G-K566N94YEK Bagaimana Rasa Syukur Mengubah Anda dan Otak Anda

Bagaimana Rasa Syukur Mengubah Anda dan Otak Anda

 Syukur

Dengan meningkatnya kesedaran penjagaan kesihatan yang lebih efektiflebih terurus, dan seterusnya menekankan kecekapan kos, para ahli profesional kesihatan mental terpaksa berhadapan dengan soalan yang sering menjadi perhatian iaitu; 

"Bagaimanakah mereka boleh membantu pelanggan² mereka memperoleh manfaat terbesar yang mungkin daripada rawatan dalam masa yang singkat?"

Bukti terkini menunjukkan bahawa pendekatan yang lebih meyakinkan adalah dengan melengkapkan kaunseling psikologi bersama-sama aktiviti tambahan yang tidak terlalu membebankan pelanggan namun membuahkan hasil yang tinggi. 

Dalam penyelidikan kami sendiri, kami telah memusatkan perhatian pada satu aktiviti sedemikian iaitu amalan bersyukur.

Sememangnya, banyak kajian sepanjang dekad yang lalu mendapati bahawa orang yang secara sedar menghitung nikmat hidup mereka cenderung lebih bahagia dan kurang tertekan.

Masalah yang kita hadapi selama ini ialah kebanyakan kajian penyelidikan tentang kesyukuran telah dijalankan dengan golongan orang yang mempunyai kesihatan yang baik. 

Apakah rasa syukur itu bermanfaat untuk orang yang bergelut dengan masalah kesihatan mental? Dan, jika ya, bagaimana?

Kami berusaha untuk menangani soalan ini dalam kajian penyelidikan baru-baru ini yang melibatkan hampir 300 orang dewasa, kebanyakannya pelajar kolej yang mendapatkan kaunseling kesihatan mental di beberapa universiti terpilih. 

Kami mengambil segala butiran terperinci setiap peserta ini sebelum mereka memulakan sesi kaunseling pertama mereka dan secara purata, mereka melaporkan tahap kesihatan mental yang rendah secara klinikal pada masa itu. 

Majoriti orang yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di universiti ini secara umumnya bergelut dengan isu yang berkaitan dengan kemurungan dan kebimbangan.

Kami secara rawak membahagikan peserta kajian kami kepada tiga kumpulan. 

Walaupun ketiga-tiga kumpulan pernah menerima perkhidmatan kaunseling, kumpulan pertama diarahkan untuk menulis satu Surat Kesyukuran kepada orang lain pada setiap minggu selama tiga minggu berturut-turut.

Surat kesyukuran itu adalah surat yang dipenuhi dengan ayat yang menyatakan rasa syukur kepada sesuatu.

Manakala kumpulan kedua diminta menulis tentang pemikiran dan perasaan paling dalam mereka tentang pengalaman² yang negatif

Dan kumpulan ketiga tidak melakukan sebarang aktiviti menulis pun.

Apa yang kami dapati?

Berbanding dengan peserta yang menulis tentang pengalaman negatif atau hanya menerima kaunseling, mereka yang menulis surat kesyukuran melaporkan kesihatan mental yang jauh lebih baik dalam empat minggu dan 12 minggu selepas latihan menulis mereka berakhir. 

Ini menunjukkan bahawa penulisan ucapan syukur boleh memberi manfaat bukan sahaja untuk individu yang sihat, tetapi juga untuk mereka yang bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Malah, mengamalkan rasa syukur selain menerima kaunseling psikologi membawa faedah yang lebih jauh besar daripada kaunseling sahaja, walaupun amalan bersyukur itu mudah dan singkat saja.

Dan bukan itu sahaja. Apabila kami menggali lebih dalam ke dalam keputusan kami, kami mendapati petunjuk tentang cara bersyukur sebenarnya boleh berfungsi pada minda dan badan kita. 

Walaupun tidak muktamad, berikut adalah empat pandangan daripada penyelidikan kami yang mencadangkan perkara yang mungkin terjadi di sebalik manfaat psikologi.

1. Bersyukur melepaskan kita daripada emosi toksik

Pertama, dengan melihat perkataan yang digunakan oleh peserta dalam dua kumpulan penulisan seperti diatas, kami dapat memahami kaedah di sebalik faedah kesihatan mental dengan cara penulisan surat kesyukuran. 

Kami membandingkan peratusan perkataan positif, perkataan negatif dan perkataan "kami" (kata jamak orang pertama) yang digunakan oleh peserta dalam penulisan mereka.

Tidak menghairankan, mereka yang berada dalam kumpulan pertama menggunakan peratusan perkataan positif dan perkataan "kami" yang lebih tinggi, dan perkataan negatif yang lebih rendah , berbanding perkataan dalam kumpulan peserta yang lain.

Walau bagaimanapun, orang yang menggunakan lebih banyak perkataan positif dan lebih banyak perkataan "kami" dalam surat kesyukuran itu tidak semestinya mereka mempunyai kesihatan mental yang lebih baik selepas penulisan.

Hanya apabila orang menggunakan sedikit perkataan negatif dalam surat mereka, mereka berkemungkinan besar untuk melaporkan kesihatan mental yang lebih baik. 

Sebenarnya, kekurangan kata-kata negatif  menjelaskan jurang kesihatan mental antara kumpulan penulisan kesyukuran dan kumpulan penulisan yang lain.

Mungkin ini menunjukkan bahawa penulisan surat kesyukuran menghasilkan kesihatan mental yang lebih baik dengan mengalihkan perhatian seseorang daripada emosi toksik, seperti kebencian dan iri hati. 

Apabila anda menulis tentang betapa bersyukur anda kepada orang lain dan betapa orang lain telah memberkati hidup anda, mungkin ia menjadikan anda lebih sukar untuk merenungkan pengalaman negatif anda.

2. Bersyukur membantu anda walaupun anda tidak berkongsi tentangnya pada sesiapa

Kami memberitahu kepada peserta yang terlibat menulis surat kesyukuran bahawa mereka tidaklah WAJIB menghantar surat mereka kepada penerima yang mereka maksudkan.

Malah, hanya 23 peratus peserta sahaja yang menulis surat kesyukuran dan menghantar kepada sasaran mereka. Tetapi mereka yang tidak menghantar surat mereka tetap menikmati faedah mengalami rasa syukur. 

Oleh kerana bilangan orang yang menghantar surat mereka sangat kecil, sukar bagi kami untuk menentukan sama ada kesihatan mental kumpulan ini lebih baik daripada mereka yang tidak menghantar surat mereka.

Ini menunjukkan bahawa manfaat kesihatan mental apabila menulis surat kesyukuran tidak bergantung sepenuhnya pada realiti yang sebenarnya sehingga mesej menyampaikan rasa syukur itu sampai kepada orang lain.

Jadi, jika anda berfikir untuk menulis surat ucapan kesyukuran kepada seseorang, tetapi anda tidak pasti sama ada anda mahu orang itu membaca surat itu, kami menggalakkan anda untuk teruskan menulisnya. 

Anda boleh memutuskan kemudian sama ada untuk menghantarnya (dan kami fikir ia selalunya idea yang baik untuk berbuat demikian) atau tidak.

Tetapi tindakan menulis surat sahaja boleh membantu anda menghargai orang dalam hidup anda dan mengalihkan tumpuan anda daripada perasaan dan fikiran negatif.

3. Faedah bersyukur mengambil masa

Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa manfaat kesihatan mental dengan kaedah penulisan kesyukuran dalam kajian kami tidak muncul serta-merta, tetapi secara beransur-ansur muncul dari semasa ke semasa. 

Setelah seminggu selepas tamat aktiviti penulisan, individu dalam kumpulan penulisan kesyukuran melaporkan kesihatan mental yang lebih baik daripada yang lain.

Begitu juga setelah empat minggu selepas aktiviti menulis, dan perbezaan dalam kesihatan mental ini menjadi lebih besar lagi apabila 12 minggu selepas aktiviti menulis.

Keputusan yang menggalakkan ini jauh berbeza dengan banyak kajian lain yang mencadangkan bahawa manfaat kesihatan mental daripada aktiviti positif sering berkurangan dan bukannya meningkat dari masa ke masa selepas itu. 

Kami tidak benar-benar tahu mengapa kesan bola salji (snowball effect)  positif ini berlaku dalam kajian kami. 

Mungkin penulis surat kesyukuran membincangkan apa yang mereka tulis dalam surat mereka dengan kaunselor mereka atau dengan orang lain. 

Perbualan ini mungkin telah mengukuhkan faedah psikologi yang diperoleh daripada penulisan kesyukuran itu sendiri.

Buat masa ini, kesimpulannya ialah: Jika anda mengambil bahagian dalam aktiviti menulis rasa kesyukuran, jangan terlalu terkejut jika anda tidak berasa lebih baik secara mendadak selepas menulis. Bersabar dan ingat bahawa faedah kesyukuran mungkin mengambil masa untuk bermula.

4. Bersyukur mempunyai kesan yang berkekalan pada otak

Kira-kira tiga bulan selepas sesi psikoterapi bermula, kami mengambil beberapa orang yang menulis surat rasa kesyukuran dan membandingkan mereka dengan mereka yang tidak menulis apa-apa. Kami ingin tahu perbezaan otak mereka memproses maklumat.

Kami menggunakan pengimbas fMRI untuk mengukur aktiviti otak setiap peserta sementara orang dari setiap kumpulan lain melakukan aktiviti "membayar di hadapan". 

Dalam tugas itu, individu diberi sejumlah kecil wang oleh orang yang baik, yang dipanggil "dermawan." Dermawan ini hanya meminta mereka menyalurkan wang kepada seseorang jika mereka berasa bersyukur. 

Peserta kami kemudian memutuskan berapa banyak wang, jika ada, untuk disalurkan kepada kebajikan (dan kami sebenarnya menderma wang itu kepada badan amal tempatan).

Kami ingin membezakan derma yang didorong oleh rasa syukur daripada derma yang didorong oleh motivasi lain, seperti perasaan bersalah atau kewajipan. 

Oleh itu, kami meminta para peserta menilai sejauh mana rasa syukur mereka terhadap dermawan itu, dan sejauh mana mereka ingin membantu setiap badan amal, serta betapa bersalahnya mereka jika mereka tidak membantu. 

Kami juga memberi mereka soal selidik untuk mengukur betapa bersyukurnya mereka dalam kehidupan mereka secara umum.

Kami mendapati bahawa di antara keseluruhan peserta, apabila orang berasa lebih bersyukur, aktiviti otak mereka berbeza daripada aktiviti otak yang berkaitan dengan rasa bersalah dan keinginan untuk membantu sesuatu perkara. 

Lebih khusus lagi, kami mendapati bahawa apabila orang yang lebih bersyukur memberi lebih banyak wang, mereka menunjukkan sensitiviti saraf yang lebih besar dalam korteks prefrontal medial, kawasan otak yang dikaitkan dengan pembelajaran dan membuat keputusan. 

Ini menunjukkan bahawa orang yang lebih bersyukur juga lebih prihatin terhadap cara mereka menyatakan rasa syukur.

Paling menarik, apabila kita membandingkan mereka yang menulis surat kesyukuran dengan mereka yang tidak menulis, penulis surat rasa kesyukuran menunjukkan pengaktifan yang lebih besar dalam korteks prefrontal medial apabila mereka mengalami rasa syukur dalam pengimbas fMRI. 

Ini amat menarik kerana kesan ini ditemui tiga bulan selepas penulisan surat bermula. Ini menunjukkan bahawa hanya mengucapkan syukur mungkin mempunyai kesan yang berkekalan pada otak.

Walaupun tidak konklusif, penemuan ini menunjukkan bahawa mengamalkan rasa terima kasih boleh membantu melatih otak untuk menjadi lebih sensitif terhadap pengalaman rasa bersyukur, dan ini boleh menyumbang kepada peningkatan kesihatan mental dari semasa ke semasa.

Walaupun ini hanyalah langkah pertama dalam perjalanan penyelidikan yang lebih panjang, penyelidikan kami setakat ini bukan sahaja mencadangkan bahawa menulis sebuah surat rasa kesyukuran mungkin berguna untuk orang yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling tetapi juga menerangkan perkara di sebalik manfaat psikologi bersyukur. 

Pada masa ramai profesional kesihatan mental berasa tertekan, kami berharap penyelidikan ini dapat mengarahkan mereka dan pelanggan mereka ke arah alat yang berkesan dan bermanfaat.

Tidak kira sama ada anda menghadapi cabaran psikologi yang serius, jika anda tidak pernah menulis surat rasa kesyukuran sebelum ini, kami menggalakkan anda mencubanya. 

Banyak masa dan tenaga kita dihabiskan untuk mengejar perkara yang kita tidak ada pada masa ini. Bersyukur membalikkan keutamaan kita untuk membantu kita menghargai orang dan perkara yang kita lakukan.


Kredit: Greater Good Magazine
Link: https://greatergood.berkeley.edu/article/item/how_gratitude_changes_you_and_your_brain



0 Ulasan