tepat dan padat. In hanyalah pandangan peribadi aku sahaja.
REDEFINISI WUJUD VERSI AKU:
Wujud itu adalah sesuatu yang ADA melalui Pancaindera, Perasaan dan Akal Fikiran manusia. Ia adalah termasuk imaginasi dan khayalan.
1. Definisi asal menurut DBP: WUJUD ialah sesuatu yang ADA atau SEDIA ADA.
2. Pada pandangan aku, definisi wujud ini adalah paling sesuai ditulis atau diungkapkan oleh Sang Pencipta melalui saluran Agama kerana pada ‘tangan’ Dialah akan wujudnya sesuatu atau terhapusnya akan kewujudan.
3. Namun untuk meletakkan elemen ‘manusia’ dalam definisi ini maka aku olah definisi ini berbunyi seperti di atas agar kita mampu untuk melihat dengan lebih meluas dan mendalam apa itu WUJUD.
4. Redefinisi ini akan menjadikan kalian “nampak” dari sudut yang berbeza dan diluar kotak pemikiran biasa dengan meletakkan IMAGINASI dan KEPERCAYAAN sebagai sesuatu yang wujud.
REDEFINISI LOGIK VERSI AKU:
Logik itu adalah satu proses asas pemikiran untuk menerima segala perkara yang wujud dalam akal fikiran manusia yang difikirkan munasabah sebagai satu realiti atau pun kenyataan.
· Definisi asal DBP: LOGIK ialah satu proses asas akal fikiran manusia untuk menerima sesuatu input data sebagai sesuatu yang benar atau pun sesuatu yang salah.
· Terma logik ini memang layak untuk kita huraikan definisinya kerana logik itu berkait terus dengan akal fikiran manusia.
· Semoga definisi yang aku jelaskan ini, kita dapat melihat bahawa kehidupan ini dari sudut yang lebih jelas dan lebih positif.
Cuba kalian amati redefinisi 2 Sifat ini mengikut apa yang telah aku nyatakan diatas, kalian pasti akan melihat semua ini dalam sudut yang berlainan. Selagi kita mampu untuk berfikir, berimaginasi dan membayangkan akan sesuatu isu atau perkara, ia adalah sesuatu yang wujud dan logik, setuju ke tidak??
Terlalu banyak bukti bahawa sesuatu perkara itu dahulunya tidak logik kini menjadi realiti. Jika dahulunya kita hanya berangan-angan untuk terbang, kini ia menjadi realiti dan kita mampu terbang tinggi ke udara dengan menggunakan kapal terbang.
Dahulu kita hanya berimaginasi akan adanya kehidupan di ruang angkasaraya seperti dizahirkan dalam filem Star Wars dan Star Trek, kini kita mampu hidup di kapal angkasa yang merupakan satelit kita. Kita juga mampu melihat dunia dari ruang angkasa malah pernah manusia itu sendiri telah pun memijak kaki ke bulan.
Kata mudahnya, kesemua unsur kemodenan hari ini adalah datangnya dari kuasa imaginasi kita pada masa dahulu dan kini telah menjadi kenyataan.
Kita juga sering mendengar dan melihat pelbagai keajaiban yang hadir dalam hidup kita sama ada secara peribadi atau pun yang telah disampaikan oleh orang ramai melalui pelbagai saluran seperti sebaran cerita nenek moyang kita, saluran pelbagai jenis penulisan seperti buku dan jurnal dan pelbagai input audio visual moden yang mengisi ruang televison kita. Aku percaya apa yang dikatakan mitos, dongeng dan sebagainya mampu menjadi realiti jika ia telah ditakdirkan menjadi realiti.
Satu lagi perkara yang sangat amat penting yang mungkin kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya telah melihat proses bermulanya alam semesta dan segala isi huninya melalui Ilmu Sains yang merupakan satu keajaiban yang kita pandang biasa-biasa sahaja.
Kalau kalian mampu percaya proses tersebut adalah LOGIK, mengapa tidak kalian percaya akan kebangkitan semula di hari akhirat? Mengapa kalian tidak melihat agama itu dari sudut kaca mata sains?
Aku meletakkan hukum dalam teori aku ini bahawa Pencipta Alam Semesta ini adalah pengasas Ilmu Sains yang selama ini dibangga-banggakan oleh manusia yang kuat perasan ini.
Dan jikalau kita boleh menerima fakta sains itu sebagai satu keajaiban dan imaginasi itu mampu menjadi realiti, mengapa tidak kita boleh menerima bahawa adanya Tuhan, hari akhirat, malaikat, syurga dan neraka?
Semoga penulisan aku ini menjadikan kalian lebih faham dan melihat kehidupan ini dari perspektif yang berbeza dan berpijak di tempat yang sebenarnya.
0 Ulasan