RUMUSAN
Adakah 3 Teras Teori Monolog didalam buku ini cukup untuk kalian melihat kehidupan ini dengan “MUDAH”?
KALAU kalian benar-benar menghayati penulisan aku ini mungkin kalian sedar bahawa aku mengajak kalian untuk belajar konsep berfikir secara MENDALAM untuk menghasilkan satu pandangan yang MELUAS, dan bukan berfikir semakin tinggi dan jauh melangit. Aku bukan seorang bijak pandai untuk menguraikan segala ilmu-ilmu tinggi yang ada kini. Aku takut “jatuh” kerana aku “gayat” akan ketinggian.
Aku mendorong kalian untuk berfikir secara asas sahaja dengan meluaskan sedikit skop pemikiran serta memperkembangakan permahaman kalian tentang isu-isu asas, itu sahaja, hanya untuk memahirkan perkara POKOK.
Perkara yang ranting dan pucuk-pucuk tinggi kita biarkan orang yang lebih layak membicarakannya dengan kalian.
Pada pendapat aku:
1. Dengan hanya melangkah ke Teras Ketiga dalam Teori Monolog ini sahaja kita sudah boleh dan mampu untuk melihat dunia ini dengan perspektif yang berbeza namun seragam. Dan seterusnya ia akan memudahkan kalian untuk memahami bahawa sebenarnya kita mampu mengurangkan jurang perbezaan antara fahaman-fahaman agama dan puak-puak serta mahzab-mahzab yang berlainan dalam dunia ini.
2. Dan jangan pernah alpa bahawa Ilmu Sains adalah ilmu Allah. Ia sangat amat mengikat kita semua kepada Hukum Fitrah dan Hukum Alam Semulajadi. Dengan hanya berpegang pada satu kepercayaan yang sangat logik dan dipercayai serta disanjungi oleh sekalian manusia, ilmu sains yang telah tercipta dan di pelopori oleh segelintir golongan manusia yang bijak pandai sejak beribu-ribu tahun lamanya mampu menjadi pedoman hidup jika dilampirkan dengan keimanan kepada Tuhan.
3. Dan mempercayai Sifat Baik dengan berpegang ‘hanya kepada sifat-sifat yang berpihak kepada KEBAIKAN sahaja mendominasi kehidupan’, ia pasti akan menjadikan manusia itu lebih bersatu, aman, lebih realistik dan berjaya ke puncak nikmat kehidupan.
Keharmonian dan amannya manusia sejagat mampu tercapai jika 3 perkara di atas di ambil berat oleh semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin kita. Lantas ia akan menjadi lebih bagus jika ditambah dengan langkah yang sangat penting dan realistik iaitu di mana HUKUM UNIVERSAL perlu di laksanakan segera kerana dikhuatiri ada pertembungan fikiran dan hujah yang membawa kepada keburukan pada masa hadapan.
Kalau diikutkan, aku nak menggunapakai HUKUM ISLAM sahaja. Mudah sudah tersedia ada, tetapi aku faham, bukan semua yang beriman kepada Allah dan bukan semua manusia bergelar muslim.
Ia harus difikirkan, dihuraikan, disusun dan catitkan supaya menjadi bahan rujukan apabila sesuatu perkara bermasalah berbangkit berpegang kepada dasar-dasar yang aku utarakan di dalam teori aku ini.
Antara beberapa isu penting dan menarik untuk diserapkan perlaksanaan Hukum Universal ini ialah seperti isu-isu hak beragama, isu hak milikan peribadi, isu hak bersuara, isu hakmilik tanah, hak asasi manusia, hak lelaki dan perempuan dan sebagainya.
Langkah ini adalah satu proses untuk memudahkan manusia melihat kehidupan ini walaupun ia adalah satu usaha yang agak sukar. Bermulalah suatu perkara yang memerlukan kebijaksanaan , kesabaran dan perasaan timbangrasa sesama manusia.
Adakah kalian masih melihat mencari kebenaran itu suatu yang sukar?
Ya atau tidak, aku ada pandangan aku sendiri.
Kita kena merombak sedikit cara berfikir kita secara keseluruhannya demi melihat kebenaran di dalam kehidupan manusia ini yang memerlukan kaedah yang tepat dan betul.
Dan sudah tentu ia melibatkan cara kita berfikir secara bijak dan bernas, bukan mengikut nafsu, bukan mengikut kata orang ramai dan bukan mengikut kata individu yang berpengaruh, kuasa majoriti dan sebagainya. Ia perlu adil dan tidak membawa keburukan.
Cara berfikir adalah sangat amat penting dan oleh kerana itulah aku sangat berminat ingin memperkenalkan TEORI MONOLOG ini dimana ia sebenarnya adalah satu kebiasaan yang sering digunapakai tetapi tiada penekanan yang konsisten kepada manusia secara umum. Konsep fikir ini akan menyeragamkan dan menyatukan pemikiran manusia dan cara ini mampu dipraktikan oleh setiap orang.
Maka bermulalah satu perjalanan pemikiran yang kritikal dan analitikal kepada semua pembaca nashkah ini dan aku berharap semoga ia akan menyedarkan kalian bahawa untuk melihat kebenaran dalam kehidupan manusia secara jelas adalah lebih mudah dari sebelum ini.
Namun bagi pengalaman peribadi aku, Teori Monolog ini telah membantu aku untuk mempercayai bahawa AL-QURAN adalah perkara yang paling asas untuk dirujuk dalam mengetahui segalanya mengenai kehidupan.
1 KITAB – 1 BACAAN – 1 KESERAGAMAN MINDA – 1 MATLAMAT HIDUP
Minda kalian mungkin boleh seragam dan sekata, tetapi bolehkah JIWA kalian menerimanya?
Jumpa di lain waktu. Insyaallah.
Terima kasih.
0 Ulasan