G-K566N94YEK Ini Kisah Aku - Bab 9

Ini Kisah Aku - Bab 9

  


BERHENTI BERDEBAT

Tidak lama kemudian. Hidup aku mula sedikit berubah. Ini kerana sahabat baik aku Neves Pretty Ugly sering menghubungi aku untuk ajak melepak atau menemani beliau melakukan pelbagai aktiviti harian beliau.

Dia banyak memberi motivasi dan kadang kala memberi sumbangan kewangan peribadi beliau kepada aku. 

Aku terharu dengan kebaikan beliau sebagai seorang sahabat yang sangat sangat baik.

Seingat aku, tahun 2012 juga aku mengambil keputusan untuk berhenti berdebat. Tidak kisah perkara apa sekali pun, aku suka mengambil jalan tengah, membuat keputusan tetapi lebih kepada bersifat neutral.

Kalau memerlukan perdebatan, aku akan memberi jawapan dalam sekurang-kurangnya dua versi, yang aku suka dan yang sebaliknya.

 Jadi aku akan “go with the flow” atau keluar dari kelompok itu. Itu lebih senang bagi aku, tak perlu nak jaga hati semua orang.

Apa punca sebenarnya aku berhenti berdebat?

Selain daripada saat-saat keperitan hidup aku yang menekan fikiran aku dan membuat jiwa aku kacau, aku telah melalui satu proses perdebatan berkala setiap kali aku berjumpa dengan seorang karyawan seni tempatan yang agak terkenal bila berbicara mengenai agama.

Kepetahan beliau berbahasa, menggunakan bahasa yang betul pada posisi nahu yang tepat, diadun dengan rasa keyakinan yang tinggi, seseorang yang beriman tipis pasti akan cair untuk meragui kesahihan Islam dan kewujudan Tuhan bila beliau berbicara.

Namun ia tidak mempegaruhi aku, ia menjadi terbalik. Iman aku semakin tebal kerana segala pengalaman ini adalah sebuah ilmu bagi aku. 

Aku tak mampu untuk berbicara indah dan menjanjikan sesuatu yang di luar kotak manusia untuk menafikan kehadiran TUHAN.

Sukar bagi aku menutur kata-kata ini apabila berhadapan dengan pelbagai jenis manusia bagi menerangkan apa yang aku faham. Kerana ini aku perlu menulis buku ini bagi meluahkan apa yang aku fikir.

Bagi aku, ini satu pengalaman yang dahsyat dan menjadikan aku lebih kuat bagi mencari jalan untuk sebuah jawapan. 

Bahaya bagi aku dan kalian jika bertemu dengan sesiapa yang pandai bermain kata dalam mengganggu akidah kita.

Ini merupakan salah satu sebab kenapa aku bersemangat untuk mengha￾biskan buku ini demi menjawab persoalan yang mereka timbulkan.


AKU DAN SENIMAN

Alhamdulillah, pada tahun 2013 aku mula bekerja di pejabat Persatu￾an Seniman Malaysia (SENIMAN). 

Kebetulan ketika itu sahabat seni dan sekuliah aku di UUM, Zed Zaidi berjaya menjadi presiden SENIMAN dan memerlukan seseorang untuk menjadi pentadbir bukan eksekutif di pejabat persatuan.

Aku betul-betul komited bila aku dipilih untuk memikul tanggungjawab ini memandangkan ia merubah perjalanan aku yang gelap sebelum ini.

Selama 4 tahun aku mendambakan diri aku kepada SENIMAN. Ia merupakan pengalaman aku yang terlalu manis dan berguna sebagai ilmu pengalaman diri.

Aku meluahkan segala pengalaman yang aku kutip selama ini bagi membantu SENIMAN terurus dengan kemas. 

Dalam masa ini juga aku memahirkan diri aku secara praktikal dengan ilmu pengurusan dan pentadbiran yang baru.

Mengurus sebuah organisasi yang melibatkan pelbagai pihak seperti penggiat seni tanahair, badan-badan korporat, badan-badan kerajaan serta pelbagai individu penting seperti artis ternama dan ahli politik memerlukan dedikasi kerja yang tinggi.

Ini termasuk juga dengan pelbagai karenah dari 15 Ahli jawatankuasa dan pelbagai masalah yang timbul dari lebih 5 ribu ahli yang harus aku hadapi untuk diurus.

Segala urusan pentadbiran dari A kepada Z aku dipertanggungjawabkan oleh AJK SENIMAN ketika itu. Alhamdulillah, aku berjaya denga jayanya dengan disaksikan oleh ramai pihak.

Kejayaan aku yang paling menyerlah ialah aku berjaya menyusun kembali kesemua dokumen dan data-data keahlian SENIMAN menjadi tersusun rapi, tidak kelam kabut dan tidak carca marba. Data perbankan juga selaras tanpa ada ketirisan.

Persatuan Seniman Malaysia merupakan sebuah persatuan seni yang paling berprestij di Malaysi atas faktor persatuan ini merupakan sebuah persatuan yang paling tertua di negara ini.

Bak kata Datuk Yusof Haslam, persatuan ini wujud atas keresahan para penggiat seni setelah kematian Seniman Agong kita iaitu Tan Sri P.Ramlee pada tahun 1974. Aku merasa sangat bertuah kerana telah ditakdirkan dapat membaik pulih serta bertugas mengurus sebuah persatuan yang sangat penting dalam industri seni negara.

Namun pada pertengahan tahun 2016 aku berhenti untuk kembali bekerja sendiri demi mencari rezeki yang lebih luas serta mencari kepuasan diri.

Aku telah membuka sebuah syarikat publishing muzik aku sendiri dan berjaya menguruskan beberapa komposer baru dan artis baru. Jiwa aku sebenarnya memang sangat kuat ingin berjaya dalam industri muzik berbanding di dalam industri perfileman atas faktor kemahiran yang aku ada.

Namun yang sedihnya, aku telah ditipu dari segi teknikal bahawa segala kerja aku itu sebenarnya adalah milik orang lain. Ini memang satu kes aniaya oleh orang yang sama menipu beberapa penggiat seni tanahair.

Aku terbiar terkotang-kating tanpa ada siapa yang mampu membela, tetapi aku tidak putus asa. Aku mencari pelbagai ruang dan peluang seadanya yang mampu aku wujudkan tetapi industri ini tidak menyokong aku.

Mereka seolah-olah tidak memerlukan bakat-bakat baru yang tiada isu sensasi, mereka perlukan kontroversi, mereka perlukan cahaya-cahaya media menerangi artis mereka.

Aku tersekat di persimpangan jalan. Tiada tangan ajaib yang mampu bantu aku ketika itu. Semua individu dalam industri muzik hanya pentingkan poket mereka sendiri berbanding ingin bekerjasama memajukan Industri Muzik Malaysia bersama-sama.


Jodoh dan Jatuh Sakit

Pada tahun 2017, Setelah mengalami episod suram dalam mencari tapak bagi mencari sesuap nasi di dalam Industri Muzik Malaysia, aku telah bertemu JODOH.

Sekali lagi, tanpa dirancang dan tanpa diduga, aku berkahwin baru buat kali kedua dengan seorang wanita bernama Siti Hahimah yang berasal daripada Puchong, Selangor.

Jatuh cinta pandang pertama ini terjadi setelah ditemukan secara tidak sengaja oleh kawan aku Wan Shahrom yang kebetulan datang melawat aku di studio muzik aku di Ampang.

Percintaan yang terlalu singkat ini menjemput aku melangkah ke jinjang pelamin. Terlalu banyak persamaan, kami seolah-olah seperti 2 rakan lama yang berkawan baik. 

Tiada rahsia dan berkongsi segala cerita. Kami tidak mampu untuk hidup berasingan lagi.

Setelah melangsungkan majlis pernikahan yang terlalu ringkas tetapi sempurna, aku terus tinggal bersama isteri baru aku di Puchong sehingga kini.

Satu suasana yang baru dan agak jauh dari suasana kota. Ia memerlukan kesabaran dalam mempelajari suasana kehidupan di sini.

Baru sahaja aku berkahwin, belum sempat kami untuk berbulan madu, me￾nikmati saat-saat manis sebagai suami isteri, aku di uji dengan ujian penya￾kit yang agak kronik dan misteri.

Aku seolah-olah seperti diserang sakit jantung. Sukar bernafas tetapi ti￾dak sakit dada. Apabila pergi ke hospital, doktor mengatakan aku hanya mendapat sakit gastrik, tapi aku tidak pula sakit perut.

Tanda-tanda penyakit ini telah berlaku semasa kami dalam bercinta lagi, tetapi tidak kronik selepas kami berkahwin.

Banyak pengalaman dapat aku pelajari di Puchong ini yang lebih menyentuh mengenai sudut sisi diri aku yang lain. 

Bagaimana hidup dalam keadaan yang susah, sakit dan penuh drama.

Kalau ikutkan kemampuan diri dan hati, aku memang kalah. 

Tapi isteri dan ibu aku banyak membantu. Aku bersyukur kerana mempunyai ibu dan isteri yang betul-betul sayang aku.

Ketika aku sakit, isteri baru aku banyak berkorban dan membuang masa menjaga aku.

Kami banyak menghabiskan masa di rumah, hospital, klinik kerajaan, klinik homoepati dan berjumpa pelbagai perawat alternatif bagi menyembuh penyakit aku ni.

Aku seperti bergantung hidup sepenuhnya kepada isteri baru aku ini. Malu aku dibuatnya. Ujian ini sangat berat buat diriku.

Aku hanya boleh tidur selama 1 jam atau paling lama ialah 2 jam sehari…

Aku tak boleh makan sebarang makan. Hanya bubur, roti, dan semua makanan yang lembut. Minum hanya minuman horlick atau air barli.

Mata aku rasa macam nak tersembul keluar. Sakit aku ni tiba-tiba akan menyerang. Kadang-kadang sukar bernafas. 

Dada aku selalu rasa tak sele￾sa persis seperti sakit jantung. Kemurungan aku sememangnya dahsyat, seolah-olah seperti orang gila.

Namun hikmah sebalik sakit aku ini, tanpa sedar, aku secara semulajadi mendekatkan diri dengan Allah dengan lebih aktif. 

Pelbagai aktiviti ibadah aku lakukan dalam mengisi ruang waktu aku yang terlalu banyak kerana tiada kemampuan untuk aku bekerja dan waktu tidur yang terlalu sedikit.

Banyak habiskan masa membaca apa sahaja yang terlintas di internet. Me￾nonton television di waktu tertentu. Namun aku masih dalam situasi kem￾urungan yang dahsyat.

Sehinggalah pada bulan Februari 2018, aku menjalani proses endoskopik ke dalam perut aku dan doktor mengesahkan bahawa perut dan usus aku normal. 

Tiada gastrik atau lebih tepat penyakit GERD (Gastro Esophogus Reflux Desease).

Memang pelik. Habis tu aku ni sakit apa sebenarnya? Lantaklah, janji aku semakin sihat. Aku dah boleh makan yang pedas-pedas tanpa masalah. 

Mula makan dengan jumlah yang banyak.

Rentetan dari kesembuhan aku ini, aku berniat untuk meneruskan ke￾hidupan yang ada. Seperti mati hidup semula, tahun yang sangat amat seksa bagi aku. 

Aku juga BERNIAT untuk menghabiskan buku aku ini DEMI RASA SYUKUR aku kepada Allah. 

Dan sehingga kini aku masih di sini menghadapi kehidupan yang terlalu normal dan lebih mendekati Allah.

Namun aku hanya manusia biasa. Kekuatan iman dan nasib aku seper￾ti ombak di lautan. Kejap naik turun. 

Mengekalkan kestabilan hidup mer￾upakan satu kerja yang sukar, dan itulah ujian kita sebelum kita pejamkan mata untuk tidur yang panjang.

Tuhan sayang kita. Tuhan sedang mendidik kita menjadi makhluk ciptaan Nya yang Agong.

Aku bersyukur tidak diuji dengan peperangan, tidak diuji sebagai seorang yang kurang upaya, tidak diuji dengan kepapaan dan kemiskinan, diuji den￾gan kebodohan, diuji sebagai anak yatim piatu, diuji dengan kehidupan penuh maksiat dan keganasan.

Syukur Alhamdulillah!

Hidup, wujud, mati, bencana, itu adalah diluar kawalan kuasa bagi seorang individu bernama manusia. 

Hanya yang manusia termampu adalah URUS untuk mengurangkan impak negatif dan memaksimakan impak positif semampu mungkin.

Kita tak tahu banyak perkara sebenarnya. Apa yang penting ialah kita terus belajar untuk mengurus kehidupan ini.

Kita tak tahu bila ajal kita. Tetapi kita WAJIB URUS untuk KEKAL HIDUP. 

Mati sebelum AJAL adalah satu proses membunuh diri dan membunuh diri adalah sesuatu yang keji lagi hina bagi setiap kewujudan yang ada.

Kita tak tahu REZEKI yang sedang kita usahakan itu milik kita, lantas kita tidak boleh berhenti berusaha!


KEHIDUPAN SEMAKIN TENANG

KINI hidup aku semakin tenang, tenang dalam berfikir akan kehidupan. 

Aku semakin kenal diri dan kehidupan ini dan ia termasuklah dari sudut pandangan aku melihat kehidupan ini dari luar konteks agama dengan cara aku sendiri.

Kesimpulan jawapan kepada soalan “kenapa aku menulis” ialah:

1. Kerana aku dianugerahkan mempunyai sebuah IDEA yang aku olah serba sedikit dari PENGALAMAN PERIBADI aku untuk dikongsi dengan seluruh umat manusia.

2. Aku ingin meluahkan apa pendapat dan pandangan aku ini kepada para pembaca melalui ruang saluran hidup sebagai seorang penulis.

3. Kerana dapat rangsangan secara tidak langsung daripada beberapa in￾dividu seperti Pakcik Mat, Hafiz Hamzah, isteri dan ibu aku serta ramai lagi.

4. Kerana rasa bersyukur ke hadrat Ilahi atas faktor banyak membantu aku dan mendidik aku menjadi seseorang yang lebih baik dari sebelum￾nya walaupun melalui jalan yang agak sukar.

5. Kerana aku ingin berdakwah untuk menentang pelbagai fikiran, faha￾man, anasir dan gerakan sonsang yang menggugat kebenaran dan kedudukan ISLAM.

Maka di dalam naskhah kecil ini, aku cuba huraikan segala apa yang aku tahu dan faham mengenai proses mengenali diri dari sudut pandangan peribadi aku agar semua manusia pelbagai agama dan fahaman boleh me￾mahami apa yang aku lalui tanpa sempadan. 

Ia adalah SEMATA-MATA untuk memenuhi kehendak fikiran logik fitrah yang selalu membisik dan menghantui manusia terutamanya kepada individu yang mahu mencari kebenaran.

TUJUAN AKU menulis disini adalah jelas untuk memperkenalkan TEORI MONOLOG, satu teori peribadi yang aku rumuskan khas untuk manusia bagi bertujuan mencari piawaian keseragaman berfikir terutamanya kepada:

1. Diri sendiri – aku sendiri masih sedang belajar.

2. Orang yang menganut Agama Islam yang tidak beberapa yakin.

3. Para pengikut pemikiran bebas seperti pihak liberal, free thinker, atheis dan sebagainya.

4. Dan kepada golongan manusia yang MAHU, TAHU dan MAMPU: iaitu golongan yang berkeinginan (MAHU) untuk menambah pengetahuan (TAHU) mengenai pelbagai perkara terutamanya mengenai asal usul dan kehidupan dan mereka berusaha (MAMPU) dengan pelbagai cara untuk menjadi bijak dan menjauhi kebodohan.

Selamat membaca dan memahami naskhah ini!                        

Teruskan membaca blog ini...


0 Ulasan